Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Aura semula jadi, pesona Punggol antara daya tarikan serlahkan 'Singapoliday' kepada rakyat, penduduk S'pura

Tidak ramai yang menyedari bahawa di sebalik flat-flat baru di Punggol yang kelihatan seolah-olah seperti kondominium dan perumahan privet yang eksklusif itu sebenarnya ditaburi dengan 'mutiara' yang sama ada kurang atau belum diteroka sama sekali.

Anggaran Waktu Membaca:
Aura semula jadi, pesona Punggol antara daya tarikan serlahkan 'Singapoliday' kepada rakyat, penduduk S'pura

Para peserta Let's Go Kelong Tour berpeluang melihat pesona Punggol dengan menaiki boat mengelilingi bahagian timur laut Singapura bersama pemandu pelancong Robin Loh (kanan). (Gambar-gambar: Said Mahadi/BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Sebut saja Punggol, ramai orang di Singapura akan mengaitkannya dengan kawasan perumahan baru yang semakin popular dalam kalangan pasangan muda dan keluarga dengan anak-anak kecil.

Tidak ramai yang menyedari bahawa di sebalik flat-flat baru yang kelihatan seolah-olah seperti kondominium dan perumahan privet yang eksklusif itu sebenarnya ditaburi dengan 'mutiara' yang sama ada kurang atau belum diteroka sama sekali.

Antara pulau berdekatan Punggol adalah Pulau Ubin yang malangnya kurang dikunjungi di tengah-tengah pandemik COVID-19 ini. 

Terangsang dengan aura semula jadi dan pesona Punggol, pemandu pelancong Let’s Go Tour, Robin Loh menawarkan lawatan khas buat penduduk tempatan menjelajah bahagian timur laut Singapura dengan menaiki bot.

Semua ini adalah sebahagian daripada kempen bernilai S$45 juta yang diumumkan oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Rabu (22 Jul) bagi menggalak rakyat dan penduduk supaya sama-sama memainkan peranan dengan menyokong sektor pelancongan dan syarikat-syarikat gaya hidup tempatan.

PESONA PUNGGOL PERLU DISERLAHKAN

Dipanggil Let’s Go Kelong Tour, para peserta lawatan selama dua jam itu akan 'belayar' dari Marina Country Club menuju ke sebuah kelong di tengah laut.

Para peserta Let's Go Kelong Tour akan menaiki boat dari Marina Country Club menuju ke sebuah kelong di tengah laut. (Gambar-gambar: Said Mahadi/BERITAmediacorp)

Para peserta akan menaiki boat ini dari Marina Country Club yang terletak di Punggol. 

Antara pemandangan menarik yang menjadi halwa mata sepanjang perjalanan dua jam itu adalah peluang untuk melihat sendiri Pasir Gudang, Pulau Ubin dan Pulau Tekong serta kelong-kelong lama dan moden di samping mempelajari 'bahasa anak kapal' dan selok-belok mengemudi di laut.

“Berapa ramai dalam kalangan kita yang pernah melihat Singapura dari laut? Dan betul-betul mengenali pulau-pulau dan apa yang anda lihat di laut?

“Saya rasa ramai, termasuk saya yang menyangka kita sudah cukup mengenali Singapura tetapi hakikatnya, banyak lagi mutiara negara ini yang patut kita ketahui dan kongsi,” kata pemandu pelancong berusia 40 tahun itu.

Robin Loh memang suka memancing dan kerap merantau perairan Singapura untuk mencari tempat-tempat kurang dikunjungi orang ramai. 

SINGAPOREDISCOVER AJAK RAKYAT, PENDUDUK 'MELANCONG' DALAM NEGERI

Usaha Robin untuk menyerlahkan Punggol seiring dengan matlamat kempen SingapoRediscover yang dilancarkan oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB) baru-baru ini yang menggalak rakyat dan penduduk tempatan untuk 'melancong' dalam negeri atau ‘Singapoliday’ bagi menyokong sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19.

Singapura yang sebelum COVID-19 menular ke seluruh pelosok dunia adalah negara kelima paling dikunjungi pelancong, hanya setakat menyambut ketibaan sekitar 880 pengunjung pada Mei lalu.

Syarikat Let’s Go Tour juga tidak terkecuali daripada kesan virus yang boleh membawa maut itu.

Menurut Alfian Ajis, 30 tahun, salah seorang kakitangan syarikat itu, selain tiada lagi pelancong luar negara, kumpulan ekspatriat yang membentuk sebahagian besar pelanggan mereka juga sudah berkurangan selepas ramai memutuskan untuk pulang ke negara asal masing-masing.

Alfian sebelum ini sering membawa pelancong asing merata Singapura menaiki basikal tapi kini menghadapi tempahan yang berkurangan. 

TARIK NAFAS LEGA, PATUH NORMA BARU

Sungguhpun demikian, kempen SingapoRediscover memberi pemandu pelancong seperti beliau peluang untuk menarik nafas lega. Mereka kini lebih menumpukan perhatian kepada para pelanggan tempatan dengan menawarkan lawatan-lawatan menarik yang mematuhi norma-norma baru.

“Pertama, kita menghadkan saiz kumpulan kepada lima orang saja. Dan lawatan berpandu ini dilakukan secara privet agar para pelanggan kita rasa terjamin dengan keselamatan mereka,” tekan Alfian.

Selain itu, suhu badan setiap peserta akan diperiksa dan direkodkan sebelum dibenarkan menaiki bot dan bagi mereka dengan suhu badan yang tinggi, mereka tidak akan dibenarkan menyertai lawatan tersebut, tambah beliau yang sudah tujuh tahun menceburi dalam sektor pelancongan.

Antara kelong lama yang dapat dilihat para peserta dalam lawatan boat dua jam itu. 

“Sejauh ini, sejak kami mula beroperasi semula, boleh dikatakan masih tidak banyak tempahan berbanding jumlah yang kami selalu terima dengan adanya pelancong asing tetapi ia memadai.

“Saya pun tidak menyangka sebaik saja STB mula membuka semula ekonomi untuk sektor pelancongan, kami sudahpun menerima tempahan dan terus menerima pelbagai pertanyaan,” kongsi rakan sekerjanya Robin pula.

PIKAT RAKYAT, PENDUDUK TEMPATAN

Abdul Rahman Abdullah, 25 tahun, adalah antara mereka yang berpeluang untuk menyertai lawatan berpandu itu.

Baginya, ia menawarkan pengalaman unik yang beliau tidak sama sekali menyangka boleh dinikmati di Singapura.

Abdul Rahman teruja dapat peluang mengikuti lawatan unik Let's Go Kelong Tour.

“Ia sangat menarik. Saya tidak pernah melakukannya, jadi ia kali pertama. Dan juga saya tidak menyangka bahawa ada aktiviti seperti ini di Singapura. Lagipun sekarang ini sedang situasi COVID-19, saya rasa dapat menyokong industri pelancongan juga sangat baik,” kata Rahman.

Bagi memikat penduduk tempatan, Robin dan Alfian akur bahawa mereka harus menawarkan lawatan yang lain daripada yang lain.

Alfian yang selalunya membawa pelancong mengayuh basikal untuk mengunjungi tapak-tapak bersejarah di sekeliling Singapura misalnya, mendedahkan bahawa sambutan bagi lawatan seumpama itu tidak begitu mengagumkan dengan hanya dua tempahan pada bulan depan dan lagi tiga pada bulan seterusnya.

Effendy (tengah) yang menemani Abdul Rahman turut gembira dapat mempelajari pelbagai perkara daripada lawatan boat itu. 

Sehubungan itu, mereka berharap lawatan-lawatan seperti Let’s Go Kelong Tour akan menerima respons yang memberangsangkan daripada rakyat dan penduduk Singapura.

Lawatan berpandu berharga S$450 bagi setiap kumpulan yang tidak melebihi lima peserta itu ditawarkan sebanyak tiga slot sehari dari pukul 9.00 pagi hingga 11.00 pagi, 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang dan 3.00 petang hingga 5.00 petang.

Orang ramai boleh membuat tempahan di https://www.letsgotoursingapore.com/lets-go-kelong-tour/

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan