Awas! Produk kosmetik Skin Revolution dikesan mengandungi racun berjadual, mudarat kesihatan
Produk kosmetik Skin Revolution - Acne Clearing Solution dikesan mengandungi racun berjadual clindamycin dan metronidazole yang boleh memudaratkan kesihatan.
Produk kosmetik Skin Revolution - Acne Clearing Solution dikesan mengandungi racun berjadual clindamycin dan metronidazole yang boleh memudaratkan kesihatan. (Gambar: ibeauty.com.my)
KUALA LUMPUR: Produk kosmetik Skin Revolution - Acne Clearing Solution dikesan mengandungi racun berjadual clindamycin dan metronidazole yang boleh memudaratkan kesihatan.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia Norhaliza A Halim dalam kenyataan hari ini (6 Ogos) menyatakan notifikasi produk itu sudah dibatalkan lantas tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara itu.
“Produk yang mengandungi clindamycin dan metronidazole adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
“Penggunaan antibiotik (clindamycin dan metronidazole) tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan mudarat kepada kesihatan dan boleh meningkatkan risiko kerintangan yang seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan,” kata beliau.
Sehubungan itu, penjual dan pengedar produk tersebut perlu menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta kerana perkara itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Menurut Cik Norhaliza, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 (S$8,010) atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 (S$16,021) atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang awam untuk segera menghentikan penggunaan produk itu dan mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan teruk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.