Skip to main content

Gaya Hidup

Bateri litium ion di mana-mana. Ini cara tangani risiko kebakaran

Semasa bergegas keluar rumah pada 22 Jun sekitar pukul 2.30 petang, Sophie yang berusi 19 tahun tidak terfikir tentang alat pengecas mudah alih atau 'power bank' yang sedang dicas di atas katilnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Bateri litium ion di mana-mana. Ini cara tangani risiko kebakaran

Singapura menyaksikan peningkatan dari segi kejadian kebakaran yang melibatkan produk bateri litium ion. (Ilustrasi: CNA/Nurjannah Suhaimi)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 12 Jul 2025 09:28PM
SINGAPURA: Semasa bergegas keluar rumah pada 22 Jun sekitar pukul 2.30 petang, Sophie yang berusi 19 tahun tidak terfikir tentang alat pengecas mudah alih atau 'power bank' yang sedang dicas di atas katilnya.

'Power bank' itu - cenderahati yang diterima semasa satu acara perjumpaan sekolah pada 2022 - berfungsi dalam keadaan baik-baik sahaja hanya beberapa minggu lalu semasa beliau melancong ke Jepun. Selain terdapat kesan calar di sana sini disebabkan alat itu sering digunakan, tiada perkara lain yang tidak kena.

Sophie, yang sedang bersiap sedia untuk menduduki peperiksaan peringkat A dan enggan mendedahkan nama penuhnya atas sebab-sebab privasi, meletakkan 'power bank' itu di atas katil untuk mengelak daripada terpijak dan tersungkur alat tersebut jika diletakkan di lantai.

Maka, tentu sekali beliau terkejut apabila dihubungi keluarganya sekitar pukul 9.04 malam hari yang sama, memaklumkan bahawa satu kebaran tercetus dari dalam bilik tidur yang beliau kongsi dengan kakaknya.

"Adik lelaki saya lalu depan bilik saya untuk pergi mandi apabila dia ternampak asap hitam keluar dari bahagian atas dan bawah pintu," kata Sophie.

"Power bank meletup."

Sophie dan kakaknya tiada di rumah ketika itu kecuali anggota keluarga yang lain.

Mereka menggunakan alat pemadam api untuk memadamkan kebakaran dan kemudian menghubungi bomba.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akhirnya berjaya memadamkan kebakaran.

"Seluruh bilik gelap gelita - semuanya diselaputi jelaga," cerita beliau mengenai keadaan selepas insiden.

"Kami terpaksa menghubungi kontraktor untuk membersihkan jelaga dan bilik secara profesional dan membaiki semua wayar. Kami masih tiada alat penghawa dingin memandangkan ia sudah rentung. Ia (penghawa dingin baharu) hanya akan dipasang dalam minggu ini."

Katil beliau, sebahagian besar almari pakaian dan sebahagian pemain rekod miliknya, antara yang dijilat api.

Sejak insiden itu, Sophie dan keluarganya lebih berwaspada apabila mengecas peranti elektronik.

"Saya rasa tidak akan memiliki power bank lagi selepas ini," beliau memberitahu CNA Today pada 8 Julai.
Related article image
Keadaan bilik Sophie selepas 'power bank' beliau terbakar pada 22 Jun 2025. (Gambar: Sophie)
Tinjauan ke atas tajuk-tajuk berita menunjukkan pengalaman Sophie bukanlah insiden terpencil. Akhbar Shin Min Daily melaporkan sebuah 'power bank' meletup apabila ia dicas pada 5 Julai sekitar pukul 11.00 pagi, di sebuah flat empat bilik di Blok 339B Kang Ching Road di Jurong West.

Menjawab pertanyaan CNA TODAY, SCDF menyatakan kebakaran akibat 'power bank' yang dilaporkan meningkat daripada hanya enam pada 2020 kepada 13 pada 2024.

Tambahan lagi, kebakaran melibatkan alat pergerakan aktif seperti peranti pergerakan peribadi (PMD), alat bantuan pergerakan peribadi dan basikal berkuasa bateri terus meningkat.

SCDF menerima 67 panggilan bagi kebakaran melibatkan peranti pergerakan aktif pada tahun lalu, naik 21.8 peratus daripada 55 panggilan pada 2023.

Kenaikan jumlah kes kebakaran sedemikian, di samping insiden berprofil tinggi kebakaran melibatkan bateri di peringkat global, menarik perhatian kepada risiko berkait produk bateri litium ion, yang berkuasa tinggi bagi saiznya yang kecil.

Kebimbangan yang meningkat menyebabkan firma pengawal selia dan syarikat penerbangan merata dunia memperketat peraturan mengenai penggunaannya.

Pada Februari tahun ini, sebuah 'power bank' yang terbakar menyebabkan sebuah pesawat diselubungi asap - penerbangan Batik Air dari Johor Bahru, Malaysia, hingga ke Bangkok, Thailand - dan ini hanya salah satu daripada beberapa insiden dalam penerbangan melibatkan 'power bank' sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Disebabkan itu, beberapa syarikat penerbangan, termasuk Singapore Airlines, kini mengharamkan penggunaan dan pengecasan 'power bank' dalam pesawat.
Baru-baru ini, Pentadbiran Penerbangan Awam China menyatakan 'power bank' hanya boleh dibawa naik ke dalam pesawat bagi penerbangan domestik dalam China sahaja jika ia dengan jelas ditandakan dengan logo rasmi Pensijilan Wajib China. 'Power bank' yang labelnya sudah pudar atau tidak dapat dibaca atau dilihat dengan jelas logi tersebut atau merupakan sebahagian daripada produk yang ditarik balik juga akan dilarang.

Skuter elektrik dan basikal elektrik juga dilarang dalam pengangkutan awam di beberapa negara, seperti Britain, disebabkan kebimbangan tentang risiko kebakaran.

Kebakaran akibat bateri boleh tercetus atas pelbagai sebab seperti terlebih cas dan kerosakan pengilangan, menurut para pakar kepada CNA TODAY.

Sungguhpun demikian, memandangkan jumlah produk elektronik pengguna yang begitu besar - dari 'power bank', telefon bijak dan komputer riba hingga ke basikal berkuasa bateri dan PMD - para pakar mengataikan insiden serius sangat jarang berlaku jika dibandingkan dengan begitu banyaknya jumlah peranti sedemikian.

RINGAN, TAHAN LASAK

Bateri litium ion adalah bateri yang boleh dicas yang menyimpan dan melepaskan tenaga apabila cecair atau gel menggerakkan litium ion antara elektrod dalam kalangan sel bateri.

Dr Denice Durrant, pengarah kejuruteraan dan sains data di UL Standards & Engagement (ULSE), iaitu pertubuhan keselamatan global berpangkalan di Amerika Syarikat, berkata: "Ia sangat berkesan dan tahan lama, dan oleh itu ia semakin digunakan untuk mengecas banyak peranti yang kita gunakan setiap hari, tyermasuk telefon bijak, 'power bank' dan kenderaan elektrik."

Sekalipun demikian, bateri-bateri itu boleh terbakar. Selain terlebih cas dan kerosakan pengilangan, sebab lain termasukterlalu panas, litar pintas, dan kerosakan fizikal atau mekanikal.

Pendedahan kepada suhu tinggi dan fenomena di mana haba dalaman meningkat secara tidak terkawal juga boleh mencetuskan kebakaran.

Fenomena itu berlaku apabila suhu sel elektrokimia meningkat tidak terkawal disebabkan pemanasan yang berlaku, dengan terus mengeluarkan elektrik sedang ia menghasilkan suhu lebih pantas daripada tempoh yang diperlukan untuk menyejuk.

Disebabkan sel-sel litium ion padat dalam bateri, suhu ini boleh merebak ke sel-sel bersebelahan, mencetuskan reaksi berantai. Hasilnya boleh jadi suhu yang meningkat dengan begitu pantas dalam bateri itu, sekali gus berkemungkinan membawa kepada asap, api atau letupan.

Dr Sheikh Mohamed Anees, seorang saintis forensik kanan di Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX), berkata bateri- bateri akan haus dan lusuh disebabkan kitaran pengecasan dan penggunaan yang berulang dari masa ke masa.

"Ini boleh membawa kepada kerosakan dalaman, meningkatkan kemungkinan haba dalaman meningkat secara tidak terkawal. Petanda biasa bahawa bateri sudah lama adalah apabila ia kembung - meskipun itu bukanlah satu-satunya tanda amaran."
Related article image
Ruang tamu sebuah rumah flat di Blok 226 Lorong 8 Toa Payoh selepas kebakaran tercetus akibat bateri PMD pada 14 Mei 2025. (Gambar: Facebook/SCDF)
Seorang lagi pakar berkata terdapat cabaran dan risiko lain apabila memadamkan kebakaran melibatkan bateri litium ion.

Penolong Profesor Hung Dinh Nguyen dari Sekolah Kejuruteraan Elektronik dan Elektrikal Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkata: "Kebakaran bateri Litium sukar dipadamkan.

"Bateri Litium terbakar pada suhu sangat tinggi; misalnya, suhu api setinggi 1,500°C dilaporkan dalam modul bateri."

Selain itu, api boleh kekal dalam pek bateri yang tertutup, jadi bateri mungkin terus terbakar walaupun api di luarnya sudah dipadamkan.

"Kebakaran juga boleh tercetus lagi dalam modul bateri disebabkan saki baki tenaga terma dan reaksi kimia yang berterusan," tambah Penolong Profesor Nguyen.

"Kebakaran bateri litium juga mengeluarkan gas toksin seperti karbon monoksida, lantaran itu tahap waspada tinggi diperlukan semasa menangani kebakaran."

Pakar memberitahu CNA TODAY risiko kebakaran juga berbeza dari satu produk ke produk lain dan juga saiz bateri.

'POWER BANK'

Penolong Profesor Dhivya Sampath Kumar dari Institut Teknologi Singapura (SIT) berkata pengecas mudah alih sering kekurangan ciri keselamatan canggih yang terdapat dalam sistem yang lebih bersepadu seperti PMD atau telefon pintar. Ini biasanya mempunyai sistem pengurusan bateri bersepadu dengan pelbagai lapisan perlindungan sel, penderia suhu dan diagnostik bateri peringkat firmware.

Sistem pengurusan bateri menjejaki voltan bateri dan menghalang voltan pengecasan daripada melebihi voltan pengecasan maksimum untuk mengelakkan pengecasan berlebihan.

"Telefon pintar dan PMD direka sebagai sistem lengkap, dengan keselamatan bateri tertanam dalam perkakasan dan perisiannya, yang termasuk pengehadan terma, algoritma pengecasan adaptif, dan perlindungan yang diselaraskan melalui pemproses utama peranti," tambah Penolong Profesor Sampath Kumar.

"(Sebaliknya), 'power bank' adalah peranti pengecasan kendiri dengan sel bateri sedia ada dan papan perlindungan asas. Walaupun jenama yang bereputasi melaksanakan perlindungan seperti pemotongan pengecasan berlebihan, litar pintas dan pelepasan berlebihan, model yang lebih murah mungkin kekurangan ini atau menggunakan komponen bawah standard, meningkatkan risiko kebakaran."

Penolong Profesor Sampath Kumar juga berkata 'power bank' dengan ciri pengecasan pantas dan penarafan mAh yang lebih tinggi – ukuran kapasiti cas elektrik bateri – boleh memperkenalkan risiko tambahan, terutamanya jika tidak digandingkan dengan komponen keselamatan yang mencukupi.

"Pengecasan pantas melibatkan penghantaran arus atau voltan yang lebih tinggi melalui bateri dalam masa yang lebih singkat. Ini menghasilkan peningkatan haba dalam sel bateri dan dalam litar pengecasan.

"Jika power bank kekurangan pengurusan terma yang berkesan, peraturan arus yang tepat atau sistem pengurusan bateri yang ditentukur dengan baik, peranti boleh terlalu panas, merosot lebih cepat atau mengalami pelarian terma, terutamanya di bawah suhu melampau," tambahnya.

'Power bank' berkapasiti tinggi, yang biasanya 20,000mAh ke atas, mengandungi bilangan sel litium-ion yang lebih besar. Ini bermakna ia mempunyai jangka hayat bateri yang lebih panjang, tetapi ia datang dengan risiko ketidakseimbangan dalaman dan kegagalan peringkat sel yang lebih tinggi.

"'Power bank' berkapasiti tinggi yang bermutu rendah mungkin menggunakan sel yang diperbaharui, kumpulan sel yang tidak sepadan atau melangkau litar perlindungan untuk mengurangkan kos, meningkatkan faktor risiko," beliau memberi amaran.

PERANTI PERGERAKAN AKTIF

Kebakaran yang berpunca daripada peranti pergerakan aktif boleh disebabkan oleh faktor yang sama seperti yang berlaku pada power bank, contohnya, kecacatan pembuatan dan kerosakan fizikal.

Walau bagaimanapun, dengan peranti ini, pengubahsuaian haram juga boleh meningkatkan risiko kebakaran. Sesetengah orang mengubah suai bateri untuk meringankan berat peranti dan meningkatkan kapasiti bateri.

Perubahan sedemikian boleh meningkatkan kelajuan dan masa pengecasan peranti tetapi ia datang dengan risiko.

Encik Low Choon Chye, naib presiden Pusat Mutu Perkhidmatan, sebuah anak syarikat Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS), berkata: "Terdapat banyak pertimbangan yang perlu diambil kira, seperti keperluan arus dan spesifikasi komponen elektrik.

"Jika anda menukar beberapa komponen, ia mungkin menyebabkan ketidakserasian dan lonjakan arus dalam beberapa kes."

Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) dan SCDF dalam kenyataan bersama tahun lepas bahawa 60 peratus kebakaran daripada peranti pergerakan aktif pada tahun 2023 berpunca daripada peranti yang diubah suai secara haram, biasanya disebabkan oleh "kejanggalan elektrik dalam bateri mereka".

"Siasatan yang dijalankan oleh SCDF dan LTA menunjukkan bahawa kebanyakan kebakaran yang berkaitan dengan peranti pergerakan aktif disebabkan oleh pengubahsuaian pada litar elektrik peranti dengan menggunakan bahagian bukan asal atau pemasangan bateri tambahan."
Related article image
Pengubahsuaian haram peranti pergerakan aktif meningkatkan risiko kebakaran. (Gambar: CNA/Raj Nadarajan)
KENDERAAN ELEKTRIK

Pakar berkata kebakaran daripada kenderaan elektrik (EV) jarang berlaku secara global, dengan menyatakan bahawa terdapat peraturan ketat mengenai bateri EV.

Kenderaan elektrik juga sering dilengkapi dengan lapisan sistem perlindungan terbina dalam seperti sistem penyejukan canggih dan pemisah sel, yang mengurangkan dengan ketara kemungkinan kebakaran, kata Dr Sheikh dari HTX.

Di Singapura, SCDF berkata ia bertindak balas tahun lepas kepada 215 kebakaran yang melibatkan enjin pembakaran dalaman dan EV. Daripada jumlah ini, hanya satu melibatkan EV.

Antara 2020 dengan 2024, SCDF memberi repons kepada lima kebakaran EV. Sebaliknya, ia bertindak balas kepada 928 kebakaran kenderaan enjin pembakaran dalaman.

"Walaupun bilangan kebakaran EV yang agak rendah pada masa ini, SCDF sedar dan bersedia untuk cabaran unik seperti risiko haba dalaman meningkat secara tidak terkawal yang melibatkan bateri voltan tinggi," katanya sebagai respons kepada pertanyaan CNA TODAY.

Setiap kenderaan harus dilengkapi dengan alat pemadam api serbuk kering, yang boleh digunakan untuk memadamkan kebakaran kecil sebelum ia merebak atau menjadi lebih besar, tambahnya.

"Jika anda mengesan kebakaran dan mempunyai alat pemadam api bersama anda, anda boleh cuba memadamkan kebakaran kenderaan itu semasa ia masih kecil atau selamat untuk berbuat demikian. Jika tidak, hubungi 995 untuk bantuan SCDF.

"Walau bagaimanapun, jika anda melihat tanda-tanda kebakaran bateri yang melibatkan EV, jangan cuba memadamkan api dan sebaliknya hubungi 995 untuk bantuan SCDF."

RUANG SANGAT TERKAWAL

Meskipun risiko didokumenkan dengan baik, bateri litium ion kekal menjadi pilihan utama untuk produk pengguna kerana tiada alternatif setakat ini, kata pakar.

Alternatif lain yang sedia ada, seperti bateri asid plumbum dan nikel-kadmium, mempunyai ketumpatan tenaga yang rendah dan oleh itu tidak dapat menyimpan banyak tenaga dalam jumlah ruang yang sama.

"Penggunaannya terhad kepada aplikasi grid kuasa dan sebagai bekalan kuasa sandaran," kata Penolong Profesor Nguyen dari NTU.

Memandangkan litium adalah logam yang agak jarang, penyelidik sedang membangunkan bateri baharu berdasarkan natrium dan kalium. Penyelidikan itu menjanjikan, tambahnya, tetapi pembangunan lanjut diperlukan sebelum ini boleh bersaing dengan bateri litium ion.

Walaupun kebimbangan mengenai bateri litium-ion adalah sah, bateri adalah selamat dan risikonya boleh diuruskan, kata pakar.

"Bateri litium ion boleh berbahaya jika dikendalikan secara tidak betul atau dibuat dengan buruk," Dr Durrant dari ULSE memberi amaran, dengan mengatakan bahawa ini adalah sebab mengapa ULSE membangunkan piawaian keselamatan bateri dan berusaha untuk memajukan pendidikan awam mengenai peranti ini.

"Jika produk berkuasa bateri dibina mengikut piawaian keselamatan yang tinggi dan digunakan dengan betul, kemungkinan insiden adalah sangat rendah," tambahnya.

Encik Low dari Pusat Mutu Perkhidmatan berkata salah satu piawaian keselamatan yang diiktiraf ialah UL2054, yang memerlukan bateri dalam aplikasi rumah tangga dan komersial menjalani ujian ketat di bawah keadaan penyalahgunaan seperti litar pintas, pengecasan berlebihan, jatuh dan remuk.

Ini sering diperlukan untuk produk yang dijual di Amerika Utara.

Terdapat juga UN38.3, piawaian keselamatan pengangkutan mandatori untuk bateri litium, yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Ia terpakai kepada semua sel litium ion dan litium-logam serta bateri yang dihantar melalui udara, laut atau darat … dan ia diperlukan oleh peraturan perkapalan antarabangsa untuk mencegah insiden semasa transit," kata Encik Low.
Related article image
Meskipun risiko didokumenkan dengan baik, bateri litium ion kekal menjadi pilihan utama untuk produk pengguna kerana tiada alternatif setakat ini, kata pakar. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)
Di Singapura, beberapa pertubuhan juga menguatkuasakan pelabelan dan ujian keselamatan untuk bateri ini.

Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) memberitahu CNA TODAY bahawa Pejabat Keselamatan Produk Pengguna (CPSO) menguruskan Peraturan Perlindungan Pengguna (Keperluan Keselamatan Barangan Pengguna).

Di bawah peraturan ini, pembekal bertanggungjawab untuk memastikan bahawa barangan pengguna am, termasuk power bank, atau elektronik pengguna lain yang mengandungi bateri litium ion, mematuhi piawaian keselamatan yang berkenaan sebelum ia boleh dijual di sini.

CPSO juga menjalankan "pengawasan pasaran proaktif untuk mengenal pasti barangan pengguna yang tidak selamat yang dijual di pasaran dan mungkin memerlukan pembekal produk yang tidak patuh untuk menghentikan bekalan", menurut CCCS.

Pada tahun 2022, dua daripada lima model 'power bank' yang diuji didapati tidak mematuhi piawaian antarabangsa dan pembekal mereka diarahkan untuk menghentikan bekalan produk.

Pejabat itu kemudian menguji 13 model power bank pada tahun 2024 dan semuanya didapati mematuhi piawaian antarabangsa.

"Sejak 2022, CPSO telah menyiasat beberapa insiden yang melibatkan produk berkuasa bateri, termasuk 'power bank' dan elektronik pengguna lain.

"CPSO menghubungi pembekal dalam kes-kes ini dan mengesahkan bahawa produk mematuhi piawaian keselamatan yang berkenaan," tambah CCCS.

LTA juga mengawal selia penggunaan peranti mobiliti aktif di Singapura. Antara keperluannya, PMD mesti diperakui di bawah piawaian keselamatan kebakaran UL2272, yang memastikan bateri dapat menahan keadaan fizikal yang melampau.

Pada 23 Januari tahun ini, seorang peruncit didakwa apabila ditangkap menjual bateri yang tidak mematuhi piawaian dan basikal berbantu kuasa yang diubah suai secara haram, yang kedua-duanya dikaitkan dengan kebakaran pada April 2024.

Ini adalah pendakwaan pertama Singapura. Peruncit itu, Prince Bryan Tan, 29 tahun, diperintahkan membayar denda S$7,000.

Dr Sheikh dari HTX berkata piawaian ini disemak dan disyorkan oleh pasukan petugas antara agensi yang terdiri daripada pakar dari sektor awam dan swasta, pengawal selia dan pihak berkepentingan.

Piawaian itu sentiasa disemak dan dikemas kini berdasarkan amalan terbaik antarabangsa dan penemuan penyelidikan domestik sebelum akhirnya diterima pakai.

Beliau menambah bahawa agensi itu menjalankan penyelidikan untuk meningkatkan keupayaan dalam mencegah dan mengurangkan kebakaran bateri, contohnya, dengan menambah baik infrastruktur seperti pemercik dan sistem penyemburan kabus.

HTX juga merupakan pengasas bersama Rangkaian Keselamatan Bateri Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), yang bertujuan untuk menubuhkan dan menambah baik piawaian keselamatan bateri serantau dan amalan terbaik, kata Dr Sheikh.

ELAK BAHAYA: TIPS

Walaupun dengan usaha terbaik dan peraturan yang lebih ketat, adalah mustahil untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran bateri, kata pakar.

Encik Low dari Pusat Mutu Perkhidmatan berkata bahawa walaupun pengeluar melakukan ujian mereka sendiri, produk yang rosak mungkin masih sampai ke tangan pengguna.

"Walaupun dihantar untuk ujian, (pengeluar) tidak menghantar keseluruhan kumpulan produk untuk diuji secara individu," tambahnya. "Selalu ada tahap keyakinan bahawa produk akan selamat berdasarkan kebarangkalian."
Related article image
Encik Low Choon Chye (gambar), naib presiden Pusat Mutu Perkhidmatan, berkata bahawa menjatuhkan bateri power bank, contohnya, boleh menyebabkan kerosakan fizikal, yang membawa kepada litar pintas. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)
Selain itu, terdapat juga kesilapan pengguna.

"Kerosakan fizikal boleh menyebabkan litar pintas. Sel bateri dipisahkan oleh pemisah, selalunya diperbuat daripada plastik. Jadi, contohnya, jika anda menjatuhkan (bateri), anda boleh merosakkannya, menyebabkan litar pintas," jelas Encik Low.

Penolong Profesor Sampath Kumar dari SIT berkata bahawa pasaran dalam talian dan import yang tidak disahkan menimbulkan cabaran peraturan kerana sukar bagi pihak berkuasa untuk menjejaki setiap pembelian 'power bank' untuk memastikan pematuhan.

"Lebih-lebih lagi, sifat 'power bank' yang pelbagai dengan pelbagai kapasiti dan teknologi menjadikan pemantauan yang konsisten sebagai cabaran besar," tambahnya.

"Banyak model murah dalam talian tidak mengisytiharkan sijil mereka dan pembeli biasa mungkin tidak menyedari risiko keselamatan mereka."

JAGA KESELAMATAN PEMBELI BATERI LITIUM ION

Memandangkan hampir mustahil untuk mengelakkan produk litium ion kerana penggunaannya yang meluas, pengguna boleh mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan risiko kebakaran.

Mereka harus membeli produk bateri litium ion dari peruncit yang dipercayai, memastikan barangan tidak tertakluk kepada sebarang penarikan balik dan memeriksa bahawa pengecas atau penyesuai mempunyai tanda KESELAMATAN yang sah yang didaftarkan dengan CPSO, kata pakar dan pihak berkuasa.

Memandangkan bateri terdedah kepada haus dan lusuh dari masa ke masa, pakar juga memberi amaran agar tidak membeli produk terpakai.

Peranti pergerakan aktif dikehendaki memenuhi keperluan peraturan dan ujian sebelum diimport dan digunakan di Singapura. Orang yang ingin membeli peranti sedemikian harus bertanya kepada peruncit sama ada ia telah memenuhi keperluan dan piawaian ujian.

CCCS memberitahu CNA TODAY bahawa selepas membeli produk atau peranti, pengguna juga harus mengambil langkah berjaga-jaga apabila menggunakan atau mengecas produk bateri:
 
  • Gunakan hanya pengecas dan bateri yang disyorkan oleh pengeluar
  • Ikuti arahan pengecasan peranti dengan teliti
  • Pantau semasa mengecas dan cabut apabila dicas sepenuhnya
  • Jangan sekali-kali mengecas produk di kawasan yang mempunyai aliran udara terhad seperti di bawah bantal atau di atas tempat tidur
  • Jauhkan peranti dan bateri daripada sumber haba dan kelembapan
  • Peranti elektronik tidak boleh dicas semalaman dan tanpa pengawasan, pakar memberi amaran.
     

Pengguna juga harus berhati-hati agar tidak mengecas peranti mereka dengan pengecas pantas yang mempunyai output elektrik lebih tinggi daripada apa yang boleh dikendalikan oleh peranti mereka.

Perhatikan tanda-tanda amaran bahawa produk bateri litium-ion tidak boleh digunakan, yang termasuk:

  • Bateri kembung atau bengkak
  • Kebocoran kimia
  • Haba berlebihan semasa mengecas
  • Bau yang luar biasa
  • Kerosakan fizikal
     

CCCS menyatakan sekiranya tanda-tanda amaran ini muncul, pengguna harus berhenti menggunakan peranti dan menghubungi pengedar sah atau penyedia perkhidmatan untuk bantuan.

Peranti sedemikian juga harus dilupuskan dengan berhati-hati di pusat pengumpulan e-sisa.

CNA TODAY melawat 10 rumah di mana kebakaran daripada peranti pergerakan aktif berlaku dalam tempoh tiga tahun lalu di seluruh Singapura antara 8 dan 10 Julai. Empat pemilik rumah sudah berpindah keluar, manakala yang lain tiada di rumah atau enggan memberi komen.

Jiran-jiran mereka, bagaimanapun, mengubah pandangan mereka tentang bateri litium ion berikutan kebakaran. Mereka berkata mereka lebih berhati-hati dengan PMD dan tidak meninggalkan peranti elektronik mereka dicas semalaman dan tanpa pengawasan.

Bagi Sophie, dua minggu tidur di ruang tamu dan terpaksa mengubah suai bilik tidurnya serta menggantikan barang-barangnya menyebabkan beliau takut akan 'power bank'.

"Saya keluar dengan beberapa rakan dan bateri telefon saya hampir habis tetapi saya tidak mempunyai power bank. Saya terpaksa meminjam rakan saya," katanya.

"Saya rasa saya tidak akan dapat memiliki 'power bank' lagi selepas insiden ini."

Sumber : CNA/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita