Skip to main content

Gaya Hidup

Bangkit selepas terlantar: Bagaimana nahas yang hampir meragut nyawanya dorong jurulatih ini galakkan kaum ibu, warga emas bersenam

Anggaran Waktu Membaca:
Bangkit selepas terlantar: Bagaimana nahas yang hampir meragut nyawanya dorong jurulatih ini galakkan kaum ibu, warga emas bersenam

Jurulatih peribadi Siti Maryam Abdul Rahman mempamerkan ototnya semasa bergambar pada 10 Julai 2026. Beliau tidak pernah membayangkan bahawa tubuhnya yang sasa menjadi antara faktor yang membantunya terselamat daripada nahas bas yang ngeri. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)

Diterbitkan : 02 Aug 2026 11:14PM
SINGAPURA: Dengan ketinggian 1.55m, jurulatih peribadi Siti Maryam Abdul Rahman baru-baru ini mencapai prestasi terbaik peribadi dengan mengangkat besi seberat 110kg - satu pencapaian yang lebih luar biasa memandangkan beliau pernah terlantar di atas katil hanya tiga tahun lalu selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang mengerikan.

Pada tahun 2023, sebuah bas dua tingkat berlanggar dengan motosikalnya, menyebabkan wanita berusia 33 tahun itu koma selama empat hari dan memerlukan 10 pembedahan. Doktor kemudian memberitahunya bahawa jisim ototnya mungkin telah membantu mengurangkan tahap kecederaannya.

Berbekalkan tekad untuk pulih, beliau mula bersenam semasa masih dirawat di hospital dan melebihi jangkaan doktor apabila mampu berjalan semula selepas hanya tiga bulan dan bukannya enam hingga sembilan bulan yang diramalkan.
MENGATASI TRAGEDI YANG MENIMPA DIRI

Kemalangan itu berlaku semasa tempoh paling sukar dalam hidup Cik Maryam.

Ketika itu, beliau ibu tunggal kepada empat orang anak, sedang dalam proses bercerai selepas mendapati suaminya curang, dan melakukan dua pekerjaan untuk menyara keluarganya.

Proses pemulihan amat mencabar dari segi fizikal dan emosi, dengan ibunya mengambil alih tugas menjaga beliau dan anak-anaknya.

Walaupun mengalami kemurungan dan perlu menjalani pemulihan selama berbulan-bulan, Cik Maryam tetap fokus untuk mendapatkan semula kebebasan diri dan kembali bekerja.

Kini, beliau berkata onak duri yang dilaluinya hanya menguatkan azamnya untuk terus melangkah ke hadapan
Related article image
DARIPADA SEORANG MANGSA KEPADA JURULATIH KECERGASAN

Kini kembali bertugas sebagai jurulatih peribadi, Cik Maryam, yang dikenali online sebagai "GymBaddie SG", bersemangat untuk membantu orang lain - terutamanya golongan ibu - membina keyakinan diri melalui kecergasan.

Beliau memulakan perjalanan kecergasannya selepas berat badannya bertambah berikutan kelahiran anak pertama dan menjadi jurulatih peribadi yang bertauliah pada tahun 2022.

Salah satu kisah kejayaan terbesarnya melibatkan ibunya yang berusia 73 tahun, Rosemina Hamzah, yang mesra dikenali online sebagai Cik Rose.

Selepas ibunya jatuh dan mengalami masalah bergerak, Cik Maryam memujuk beliau untuk memulakan latihan menguatkan tubuh dan bukannya bergantung pada alat mobiliti peribadi. Hampir setahun kemudian, Cik Rose sendiri mengecapi pencapaian peribadi terbaik termasuk menamatkan larian 4km, tujahan pinggul dengan beban 70kg, dan angkat besi seberat 67.5kg dengan bantuan.

Kedua-dua mereka berkata sesi latihan bersama juga telah mengeratkan hubungan mereka.
CETUS INSPIRASI BAGI MASYARAKAT

Cik Rose menjadi tokoh popular di media sosial, sekali gus memberi inspirasi kepada ramai warga emas untuk mempertimbangkan latihan membina kekuatan.

Didorong sambutan yang menggalakkan, Cik Maryam melancarkan inisiatif "Bergerak dengan Ma-chics" untuk menggalakkan lebih ramai orang, terutamanya wanita Melayu yang lebih tua, untuk menjalani gaya hidup aktif.

Acara berjalan kaki bersama masyarakat pertama yang dianjurkan pada Jun lalu berjaya memenuhi kesemua 50 tempat yang ditawarkan dalam tempoh tiga hari. Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut tahap kelajuan berjalan masing-masing.

Cik Maryam kini berharap dapat mengembangkan inisiatif itu menerusi lebih banyak acara berjalan kaki dan bengkel latihan membina kekuatan untuk mereka yang mahu bermula, sambil meneruskan impian jangka panjangnya untuk membuka sebuah gimnasium yang mengalu-alukan orang ramai dari semua peringkat umur.

Pesanannya mudah sahaja: tidak pernah terlambat untuk bermula.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita