Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bayi 9 bulan terkena 25 serangan jantung dalam tempoh sehari

Bayi ini dipercayai adalah pesakit yang paling banyak terkena serangan jantung dalam tempoh 24 jam.

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi 9 bulan terkena 25 serangan jantung dalam tempoh sehari

Theo Fry menjalani banyak pembedahan untuk bertahan hidup. (Petikan gambar dari video Facebook)

Diterbitkan : 23 Jan 2019 08:58PM Dikemas Kini : 23 Jan 2019 09:09PM

BRITAIN: Bayi ini dipercayai adalah pesakit yang paling banyak terkena serangan jantung dalam tempoh 24 jam.

Ketika usia Theo Fry baru sahaja lapan hari, dia didapati mengalami masalah jantung. Dia sering kelihatan birat dan cepat mengantuk sehingga pada satu masa, ibunya, Cik Fauve Syers, menghubungi talian kecemasan.

Theo segera dikejarkan ke hospital di mana 40 kakitangan perubatan melakukan persiapan untuk membantunya.

Pihak hospital mengesahkan Theo mengalami kegagalan jantung dan dia akan mati jika tidak segera menjalani pembedahan, lapor The Sun.

Para doktor berjaya memantapkan keadaan bayi itu tetapi dia perlu menjalani pembedahan jantung terbuka empat hari kemudian di sebuah hospital kanak-kanak di Liverpool.

Theo didiagnosis mengalami masalah arka aorta (interrupted aortic arch) - jantungnya yang berlubang tidak dapat mengepam darah ke seluruh tubuhnya.

Ayahnya, Encik Steven Fry, 35 tahun, memberitahu The Mirror: "Kami diberitahu bahawa semuanya akan terlambat sekiranya kami tidak menelefon talian kecemasan pada malam itu."

Lebih menyedihkan lagi, bayi kecil itu turut terkena serangan jantung semasa pembedahan dijalankan. Pakar bedah berdepan dengan cabaran besar untuk memastikan Theo dapat terus bertahan hidup.

Sepanjang tiga bulan Theo dirawat di hospital, dia terkena sepsis (luka dijangkiti bakteria dan bernanah) dan beberapa kali terkena serangan jantung.

Selepas dia dibenarkan pulang, Theo mengalami aritmia (kelainan rentak jantung) selama berminggu-minggu - degupan jantungnya menjadi terlalu pantas sehingga ia membahayakan nyawanya. Theo dikejarkan kembali ke hospital.

Keadaannya seharusnya dipantau selama 24 jam, tetapi dia akhirnya tidak dapat pulang selama enam bulan.

SETIAP KALI CPR DILAKUKAN, IBU HANYA DAPAT BERDOA 'BUKAN HEMBUSAN NAFAS YANG TERAKHIR'

Selepas dirawat di unit jagaan rapi ketika keluarga ghairah menyambut Krismas, dan tiga kali terkena serangan jantung, keadaannya bertambah buruk pada lewat 31 Jan 2018.

Dia mengalami 25 serangan jantung dalam tempoh 24 jam.

Cik Fauve berkata: "Ia sangat menakutkan. Serangan jantung itu berlaku 'bertubi-tubi'. Saya tahu dia tidak lagi boleh menahan kesakitan. Setiap kali dia terkena serangan jantung, jururawat memanggil pasukan kecemasan.

"Saya melihat mereka melakukan CPR ke atasnya dan setiap kali mereka melakukannya, saya hanya dapat berharap 'ia bukan hembusan nafasnya yang terakhir'."

(Gambar: Fauve Syers/Facebook)

(Gambar: Fauve Syers/Facebook)

Theo menjalani pembedahan selama 10 jam di mana pakar-pakar bedah mendapati ventrikel kiri jantungnya ditutupi dengan tisu parut sehingga ia tidak dapat berfungsi dengan betul.

Mujur, pembedahan berjaya dijalankan. The Sun difahamkan Theo segera beransur pulih dan dibenarkan pulang beberapa hari kemudian. Dia kini berusia 19 bulan. 

Sejak tahun lalu, ibu bapa Theo aktif mengumpul dana bagi satu pertubuhan amal yang menghantar pasukan-pasukan perubatan ke negara-negara miskin bagi membantu kanak-kanak yang sakit.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan