Ayuh jalan-jalan cari makan di tempat mesra kanak-kanak sempena cuti sekolah ini
BERITAmediacorp: Bagi yang tidak ke luar negara, cuti sekolah ini pasti diisi dengan pelbagai kegiatan di merata kota Singa. Selepas beriadah, perut pasti mula berkeroncong. Nak makan apa dan di mana sering menjadi pertanyaan.
Walaupun Singapura merupakan pulau yang kecil, terdapat banyak tempat makan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan, yang mungkin belum pernah anda kunjungi.
Memandangkan cuti sekolah sudah bermula, BERITAmediacorp senaraikan 10 tempat makan, mesra kanak-kanak yang boleh dikunjungi seisi keluarga.
Mengikut pilihan dan tekak masing-masing pilihlah
Dengan beraneka pilihan hidangan - dari tempatan, Barat, fusion, Thai, Cina hinggalah Jepun. Pasti akhirnya perut kenyang, hati pun senang!
1. AFTERWIT
Kafe Indie ini dimiliki oleh seorang anak watan dan terkenal dengan sajian tradisional Mexico seperti burritos, tacos, tortillas serta quesadillas yang menjadi kegemaran kanak-kanak.
Bagi yang gemar menikmati nasi beriani, bolehlah mencuba Briyani Burrito yang rasanya masih asli.
Alamat: 778 North Bridge Road
Dibuka: Ahad-Khamis, 12.00 tengah hari - 10.00 malam, Jumaat-Sabtu, 12.00 tengah hari - 11.00 malam
2. SPIZE RIFLE RANGE
Ini jenama yang tidak asing lagi bagi ramai orang.
Ia menawarkan pelbagai jenis sajian yang menepati citarasa berbeza-beza. Dari sajian Barat, Maghribi, Mediterranean dan banyak lagi.
Si cilik juga tidak ketinggalan. Pilihan menu 'Little Diners' yang direka khas menanti
kunjungan mereka yang berusia 3 hingga 12 tahun.
Hidangan enak seperti The Little Mermaid, Classic Cheeseburger, Prawn Aglio Olio, Skippy’s Sandwic, Gelato, Crème Bulee, aiskrim dan banyak lagi pasti tidak menghampakan.
Alamat: 131 Rifle Range Rd #03-04
Dibuka: 8.30 pagi - 11.00 malam
3. COPPER CHIMNEY
Kafe ini terletak bertentangan dengan Mustafa Centre di Syed Alwi Road. Hidangannya diperkaya dengan rempah ratus dengan rasa yang unik.
Antaranya sajian Kambing Raganjosh, Nasi Goreng Szechwan, Tikka Ayam Malai dan banyak lagi.
Jika anda gemar dengan sayur bendi, jangan lupa untuk mencuba Kurkure Bhindi yang digoreng ranggup. Bolehlah cemil bendi sementara menantikan sajian utama tiba.
Alamat: 100 Syed Alwi Road
Dibuka: 11.30 pagi - 10.30malam dan hingga 11.30malam pada Jumaat & Sabtu.
4. THE HALIA
Bila anda sekeluarga beriadah di Kebun Bunga Singapura, jangan lupa untuk singgah ke kafe Halia yang terletak di kawasan taman halia di taman bunga ini.
Kafe ini popular dan tidak asing lagi bagi ramai orang. Ia menepati citarasa berbilang usia dan apa yang lebih menarik ia turut menawarkan menu untuk kanak-kanak.
Alamat: 1 Cluny Road, Ginger Garden
Dibuka: 12.00 tengah hari - 2.30 petang, 5.00 petang - 8.30 malam.
5. FUSION SPOON
Ini satu lagi alternatif di Kebun Bunga Singapura, yang menawarkan sajian dan minuman Barat, Asia dan Jepun.
Apa yang menarik, kafe ini dilengkapi dengan dua kawasan permainan untuk si cilik. Anda tidak perlu bimbang dan boleh makan dengan tenteram sementara anak-anak bermain-main di ruang yang selamat.
Alamat: 1 Cluny Road, Tanglin Gate, #B1-00.
Dibuka: Isnin-Ahad, 7.00 pagi - 10.00 malam
6. GRILL NINETY
Makanan Barat merupakan antara yang paling digemari kanak-kanak. Di sini terdapat menu khas untuk mereka yang berusia 3 hingga 8 tahun dengan pilihan seperti Chicken Fingers, Little Fish Chips selain platter campuran ayam, stik dan sosej yang boleh dikongsi bersama seisi keluarga.
Selain itu bagi yang gemar dengan makanan laut, bolehlah mencuba tiram Canadian Oysters, Crispy Crabcakes selain daging Angus Beef Rib dan atau Lamb Rack. Pasti syiok!
Alamat: 142 Arab St.
Dibuka: Isnin-Ahad, 12.00 tengah hari - 10.00 malam
7. SORA BORU'S
Tidak kesempatan untuk ke negara matahari terbit pada musim cuti ini? Anda boleh menikmati sajian Jepun seperti Chirashi Bowls, Curry Rice Bowls dan Soba Bowl di kafe ini.
Setiap sajian Chirashi Bowl turut tampil dalam saiz mini yang mesra kanak-kanak. Ia mengandungi pilihan beras sushi atau campuran hijau, ikan dan pilihan udang, daging salai, telur hunjuku sebagai tambahan.
Jika anda atau anak-anak tidak reti untuk makan ikan mentah, terdapat pelbagai pilihan lain seperti Salmon Teriyaki Toji Don yang dihidangkan dengan telur yang gebu.
Alamat: 313@Somerset #B3-19/20 dan 3 Westgate #01-08
Dibuka: 11.00 pagi - 10.00 malam
8. LOLAFAYE
Dimiliki anak Melayu, kafe pencuci mulut ini menawarkan sajian seperti wafel dan ais krim selain snek ringan wrap dan sandwic.
Kanak-kanak akan tertawan dan pasti tidak sabar untuk menikmati wafel berwarna cantik yang menyelerakan.
Jika anak-anak boleh tahan mata, inilah antara kafe yang dibuka hingga larut malam.
Alamat: 35 Hamilton Road #01-03.
Dibuka: Selasa – Ahad, 2.00 petang- 2.00 pagi.
9. MONSTER PLANET
Nikmati kari versi halal yang popular dari rangkaian restoran Monster Curry. Jika anda sekeluarga gemar dengan sajian kari Jepun, restoran ini pasti dapat memberi kepuasan kerana sajiannya yang lumayan.
Antara yang menjadi pilihan, Monster Premium Beef Steak Curry, Signature Katsu Curry, Cheese Omelette Curry. Sajian ini bukan saja boleh digandingkan dengan nasi, tapi juga Mi Ramen kari.
Selain kari terdapat juga pasta, salada, burger dan snek sampingan seperti Tempura dan Tako Balls. Untuk lengkapkan sajian, jangan lupa untuk buat pesanan pencuci mulut seperti honey toast, churros parfait dan ais krim.
Layari https://monsterplanet.com.sg/outlets/ (untuk alamat cawangan)
Dibuka:11.00 pagi -10.00 malam
10. LINA'S CAFE
Berbeza dari kafe-kafe yang lain, tempat makan ini bukan saja mengalu-alukan kunjungan orang ramai, tidak kira usia. Tapi, apa yang lebih menarik ia mesra anak-anak istimewa, khususnya autism.
Pemiliknya ingin meningkatkan kesedaran tentang autisme dengan mengadakan ruang yang selamat bagi anak-anak autisme agar mereka tidak rasa seperti diperhatikan atau tersingkir apabila menjamu selera di sini.
Sebaliknya mereka akan rasa selesa menikmati hidangan bersama keluarga tercinta.
Alamat: 7 Jalan Pisang Dibuka: 11.00 pagi - 8.30 malam
Apabila menikmati sajian di kafe-kafe tersebut jangan lupa untuk petik gambar bersama keluarga. Pastinya ia menjadi kenangan buat tatapan selamanya!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.