Bahan pembersih boleh basmi kuman tapi bawa padah jika 'terminum'
Kerap guna bahan pembersih di tengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang? Pakar-pakar jelaskan tentang bahaya dan cara-cara mengelakkan bahaya yang tidak diingini...
(Gambar hiasan: Belchonock/Canva)
SINGAPURA: Rasa melecur dan sakit di mulut dan tekak, muntah dan masalah pernafasan. Dalam kes yang teruk, hilang upaya kekal atau kematian.
Itulah antara beberapa kesannya apabila cecair pembasmi kuman, yang mengandungi bahan toksik, ditelan.
Presiden Donald Trump baru-baru ini memeranjatkan orang ramai seluruh dunia apabila beliau mencadangkan agar bahan pembasmi kuman disuntik ke dalam tubuh manusia demi membunuh virus COVID-19.
Meskipun bahan sebegitu berguna untuk membasmi kuman dan virus seperti yang menyebabkan jangkitan COVID-19, ia boleh membawa padah kepada tubuh badan manusia.
Para doktor yang ditemui Mediacorp berkata kes keracunan melibatkan bahan pembersih rumah agak biasa didengar di jabatan kecemasan di sini.
KERACUNAN AKIBAT PRODUK PEMBERSIH
Profesor Madya R Ponampalam, konsultan kanan jabatan perubatan kecemasan di Hospital Besar Singapura (SGH), berkata bahawa pendedahan toksik boleh terjadi secara tidak sengaja, misalnya apabila produk disimpan atau dilabel dengan salah, atau keracunan yang sengaja kerana tekanan kehidupan.
Setiap tahun, jabatan kemalangan dan kecemasan Hospital Besar Changi (CGH) melihat kurang daripada 25 kes yang melibatkan pendedahan tidak sengaja dan kecederaan diri yang disengajakan.
Dr Abhay Kant, perunding bersekutu di divisyen Perubatan Kecemasan CGH, berkata bahawa pesakit datang dari semua peringkat umur termasuk warga emas.
Kesan menelan bahan pembasmi kuman mungkin ringan atau hingga menyebabkan kerosakan organ dalaman yang teruk, bergantung pada kandungan dan kepekatan bahan itu.
BAHAYA KEPADA ANAK
Kanak-kanak adalah kumpulan yang paling mudah terdedah di rumah di mana keracunan biasanya berlaku.
Satu kajian di sini yang diterbitkan pada 2018 di Singapore Medical Journal mendapati bahawa sekitar separuh (49.7 peratus) daripada 1,208 kes keracunan yang dilihat di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) dari Januari 2009 hingga Disember 2013 perlu dimasukkan ke hospital.
Lebih 40 peratus kes keracunan melibatkan cecair dan produk isi rumah seperti pembersih tangan dan peluntur.
Dr Kao Pao Tang, ketua dan perunding kanan unit kecemasan kanak-kanak di Hospital Universiti Nasional (NUH), berkata bahawa keracunan yang melibatkan produk isi rumah hampir kesemuanya tidak disengajakan bagi mereka yang berusia bawah 12 tahun.
Beliau menganggarkan bahawa unit di NUH melihat sekitar satu hingga dua kes tertelan produk pembersih di rumah setiap minggu.
Jika jumlah besar ditelan, seperti dalam kes-kes kecederaan yang disengajakan, Dr Kao memberi amaran bahawa luka lecur yang teruk boleh berlaku pada kawasan yang bersentuhan dengan agen pembersih, terutama rongga mulut dan kerongkong.
"Kecederaan seperti ini kemungkinan mengakibatkan kejadian yang mengancam nyawa dan hilang upaya yang kekal," katanya, merujuk kepada kemungkinan kerosakan pada kerongkong yang mungkin menyebabkan pesakit makan menerusi tiub buat jangka panjang.
BAGAIMANA KES KERACUNAN DIURUSKAN
Oleh kerana setiap kes keracunan adalah berbeza, Prof Madya Ponampalam dari SGH berkata bahawa keputusan pengurusan boleh menjadi rumit dan kes perlu dinilai oleh doktor atau pakar toksikologi yang berpengalaman.
Dr Abhay dari CGH berkata bahawa tidak ada satu-satu penawar tunggal yang dapat membalikkan kesan keracunan jenis ini. Rawatan dibuat berdasarkan pelbagai faktor, misalnya, jenis campuran yang ditelan, jumlah dan kepekatan serta masa berlalu sejak tertelan serta gejala pesakit.
Dr Kao dari NUH berkata bahawa sebahagian besar kes tertelan bahan di rumah secara tidak sengaja "tidak (terlalu) berbahaya" kerana kebanyakan produk dalam rumah mempunyai kepekatan rendah.
Jika ia terkena kepada kanak-kanak, beliau menasihatkan agar anak itu meludah atau membilas cairan tersebut, dan minum susu atau air.
Bagaimanapun, jangan memaksa budak itu muntah sebelum mendapatkan rawatan perubatan. Pengosongan gastrik (mengepam perut) mungkin diperlukan sekiranya sejumlah besar cecair ditelan.
MENCEGAH KEMALANGAN RACUN DI RUMAH
Dalam kajian KKH, para penyelidik mendapati bahawa hampir semua, atau 95.4 peratus, kes keracunan berlaku di rumah.
Menekankan pentingnya langkah keselamatan dan pencegahan keselamatan anak di rumah, Dr Kao berkata kan bahawa orang dewasa tidak boleh menyimpan di rumah produk pembersih kekuatan industri yang tidak bertujuan untuk kegunaan di rumah.
Meskipun bahan pencuci rumah biasa mempunyai kepekatan rendah, produk gred industri pula berbeza. Apabila produk konsentrasi tinggi ditelan secara tidak sengaja, jumlah yang kecil sudah mencukupi untuk menyebabkan kerosakan teruk.
Elakkan keracunan tidak sengaja di rumah dengan tip berikut oleh Dr Kao dan laman HealthHub:
- Jangan simpan produk pembersih dan bahan lain yang dimaksudkan untuk kegunaan industri, di rumah.
- Jauhkan semua produk pembersih rumah dan bahan beracun dari jangkauan kanak-kanak, misalnya, di dalam kabinet tinggi dan dikunci.
- Jangan sekali-kali meletakkan produk pembersih isi rumah di kawasan dan bekas yang tidak sepatutnya, seperti dalam botol minuman ringan.
- Meletakkan label bahan beracun dengan logo tengkorak atau tulang bersilang. Ajar anak anda untuk mengenali bahawa bekas yang mengandungi label itu mengandungi racun, bukan makanan.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.