Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Avokado buah versatil, makan dengan apa sahaja; ini khasiatnya...

Anggaran Waktu Membaca:
Avokado buah versatil, makan dengan apa sahaja; ini khasiatnya...

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 01 Feb 2022 10:20PM Dikemas Kini : 01 Feb 2022 10:24PM

KUALA LUMPUR: Buah avokado merupakan salah satu buah-buahan yang wajib ada dalam dapur seseorang yang ingin menjaga diet pemakanan.

Selain daripada disapu pada roti bakar untuk dijadikan sarapan, ia juga boleh disajikan dalam salad atau dijadikan sebagai jus minuman.

Disebabkan kandungan khasiatnya yang tinggi, buah avokado boleh digelarkan sebagai makanan yang unggul, menurut rencana Harian Metro.

Berikut empat manfaat buah avokado kepada kesihatan tubuh:

1. Sumber zat sangat baik

Sebiji buah avokado mengandungi pelbagai khasiat yang bermanfaat untuk kesihatan.

Ini seperti protein, Vitamin C, Vitamin E, Vitamin K dan Magnesium.

Kandungan nutrien yang tinggi itu juga dapat bantu melengkapi keperluan zat bagi mereka yang sering kekurangan nutrien semasa mengamalkan diet pemakanan.

2. Bermanfaat untuk kesihatan usus

Avokado mempunyai kandungan serat yang tinggi iaitu kira-kira 14 gram dalam setiap biji.

Pengambilan serat yang mencukupi dalam diet harian untuk penjagaan kesihatan sistem pencernaan adalah sangat penting kerana ia dapat membantu menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dalam usus.

Satu kajian ke atas 163 individu dewasa yang dianggap mempunyai berat badan berlebihan mendapati bahawa dengan pengambilan 175 gram buah avokado (peserta lelaki) atau 140 gram buah avokado (peserta perempuan) setiap hari selama 12 minggu, ia berupaya menghasilkan kepekatan asid hempedu najis yang lebih rendah dan meningkatkan kepelbagaian bakteria.

Kepekatan asid hempedu yang tinggi boleh menyebabkan keradangan usus dan mempunyai kaitan dengan pertumbuhan mikrob berkaitan dengan masalah kesihatan seperti barah usus besar.

3. Bantu kurangkan risiko hidap penyakit jantung

Kandungan vitamin, mineral, lemak sihat dan serat dalam buah avokado memainkan peranan untuk memastikan sistem kardiovaskular yang sihat.

Buah avocado juga membantu meningkatkan paras kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) atau kolesterol baik dan mengurangkan kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) yang dikaitkan dengan pembentukan plak pada dinding arteri.

4. Bantu menggalakkan berat badan sihat

Walaupun buah avokado kaya dengan kalori, ia penuh dengan zat dan dapat membantu seseorang berasa kenyang. Ini kerana kandungan serat yang tinggi dan lemak sihat.

Kajian mendedahkan diet pemakanan yang kaya dengan makanan berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran dapat bantu mengurangkan berat badan.

Selain itu, para individu yang makan lebih banyak serat lebih cenderung mengekalkan berat badan yang sihat berbanding mereka yang mempunyai diet pemakanan rendah serat.

Sumber : Agensi berita/HA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan