Skip to main content

Gaya Hidup

Bangsawan Kencana Sakti buka tirai sambutan Bulan Bahasa WGS; julung kali diadakan

Pementasan Bangsawan Kencana Sakti membuka tirai sambutan Bulan Bahasa 2026 di Wisma Geylang Serai (WGS) pada Sabtu (15 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Bangsawan Kencana Sakti buka tirai sambutan Bulan Bahasa WGS; julung kali diadakan

Pementasan Bangsawan Kencana Sakti membuka tirai sambutan Bulan Bahasa 2026 di Wisma Geylang Serai pada 15 Ogos 2026. (Gambar: WGS)

Diterbitkan : 18 Aug 2026 07:20PM
SINGAPURA: Pementasan Bangsawan Kencana Sakti membuka tirai sambutan Bulan Bahasa 2026 di Wisma Geylang Serai (WGS) pada Sabtu (15 Ogos).

Dipentaskan di Persada Budaya, ia merupakan kali pertama sebuah persembahan bangsawan diadakan di WGS.

Pementasan tersebut turut menandakan permulaan kempen 'Budaya Milik Kita', yang berlangsung hingga 10 Oktober sempena sambutan Bulan Bahasa anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), dengan pelbagai kegiatan yang meraikan bahasa, warisan dan kesenian Melayu.

BANGSAWAN KENCANA SAKTI

Ditulis dan diarahkan penerima Pingat Budaya Nadiputra Almahdi, Bangsawan Kencana Sakti mengisahkan konflik antara dua kerajaan, Alam Maya Candrapura dan Alam Buana Ninggra, yang berpunca daripada peristiwa yang berlaku beberapa dekad lalu.

Di sebalik pergolakan istana dan perebutan kuasa, kisah tersebut turut mengetengahkan nilai-nilai kekeluargaan, persaudaraan dan ketabahan dalam menghadapi cabaran.
Related article image
Adegan daripada Bangsawan Kencana Sakti di Persada Budaya, yang membuka tirai kempen “Budaya Milik Kita” di Wisma Geylang Serai. (Gambar: WGS)
Related article image
Para pelakon menghidupkan kisah perseteruan antara kerajaan Alam Maya Candrapura dengan Alam Buana Ninggra menerusi penceritaan dramatik, kostum yang indah, muzik dan tarian yang menjadi ciri seni bangsawan tradisional. (Gambar: WGS)
Bangsawan merupakan satu bentuk opera tradisional Melayu yang terkenal dengan penceritaan dramatik, kostum yang indah, serta persembahan muzik dan tarian.

Menerusi pementasan Bangsawan Kencana Sakti, para penonton dapat menikmati salah satu tradisi seni persembahan dunia Melayu.

Tradisi tersebut terus memainkan peranan dalam memelihara warisan budaya dan menyampaikan kisah daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

BANGSAWAN SEBAGAI TRADISI BUDAYA

Dalam ucapan pembukaannya, Menteri Negara Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri Zhulkarnain Abdul Rahim menekankan pentingnya bangsawan sebagai tradisi budaya yang terus memelihara bahasa, warisan dan kisah masyarakat Melayu merentas generasi.

“Bangsawan melangkaui pentas dan cerita. Ia merupakan denyutan nadi warisan kita, tempat bahasa dihidupkan, budaya berkembang dan kisah masyarakat kita terus bersinar, disampaikan dari hati ke hati dan dari generasi ke generasi,” kata Encik Zhulkarnain.

Pementasan tersebut turut menampilkan kemunculan istimewa pelakon veteran Azman Shariff.
Related article image
Pelakon veteran Azman Shariff membuat penampilan istimewa dalam Bangsawan Kencana Sakti di Persada Budaya, Wisma Geylang Serai. (Gambar: WGS)
ACARA SEMPENA 'BUDAYA MILIK KITA'

Menyusuli pementasan Bangsawan Kencana Sakti, beberapa lagi kegiatan menarik akan diadakan di bawah kempen 'Budaya Milik Kita'.

Antaranya termasuk Sepetang Bersama Triduta pada 23 Ogos, sebuah forum yang disertakan dengan persembahan muzik dan puisi.

Forum tersebut akan membincangkan usaha untuk melestarikan bahasa Melayu serta tanggungjawab bersama untuk mewariskannya kepada generasi akan datang.

Pada 12 September pula, GeylangGang Dikir akan berlangsung, sekali gus menghimpunkan kumpulan dikir barat dari seluruh Singapura.

Ia disusuli Bengkel Rentak Akar pada 26 dan 27 September, yang memberi tumpuan kepada rebana serta tradisi muzik Melayu.

Kempen 'Budaya Milik Kita' akan melabuhkan tirainya dengan Laman Warna pada 10 Oktober.

Acara tersebut akan menampilkan kegiatan seni dan kraf serta satu percubaan untuk mencatat rekod baharu dalam Buku Rekod Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita