Awas! Elak beberapa perkara ini supaya telefon bijak anda tidak meletup

(Gambar: Sumber web)
KUALA LUMPUR: Kebelakangan ini, banyak kes melibatkan telefon bijak meletup dilaporkan sehingga ada yang meragut nyawa orang sekeliling.
Baru-baru ini, seorang bayi dilaporkan maut di Bareilly, India selepas telefon bijak yang sedang dicas bersebelahannya dipercayai meletup. Bayi itu disahkan meninggal dunia di hospital ketika dirawat.
Insiden serupa turut berlaku awal tahun ini selepas telefon bijak seorang penumpang dalam pesawat IndiGo dikatakan tiba-tiba terbakar menyebabkan kesemua penumpang panik.
Sebagai pengguna telefon bijak, anda harus ambil tahu cara-cara bagaimana untuk mengelakkan daripada insiden sedemikian, seperti dikongsikan portal 91 mobiles:
1) Bateri ‘mengembung’
Insiden berlaku di Bareilly yang menyebabkan seorang bayi maut dilaporkan selepas bateri telefon bijak mula menunjukkan perubahan. Bateri mula mengembung ketika dicas.
Jangan biarkan insiden ini berulang, sentiasa periksa keadaan bateri telefon anda. Jika skrin mula mengembung atau bengkak, letakkan telefon bijak jauh dari orang sekeliling.
Sentiasa peka dengan perubahan pada telefon bijak.
2) Telefon rosak
Jangan sesekali menggunakan telefon yang rosak atau tidak berfungsi.
Skrin atau bingkai telefon yang retak berkemungkinan boleh mengalirkan cecair meresap masuk ke dalam peranti, sekali gus merosakkan komponen dalaman seterusnya menyebabkan litar pintas.
3) Pengecas telefon tiruan
Hati-hati dengan pengecas tiruan.
Pada 2019, seorang lelaki di Chonburi, Thailand maut akibat kejutan elektrik ketika sedang mengecas telefon bimbit, lapor Mirror UK. Mangsa dipercayai menggunakan kabel tiruan yang disambungkan ke plug tambahan.
Jangan sebab nak jimat, nyawa pula melayang.
4) Terlebih cas
Sebaik-baiknya cas telefon bimbit secukupnya dan matikan suis apabila selesai mengecas telefon.
Ada kemungkinan pengecasan semalaman boleh menjejaskan bateri telefon anda.
5) Letak telefon di tempat panas terlalu lama
Bateri telefon bijak direka khas untuk bekerja pada suhu tertentu. Mendedahkan telefon bijak secara kerap kepada suhu panas boleh menyebabkan kerosakan jangka panjang pada bateri.
Jauhkan telefon bijak anda dari terkena cahaya matahari secara langsung.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.