Bayi asyik nangis apabila berjauhan? Ini tip didik anak berdikari sedari usia kecil
Perkongsian pasangan selebriti, Dr Sheikh Muszaphar Shukor - angkasawan Malaysia pertama - dan isterinya, Dr Halina Mohd Yunos, mengenai hal keibubapaan sentiasa menarik perhatian.
KUALA LUMPUR: Perkongsian pasangan selebriti, Dr Sheikh Muszaphar Shukor - angkasawan Malaysia pertama - dan isterinya, Dr Halina Mohd Yunos, mengenai hal keibubapaan sentiasa menarik perhatian.
Ada sahaja maklumat mengenai anak-anak yang dikongsikan pasangan itu, tidak terkecuali mengenai perkembangan anak-anak kembar mereka, Eusoff dan Emelia yang kini semakin membesar.
Terkini menerusi Instagramnya, lapor majalah Pa&Ma, Dr Sheikh Muszaphar berkongsi cara untuk membiarkan anak kecil berdikari - sesuatu yang dilakukan pada anak kembar pasangan tersebut.
Menurut Dr Sheikh Muszaphar, biasakan anak dengan persekitaran dan biarkan mereka bermain sendirian sambil dipantau.
Selain itu, ibu bapa harus elak daripada kerap mendukung bayi mereka, nasihat beliau.
"Bayi yang berdikari. Bagaimana dan apa yang kami lakukan untuk pastikan anak kembar kami, Emelia dan Eusoff, boleh berdikari sendiri?" tulis Dr Sheikh Muszaphar di Instagramnya.
Berikut adalah petuanya, seeloknya diamalkan sejak mereka lahir lagi:
- Jangan dukung selalu
- Tepuk sampai tidur
- Jangan didodoikan
- Biarkan anak bermain sendirian dan lihat dari jauh. Mereka berasa selamat apabila tahu bahawa anda ada bersama mereka.
- Banyakkan berkomunikasi dengan bayi. Jangan berhubungan dalam bahasa bayi.
- Rutin sangat penting. Bayi suka mengawal dengan mengetahui apa yang boleh dijangkakan.
- Jangan kurung bayi dalam 'play-pen', namun kena pastikan keadaan sekeliling selamat.
- Layani anak seperti orang dewasa. Jangan tidak (ambil) endah permintaan mereka. Bayi boleh jadi amat sensitif.
- Tidur di katil bayi. Sebaiknya jangan tidur bersama bayi. Letakkan bayi di katilnya sendiri atau 'crib' selepas menyusu apabila bayi sudah terlelap.
- Dedahkan bayi kepada orang lain. Biasakan bayi bermain bersama anak-anak yang lain. Menghantar bayi ke taska dan berinteraksi membuatkan anak lebih yakin diri.
"Personaliti bayi juga memainkan peranan. Sesetengah bayi memang sangat melekat. Baby perempuan lebih cenderung mempunyai sifat kebergantungan. Lebih banyak usaha diperlukan," Pa&Ma menukil Dr Sheikh Muszaphar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.