Bahan lazim dalam rumah yang bahaya untuk kucing anda
Jika anda memelihara kucing di rumah dan enggan kucing anda 'pergi tak kembali', awas dan sila ambil perhatian perkara berikut. Barang-barang lazim di rumah ini nampak selamat, tapi berbahaya kepada si kucing. Ini senarainya...
(Gambar: Taufiq Zalizan)
AMERIKA SYARIKAT: Kucing memang secara fitrah mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Maka itu tidak hairanlah apabila seseorang memelihara seekor kucing, si cilik itu sering kelihatan meneroka sudut-sudut rumah dengan sendirinya.
Namun para pemilik perlu berwaspada, kerana terdapat beberapa barang dan bahan lazim di rumah yang berbahaya kepada kucing.
Menurut laman kesihatan haiwan peliharaan FETCH oleh WebMD, ini antara barang-barang lazim yang perlu diberi tumpuan di rumah agar tidak membahayakan si kucing:
UBAT-UBATAN MANUSIA
Sebahagian ubat-ubatan manusia boleh membahayakan kucing. Maka itu penting agar ubat-ubatan itu disimpan dengan betul agar tidak mudah dicapai. Antara ubat-ubat yang berbahaya termasuk:
- Ubat barah
- Ubat selesema
- Pil diet
- Ubat penahan sakit
- Vitamin dan makanan tambahan lain
Anda mungkin pernah terdengar bahawa sebahagian ubat lazim sama berkesan untuk manusia dan kucing. Namun laman FETCH mengingatkan agar jangan sekali-kali memberi ubat kepada kucing tanpa nasihat dari doktor haiwan, kerana ia boleh membahayakan atau membawa maut.
MAKANAN MANUSIA
Si manja mungkin suka menginding apabila anda sedang makan (atau mencapai makanan apabila anda sedang khayal). Kelakuan ini mungkin tampak comel namun awas, ada makanan manusia yang boleh meracuni kucing, termasuk:
- Kafein (dalam kopi, teh atau soda)
- Daun kucai
- Coklat
- Bawang putih
- Anggur
- Bawang
- Kismis
- Xilitol (bahan biasa terkandung dalam gula-gula, ubat gigi atau gam)
- Ibu roti
BACA: Fakta menarik tentang pemakanan kucing
TUMBUH-TUMBUHAN
Tumbuh-tumbuhan yang anda simpan di rumah juga boleh membahayakan kesihatan kucing anda. Berikut adalah antara yang disenaraikan laman FETCH:
- Lidah buaya
- Kekwa
- Lembayung (Hyacinth)
- Lili
- Tulip
RACUN SERANGGA DAN KIMIA LAIN
Terdapat jenis kimia yang walaupun beracun, rasa sedap bagi si kucing. Pastikan anda menyimpan semua jenis kimia dengan selamat, terutamanya:
- Peluntur
- Sabun cuci kain
- Ubat kutu untuk anjing
- Baja
- Racun herba
- Umpan serangga dan tikus
BARANG BERBAHAYA LAIN
Ada barang lazim lain yang meskipun tidak beracun, berpotensi membuat kucing anda tercekik. Ada sebahagiannya juga yang mungkin menyekat saluran usus haiwan itu jika ditelan, seperti:
- Tulang ayam
- Flos, tali atau benang
- Barang perhiasan seperti lampu dan jurai
- Mainan dengan bahagian yang kecil
Barang-barang yang tersenarai adalah sekadar contoh lazim. Penting untuk anda membuat kajian sendiri dan mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar agar kemaslahatan haiwan tersayang tidak terjejas.
Jika terdapat sebarang kecemasan kesihatan melibatkan haiwan, hubungi doktor haiwan 24-jam terdekat atau talian-talian berikut yang tertera di laman SPCA Singapura:
- Talian penyelamat 24/7 SPCA: 6287 5355 (tekan 9)
- Talian 24/7 AVS: 1800-476-1600
- Talian penyelamat 24/7 ACRES 24/7: 9783 7782 (bagi menyelamatkan hidupan liar, burung dan kura-kura)
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.