Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bapa ini kongsi perubahan anak-anak setelah padamkan YouTube, YouTube Kids

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Kebanyakan ibu bapa tahu bahawa peranti adalah antara faktor yang membuat anak-anak mereka leka sehingga mereka lalai atau lupa melaksanakan tanggungjawab mereka. Malah, ada sehingga prestasi anak mereka makin merosot di dalam kelas. 

Mana taknya, kebanyakan anak-anak didapati menghabiskan masa sekitar sembilan jam sehari di hadapan skrin telefon tanpa mereka sedari, kongsi portal Keluarga. 

Sudah tentu ini akan membuat kebanyakan ibu bapa risau! 

Jangan bimbang. Tindakan Ameen Misran, seorang ayah kepada dua anak-anak lelaki, boleh dijadikan contoh apabila nekad memadamkan aplikasi-aplikasi yang melalaikan anak-anaknya. Kesannya boleh dilihat dalam masa seminggu, anaknya berubah dan kurang mengamuk atau naik marah. 

"Setelah seminggu saya buang YouTube dan YouTube for Kids dalam peranti Android Box untuk anak-anak, saya dapati anak-anak berubah. 

"Mereka kurang marah, kurang merengek, kurang terikat dengan TV. Bila waktu tutup, tidak marah, tidak meminta-minta cerita apa hendak tonton, nampak lebih bertenang mereka ini. Seronok saya," luah Ameen menerusi catatan di akaun Facebooknya, seperti dipetik portal Keluarga.  

Ameen menyatakan beliau pernah membaca sedikit tentang perubahan anak-anaknya. Rupa-rupanya, bila kanak-kanak sudah pandai memegang alat kawalan jauh atau 'remote', mereka akan berasa resah untuk menukar cerita atau mencari kata kunci di aplikasi YouTube atau YouTube for Kids sehingga mereka rasa puas hati. 

"Sama juga macam kita yang sudah besar panjang. Kita pun resah kan bila tengok YouTube? Bila semakin banyak cerita yang kita gemar keluar sebagai cadangan di YouTube, makin seronoklah kita sebab banyak cerita yang kita suka tengok. Agaknya apa kesan pada anak-anak...," kata Ameen lagi. 

Sebagai Alternatif, Ameen mencadangkan untuk menonton siaran langsung televisyen. 

"Bagus siaran TV secara langsung ni tuan-tuan puan-puan. Anak-anak tidak boleh pilih nak tengok cerita apa. Seterusnya mereka lebih tenang dan bersabar, berbanding YouTube yang lebih mengikut kesukaan pengguna. Tukar-tukar antara Nickelodeon atau Cartoon Network. Kemudian bolehlah saya buka saluran-saluran dokumentar untuk memberikan mereka menyaksikan cerita-cerita lain selain kartoon, seperti haiwan liar atau haiwan di laut. 

"Kemudian ada iklan. Ini bagi anak-anak masa untuk bertenang," ujar Ameen lagi. 

Oleh itu, jika anda bimbang tentang penggunaan telefon atau iPad oleh anak-anak kecil anda, mungkin anda boleh cuba mengawal masa mereka menggunakan peralatan digital mereka, sedikit demi sedikit, lapor portal Keluarga. 

Sumber : Sumber Web/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan