Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Baunya kuat tapi kuasa bawang putih sangat luar biasa

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bawang putih atau nama saintifiknya Allium Sativum terkenal dan sering digunakan dalam perubatan kerana kandungan khasiatnya. Ia juga merupakan antara bahan masakan yang mesti ada di dapur dan sering digunakan dalam pelbagai jenis masakan.

Kehadiran bawang putih bukan saja dapat memberikan aroma dan rasa dalam masakan anda, tapi ia juga mengandungi pelbagai khasiat untuk kesihatan yang mungkin tidak diketahui ramai.
Gambar: Unsplash
Berdasarkan pelbagai kajian yang sudah dijalankan, bawang putih mampu melawan lebih banyak jenis bakteria, virus dan kulat sungguhpun tindakannya tidak sekuat antibiotik. Antaranya bawang putih yang dibakar dapat membantu merawat penyakit seperti darah tinggi dan sebagainya.

Apa yang lebih menarik, bawang putih boleh juga digunakan ketika mentah untuk kecantikan kulit. Allicin yang ada di dalam bawang putih yang sudah diketuk, dipotong atau ditumbuk didapati mempunyai sifat antibakteria.

Selain itu, bawang putih juga mengandungi vitamin B dan C. Yang pasti, walaupun saiznya kecil, bawang putih merupakan antara bahan yang mempunyai pelbagai komponen dan berfungsi untuk merawat pelbagai penyakit.
Gambar: Pexels
10 KHASIAT BAWANG PUTIH

Legakan batuk

InI merupakan antara petua tradisional yang didapati berkesan dan mudah. Caranya, ambil satu labu bawang putih dan bakar selama 15 minit. Usah buang kulit dan penting untuk memastikan ia tidak terbakar dan hangus.

Setelah 15 minit, buang kulitnya dan kunyah begitu sahaja. Bagi yang tidak berselera untuk menikmatinya sebagai cemilan, anda juga boleh menumbuk bawang putih yang sudah dibakar. Gaul dengan minyak zaitun atau minyak kelapa dara. Selepas itu sapukan ramuan pada bahagian leher. Elakkan daripada menyapu terlalu banyak dan pastikan kulit anda bukan jenis sensitif.

Turunkan kolesterol

Jika dahulu kebanyakan kes masalah jantung hanya menyerang warga emas namun kini penyakit ini boleh dihadapi oleh sesiapa sahaja tidak kira usia. Masalah jantung ini biasanya bermula dengan penompokan kolesterol jahat dalam pembuluh darah yang merupakan lemak yang dihasilkan untuk kebaikan tubuh dalam tahap tertentu.

Namun jika melebihi had yang sepatutnya diperlukan oleh tubuh, ia akan menyebabkan tekanan darah tinggi, serangan jantung dan angin ahmar. Kehadiran bawang putih boleh membantu menyingkirkan kolesterol jahat dalam tubuh kerana ia kaya dengan bahan semula jadi seperti sulfur. Cuba mengunyah atau makan bawang putih secara mentah. Gigit sedikit demi sedikit agar lidah tidak berasa terlalu pedih secara mendadak.
Gambar: Unsplash
Atasi tekanan darah tinggi

Bawang putih kaya dengan khasiat seperti protein, zat besi, lemak, vitamin C, vitamin B1, vitamin A dan kalsium antaranya. Khasiat yang terkandung dalam bawang putih ini juga mampu membantu mengatasi risiko tekanan darah tinggi. Ia mampu membantu melancarkan sistem peredaran darah dalam tubuh selain membantu melebarkan dan membuka saluran darah.

Elak Alzheimer

Bawang putih mengandungi antioksida yang dapat melindungi tubuh daripada kerosakan oksidatif.
Kesan daripada gabungan pengurangan kolesterol dan tekanan darah, serta sifat antioksidan yang terdapat pada bawang putih juga dapat mengurangkan risiko penyakit yang berkaitan dengan saraf otak seperti Alzheimer dan nyanyuk atau dementia.
Gambar: Unsplash
Tingkat kesihatan otak

Masalah kesihatan otak lebih ketara apabila berlaku peningkatan usia. Penyakit seperti Alzheimer dan dementia boleh mengganggu mutu hidup pada usia senja. Namun ia boleh dicegah mengikut gaya kehidupan setiap individu. Kandungan S-allyl-Lcysteine (SAC) dan antioksidan yang terdapat pada bawang putih dikatakan mampu menjaga otak daripada berbagai kerosakan kognitif. Bahan kimia pada bawang putih tersebut bertindak untuk mencegah penompokan plak atau zat berbahaya pada sistem saraf pusat.

Mengawal paras gula

Kehadiran sumber vitamin B6 yang hadir dalam bawang putih juga dapat membantu dalam proses metabolisme karbohidrat. Sementara vitamin C pula beperanan untuk kekalkan paras gula dalam darah.

Cegah keracunan logam

Kehadiran sulfur dalam bawang putih pula didapati dapat melindungi organ tubuh daripada rosak akibat keracunan logam seperti timah. Ia dapat mengurangkan kadar keracunan timah dalam darah sebanyak 19 peratus terutamanya bagi golongan pekerja dalam industri berkaitan.
Gambar: Pexels
Kesihatan rambut and kulit kepala

Bawang putih juga dapat membantu dalam pertumbuhan rambut. Kandungan vitamin dan mineral seperti vitamin B6 dan C selain selenium dikatakan dapat mengekalkan kesihatan rambut.
Disamping itu, kehadiran antibakteria yang ada pada bawang putih turut menyumbang pada kesihatan rambut. Kajian menunjukkan ia dapat membantu membasmi kuman dan secara tidak langsung membuat kulit kepala tampil lebih sihat.

Elak radang sendi dan sakit otot

Tahukah anda minyak bawang putih dapat bertindak sebagai bahan antiradang. Jika sendi atau otot terasa sakit dan meradang, gosokkan bahagian berkenaan dengan minyak bawang putih.
Kajian juga mendapati minyak bawang putih dapat membantu mencegah kerosakan tulang rawan akibat artritis.

Kurangkan risiko barah

Barah adalah satu penyakit yang sangat digeruni kerana bertindak pantas menyerang tubuh manusia. Bawang putih seelok-eloknya dimakan dalam keadaan mentah untuk khasiat yang terbaik kerana kaya dengan bahan sulfur bio aktif. Sumber ini boleh membantu mencegah pembentukan sel barah dalam tubuh dan didapati boleh memperbaiki sel tubuh yang rosak. Apa pun ia bergantung pada tubuh masing-masing.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan