Skip to main content

Gaya Hidup

Bau badan berterusan meski sudah mandi, guna deodoran? Ia mungkin petanda masalah kesihatan

Sudah mandi, menggunakan deodoran dan menjaga kebersihan diri tetapi bau badan masih tidak hilang? Masalah itu mungkin bukan sekadar soal kebersihan.

Anggaran Waktu Membaca:
Bau badan berterusan meski sudah mandi, guna deodoran? Ia mungkin petanda masalah kesihatan

Bau badan yang berubah secara tiba-tiba atau berterusan boleh berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk keadaan kesihatan tertentu. (Ilustrasi: CNA/Chern Ling)

Diterbitkan : 21 Sep 2026 05:16PM Dikemas Kini : 21 Sep 2026 06:10PM
  • Bau badan kronik atau bromhidrosis bukan hanya soal kebersihan, kerana peluh tidak berbau tetapi menjadi berbau apabila bakteria kulit menguraikan rembesan kelenjar apokrin.
  • Menurut Chris Callewaert dari Universiti Ghent, perubahan bau boleh berlaku secara tiba-tiba akibat hormon, mikrobiom, ubat, penyakit metabolisme, hiperhidrosis, menopaus, pemakanan atau tekanan.
  • Perubahan bau yang luar biasa atau berterusan perlu diberi perhatian, terutama jika disertai gejala lain, kerana pernah dikaitkan dengan kencing manis, Parkinson dan barah.
  • Langkah membantu termasuk sabun antibakteria, pakaian bersih, mengelakkan fabrik tertentu dan mengurangkan bulu, tetapi nasihat doktor diperlukan jika masalah mendadak atau berpanjangan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sudah mandi, menggunakan deodoran dan menjaga kebersihan diri tetapi bau badan masih tidak hilang?

Masalah itu mungkin bukan sekadar soal kebersihan.

Bau badan kronik, yang dikenali sebagai bromhidrosis, boleh berpunca daripada ketidakseimbangan bakteria pada kulit atau masalah kesihatan lain.

Menurut Chris Callewaert, penyelidik kanan di Universiti Ghent, Belgium, yang membuat pengkhususan dalam kajian bau badan, peluh sebenarnya tidak berbau.

Bau terhasil apabila bakteria semula jadi pada kulit dan folikel rambut menguraikan rembesan daripada kelenjar apokrin, yang banyak terdapat di kawasan seperti ketiak, payudara dan pangkal paha.

Bagi mereka yang mengalami bromhidrosis, proses tersebut mungkin terganggu, antaranya disebabkan kelenjar apokrin yang terlalu aktif atau kewujudan jenis bakteria tertentu secara berlebihan.

PERUBAHAN BAU BADAN BOLEH BERLAKU SECARA TIBA-TIBA

Bau badan seseorang boleh berubah secara tiba-tiba disebabkan beberapa faktor.

Antaranya perubahan hormon semasa akil baligh, perubahan pada keseimbangan bakteria dalam badan, penyakit yang menjejas metabolisme serta kesan sampingan ubat-ubatan.

Bromhidrosis juga boleh berlaku bersama hiperhidrosis, iaitu keadaan yang menyebabkan seseorang berpeluh secara berlebihan dan sukar dikawal.

Perubahan hormon semasa menopaus juga boleh menyebabkan seseorang lebih banyak berpeluh dan mengalami perubahan bau badan.

Masalah tersebut kadangkala sukar dikenal pasti kerana ia boleh berpunca daripada beberapa faktor pada masa yang sama.

BILA PERLU BERI PERHATIAN?

Perubahan ketara pada bau badan tidak semestinya menandakan seseorang menghidapi penyakit serius.

Namun, perubahan yang luar biasa atau berterusan tidak seharusnya diabaikan.

Menurut Encik Callewaert, perubahan pada bau badan pernah dikaitkan dengan beberapa keadaan kesihatan, termasuk kencing manis, penyakit Parkinson dan barah.

Justeru, perubahan pada bau badan yang berlaku secara tiba-tiba atau berterusan mungkin perlu diberikan perhatian, terutama jika disertai gejala lain.

Dalam kebanyakan kes, bau badan yang kuat pula berkait dengan mikrobiom badan.

Pemakanan juga mungkin memainkan peranan. Bau badan yang lebih kuat dikaitkan dengan pengambilan banyak daging dan makanan segera serta kurang sayur-sayuran.

Tekanan yang tinggi juga boleh menjadi salah satu faktor.

APA YANG BOLEH DILAKUKAN?

Beberapa langkah boleh membantu mengurangkan bau badan, termasuk menggunakan sabun antibakteria, mengelakkan jenis fabrik tertentu dan memastikan pakaian dicuci dengan baik.

Mengurangkan bulu pada bahagian tertentu badan juga boleh membantu kerana ia mengurangkan kawasan tempat bakteria berkumpul.

Namun, mandi dengan lebih kerap atau sekadar menukar kepada deodoran yang lebih kuat mungkin tidak menyelesaikan masalah bagi mereka yang mengalami bromhidrosis.

Malah, penggunaan sesetengah bahan antipeluh dan deodoran secara berlebihan mungkin mengubah keseimbangan bakteria pada kulit.

Jika bau badan berubah secara mendadak, berterusan atau disertai gejala lain, dapatkan nasihat doktor bagi mengenal pasti puncanya.
Sumber : Others/The Guardian/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita