Skip to main content

Gaya Hidup

Bagaimana untuk pilih rawatan sesuai bagi pedih ulu hati?

Rasa pedih pada ulu hati merupakan suatu masalah biasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Bagaimana untuk pilih rawatan sesuai bagi pedih ulu hati?

Pelbagai ubat-ubatan boleh dipertimbangkan untuk melegakan rasa pedih pada ulu hati. (Gambar hiasaan: Canva)

Diterbitkan : 06 Sep 2026 11:00PM
  • Pakar gastroenterologi seperti Dr Byron Cryer dan Dr Craig C Reed menerangkan pedih ulu hati sering berlaku akibat asid perut mengalir semula ke esofagus, terutama di Amerika Syarikat.
  • Faktor risiko termasuk makanan tertentu, kehamilan, berat badan berlebihan, dan ubat GLP-1, manakala rawatan melibatkan antasid, penyekat H2, perencat pam proton, dan alginat.
  • Pesakit dinasihatkan berjumpa doktor jika gejala berlarutan, teruk, atau disertai masalah lain seperti kesukaran menelan atau penurunan berat badan tanpa sebab.
  • Pencegahan termasuk mengelakkan makanan pencetus, meninggikan kepala semasa tidur, menurunkan berat badan, dan mengurangkan alkohol serta rokok; rawatan herba tidak terbukti berkesan.
Dijana oleh AI
NEW YORK: Rasa pedih pada ulu hati merupakan suatu masalah biasa.

Di Amerika Syarikat, misalnya, ia kerap dialami oleh kira-kira 20 peratus penduduk.

Apabila injap antara perut dengan esofagus menjadi lemah, ia menyebabkan asid perut "mengalir semula" ke dalam esofagus, kata Presiden Persatuan Gastroenterologi Amerika, Dr Byron Cryer. Keadaan yang dikenali sebagai refluks asid itu boleh menyebabkan rasa sakit, pedih dan makanan atau cecair dari perut naik semula ke tekak.

Pelbagai jenis makanan dan minuman – termasuk wain merah, sos tomato, coklat serta gula-gula atau gula-gula getah berperisa pudina – boleh menyebabkan pedih ulu hati, begitu juga dengan pengambilan makanan dalam jumlah yang banyak, kata Dr Cryer. Kehamilan atau berat badan berlebihan (yang memberi tekanan tambahan pada perut) serta pengambilan ubat GLP-1 (yang melambatkan proses pengosongan perut) turut meningkatkan risiko keadaan tersebut.

Ubat yang boleh dibeli tanpa preskripsi, termasuk antasid, penyekat H2, perencat pam proton dan ubat alginat, boleh digunakan untuk merawat pedih ulu hati, kata Dr Cryer. Namun, setiap jenis ubat tersebut bertindak ke atas keadaan tersebut dengan cara yang berbeza-beza, kata beliau.

Berikut merupakan beberapa cara untuk menentukan ubat yang sesuai untuk diambil sekiranya anda mengalami pedih ulu hati.

CARA UBAT-UBATAN BERTINDAK

Antasid seperti Tums dan Rolaids bertindak dengan "meleburkan secara serta-merta" asid perut, sekali gus mengurangkan rasa pedih dan sakit, kata pakar gastroenterologi dan Penolong Profesor Perubatan di Sekolah Perubatan Universiti George Washington, Dr Sumona Bhattacharya.

Ubat-ubatan tersebut paling sesuai untuk diambil apabila anda memerlukan "kelegaan segera" bagi gejala ringan yang jarang berlaku, kata Dr Cryer, seperti rasa pedih ringan pada dada atau tekak selepas meminum segelas wain. Memandangkan ubat tersebut meleburkan asid perut, ia paling berkesan apabila diambil selepas gejala mula dirasakan, tambah beliau. Namun, ia tidak mengurangkan penghasilan asid dalam perut.

Untuk tujuan tersebut, anda memerlukan antagonis reseptor histamin-2, yang dikenali sebagai penyekat H2, atau perencat pam proton, yang sering disebut sebagai PPI.

Apabila anda makan, perut menghasilkan sejenis bahan kimia sistem imun yang dipanggil histamin, yang merangsang sel-sel pada lapisan perut untuk menghasilkan asid, kata pakar gastroenterologi di UNC Health di North Carolina, Dr Craig C Reed. Penyekat H2 melekat pada reseptor histamin, sekali gus menghalang penghasilan asid oleh sel-sel tersebut, kata beliau.

Penyekat H2 paling berkesan bagi rasa pedih dan sakit yang lebih kuat dan berlaku sekali atau dua kali seminggu, kata Dr Cryer. Ia boleh diambil setiap hari untuk mencegah pedih ulu hati atau apabila diperlukan selepas gejala timbul, katanya. Ubat itu boleh mengambil masa sehingga sejam sebelum kesannya mula dirasakan.

Perencat pam proton pula menyekat sejenis enzim – yang dikenali sebagai pam proton – dalam sel perut yang menghasilkan asid, kata Dr Reed. Mereka yang mengalami pedih ulu hati kronik boleh mendapat manfaat paling besar daripada PPI kerana ia boleh diambil setiap hari untuk mencegah gejala, tambah beliau. Ubat tersebut paling berkesan apabila ia diambil semasa perut kosong.

Satu lagi jenis ubat pedih ulu hati diperbuat daripada alginat – sebatian yang diperoleh daripada rumpai laut – yang membentuk lapisan pelindung fizikal seperti gel antara perut dengan esofagus, sekali gus menghalang asid perut daripada mengalir ke atas. Sesetengah ubat alginat turut mengandungi antasid.

Alginat disyorkan bagi mereka yang mengalami keadaan di mana asid atau kandungan perut naik semula ke takak, kata Dr Cryer. Ia boleh diambil bersama tiga jenis ubat lain yang disebutkan sebelum ini.

BILA HARUS JUMPA DOKTOR?

Kebanyakan orang boleh mengambil ubat pedih ulu hati yang dijual tanpa preskripsi tanpa mengalami masalah, kata Dr Cryer. Namun, penggunaan PPI untuk jangka panjang boleh meningkatkan risiko keadaan tertentu, termasuk kekurangan Vitamin B-12, osteoporosis atau jangkitan usus serius yang disebabkan oleh bakteria C diff.

Jika anda perlu mengambil salah satu ubat tersebut selama lebih 10 hari berturut-turut, berjumpalah dengan pakar gastroenterologi, kata Dr Cryer. Dr Bhattacharya pula menambah bahawa anda juga perlu berjumpa doktor jika mengalami pedih ulu hati lebih daripada beberapa hari dalam seminggu.

Menurutnya, pedih ulu hati yang disertai kesukaran menelan atau penurunan berat badan tanpa disengajakan khususnya memerlukan pemeriksaan doktor. Gejala tersebut mungkin menandakan masalah lebih serius seperti penyakit refluks gastroesofagus atau GERD, iaitu bentuk refluks asid yang kronik dan lebih serius, atau esofagitis, iaitu keradangan pada lapisan esofagus, yang mungkin memerlukan rawatan berbeza.

Bagi pedih ulu hati yang teruk, doktor boleh memberikan dos PPI atau penyekat H2 yang lebih tinggi, kata Dr Cryer.

Jika ubat pedih ulu hati yang dijual tanpa preskripsi atau diberikan doktor tidak berkesan, prosedur pembedahan tertentu boleh dipertimbangkan, kata Dr Reed. Salah satu prosedur yang boleh diambil dikenali sebagai fundoplikasi, melibatkan bahagian atas perut yang dililit pada bahagian bawah esofagus bagi menguatkan penghadang antara perut dengan esofagus.

Untuk mencegah pedih ulu hati sebelum ia berlaku, elakkan makanan dan minuman yang anda tahu boleh mencetuskannya, kata Dr Reed. Meninggikan kedudukan kepala ketika tidur dan mengelakkan daripada berbaring sejurus selepas makan juga boleh membantu.

Jika anda merokok atau mengambil minuman beralkohol, kurangkan kedua-duanya. Jika anda mempunyai berat badan berlebihan, menurunkan berat badan juga berpotensi membantu mencegah pedih ulu hati, kata Dr Reed.

Rawatan herba seperti teh kamomil, halia atau ekstrak akar manis (licorice) pula berkemungkinan tidak mendatangkan sebarang kebaikan, kata Dr Cryer – para saintis belum mempunyai bukti yang kukuh bahawa bahan-bahan tersebut dapat membantu mengatasi pedih ulu hati. Rawatan sedemikian juga tidak seharusnya menggantikan kaedah yang terbukti berkesan seperti ubat-ubatan, kata beliau.
Sumber : New York Times/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita