Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Balu pada usia 32 tahun, ibu 2 anak ini kongsi cara bantu anak atasi rasa duka dan kehilangan

Anggaran Waktu Membaca:
Balu pada usia 32 tahun, ibu 2 anak ini kongsi cara bantu anak atasi rasa duka dan kehilangan

(Gambar: Naadira Aziz)

Diterbitkan : 11 Jan 2025 12:28AM Dikemas Kini : 11 Jan 2025 12:30AM

SINGAPURA: Cik Naadira Aziz, kematian suaminya ketika berusia 32 tahun.

Suami beliau, Hasyali Siregar Hasbullah, meninggal dunia pada Disember 2022 akibat melanoma Tahap 4 – dikenali sebagai bentuk barah kulit yang paling berbahaya, selepas bertarung melawan penyakit itu selama kira-kira satu setengah tahun.

Beliau yang mempunyai dua anak lelaki, Ibrahim dan Idris, masing-masing berusia lima dan tiga tahun ketika itu, segera memaklumkan kepada guru prasekolah anak lelakinya tentang kematian bapa mereka.

Menurutnya, ini supaya guru di sekolah anaknya itu "lebih sedar tentang kesedihan" yang dilalui anak-anaknya.

Namun, beliau mendapati dirinya terpaksa berdepan dengan guru anaknya untuk menjelaskan lagi keadaan.

"Saya terpaksa berkata kepada guru itu: Saya harap anda lebih faham dan layan dia dengan cara lebih baik, cara anda bercakap dengan Ibrahim, kerana dia sedang melalui masa yang sangat sukar sekarang dan sebarang perubahan dalam rutin adalah menakutkan baginya," kata Cik Naadira kepada Mediacorp.

TAK SELESA CAKAP TENTANG KEMATIAN

Beliau kini bekerja sebagai fasilitator program di perusahaan sosial The Life Review.

Cik Naadira memohon jawatan itu selepas melihat kesan kematian suaminya terhadap anak-anak beliau yang masih kecil.

(Gambar: Naadira Aziz)
Tumpuan organisasi itu ialah untuk membiasakan orang ramai berbual tentang kematian, rasa duka dan kehilangan akaibat kematian melalui pendidikan dan penglibatan masyarakat. Cik Naadira berharap perbualan seperti itu boleh dimulakan di dalam bilik darjah.

Ketika Ibrahim mula masuk sekolah rendah tahun lalu, beliau terlupa untuk memberitahu tentang arwah suaminya kepada guru baharu anaknya itu.

“Anak saya terpaksa bersusah payah bercakap dengan gurunya bahawa bapanya telah meninggal dunia semasa satu sesi perbualan dalam kelas tentang bagaimana pelajar pergi ke sekolah. Tapi gurunya macam tak faham. Dengan bersahaja dia bertanya, ‘Jadi Ibrahim, adakah bapa kamu menghantar kamu ke sekolah sebelum dia pergi kerja?’” kata Cik Naadira.

"Ibrahim hanya menjawab, 'Oh, dia sudah meninggal dunia.' Apabila dia memberitahu saya, saya bertanya perasaannya ketika itu, dan dia jawab, 'Tidak mengapa ibu, saya rasa dia (guru) tidak tahu.'"

Tambah Cik Naadira, walaupun selepas guru itu tahu, dia "masih ada rasa kurang selesa untuknya bercakap tentang kematian".
(Gambar: Naadira Aziz)
Apabila Ibrahim dilantik sebagai pengawas kelas tahun lepas, beliau berkongsi kebimbangannya dengan guru anaknya itu tentang tanggungjawab tambahan tersebut. Guru itu meyakinkannya, sambil berkata, "Ibrahim adalah salah seorang kanak-kanak tujuh tahun yang paling matang dari segi emosi yang pernah saya temui dalam hidup saya."

ELAK BUAT PERSIAPAN HADAPI KEMATIAN

Empat tahun lebih tua daripada Cik Naadira, arwah suaminya adalah seorang yang mempunyai prinsip yang kuat dan tidak banyak bercakap.

Mereka berkahwin pada Ogos 2015, 11 bulan selepas berkenalan.

Tetapi selepas diberitahu diagnosis awal melanoma Tahap 1 pada Jun 2021, personalitinya yang tabah mempengaruhi keengganannya untuk bercakap tentang "perkara yang perlu dibincangkan", kata Cik Naadira.

Sejak melahirkan anak lelakinya yang pertama pada 2017 beliau menjadi suri rumah tangga manakala suaminya adalah pencari nafkah tunggal, bekerja sebagai seorang pegawai imigresen.

“Saya mahu berbincang tentang isu kewangan. Tetapi saya takut topik itu mungkin menunjukkan kepadanya bahawa saya telah putus harapan - dan harapan adalah perkara yang sangat rumit apabila anda berhadapan dengan seseorang yang menghidap barah - jadi kami mengelaknya."
(Gambar: Naadira Aziz)
Dan apabila arwah suaminya, pada mulanya menolak mendapatkan rawatan, Cik Naadira berasa seakan bertanggungjawab dan semakin tidak berdaya.

Arwah suaminya akhirnya bersetuju untuk menjalani pembedahan pada Ogos 2021 bagi ketumbuhan di bahagian kepalanya. Bagaimanapun tidak sampai setahun kemudian, pemeriksaan imbasan mendapati barahnya itu sudah berada pada Tahap 4.

Pada September 2022, barah itu sudah memasuki otaknya. Pakar onkologinya memberitahu suaminya beliau boleh melakukan pembedahan kecemasan atau memilih untuk mempersiapkan diri menghadapi kematian.

Tetapi dua bulan selepas pembedahan itu, tumornya kembali.

Dan apabila rawatan yang dijalaninya tidak lagi berkesan, arwah suaminya memilih untuk pulang dari hospital supaya dapat berada di sisi keluarganya di rumah. Ini juga bermakna Cik Naadira tidak lagi dapat mengelakkan bercakap dengan anak-anaknya tentang keadaan bapa mereka. Anak-anaknya dapat melihat personaliti ayah mereka berubah akibat penyakit barahnya itu.
(Gambar: Naadira Aziz)

BUKA CERITA TENTANG KEMATIAN

Pakar onkologi memberitahu Cik Naadira, arwah suaminya hanya mempunyai baki dua hingga tiga bulan bersama mereka.

Namun, beliau meninggal dunia 12 hari kemudian.

Disebabkan suaminya meninggal dunia lebih cepat daripada jangkaan, dunia seakan terhenti seketika buat Cik Naadira.

"Saya menulis surat selepas dia meninggal dunia, dan tidak tahu nak buat apa dengan surat-surat itu. Saya hanya menulisnya kerana saya rasa ada banyak perkara yang ingin saya katakan."

Apabila beliau mula bekerja semula, Cik Naadira memilih untuk kembali ke kerjayanya sebelum ini sebagai pekerja sosial, tetapi akhirnya berhenti. Beliau kemudian mendapat pekerjaan baharu sebagai penasihat kewangan - yang memberinya ruang untuk mengatur masa - dan memohon untuk bekerja dengan The Life Review.

Cik Naadira menerima sokongan emosi dan sosial daripada kumpulan Death Over Dinner, satu inisiatif oleh The Life Review di mana pesertanya bercakap tentang pengalaman peribadi mereka akibat kehilangan orang tersayang sambil berkongsi makanan.

Sepanjang proses penyembuhan susuli kematian suaminya itu, membuat Cik Naadira sedar betapa pentingnya sokongan sosial. Dan beliau percaya ini boleh bermula di prasekolah, dengan pemantauan dan komunikasi rapat antara guru dan ibu bapa.

“Kita boleh bercakap tentang cara untuk menyokong seseorang, atau kita boleh berasa selesa dengan topik kematian, kesedihan dan kehilangan. Kerana jika guru tidak selesa, maka pelajar tidak akan selesa. Ketika itulah (mereka seperti) anak-anak saya akan mengalami perasaan dia ‘lain daripada orang lain’,” katanya.

"Apa yang kami pelajari tentang kesedihan dalam kalangan kanak-kanak (di The Life Review) ialah mereka mahukan rangkaian rakan sebaya - rakan sebaya lain yang telah melalui kehilangan, sama ada disebabkan perceraian atau kematian. Mereka mahu berasa normal. Mereka mahu seseorang yang faham mereka rasa takut tetapi mereka tidak boleh memberitahu ibu bapa mereka,” kata Cik Naadira.

(Gambar: Naadira Aziz)
Bahkan, yang sama juga diperlukan oleh orang dewasa yang berduka, tambahnya.

Oleh itu, apabila beliau melibatkan diri dengan peserta The Life Review, mesej Cik Naadira adalah mudah: Menjadi lebih sedar tentang kematian mendorong seseorang untuk menjalani hidup dengan lebih baik.

Beliau juga berpegang kepada empat ungkapan berikut:

Saya minta maaf. Saya maafkan awak. Terima kasih. Saya sayang awak.
Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan