Skip to main content

Gaya Hidup

Artis-artis tempatan terbitkan lagu Raya baharu, berisi peringatan bermakna

Sempena lebaran yang kian menjelang, peminat lagu-lagu Raya dapat menikmati penerbitan beberapa lagu Raya yang membawa mesej-mesej penting lagi bertepatan dengan masanya.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sempena lebaran yang kian menjelang, peminat lagu-lagu Raya dapat menikmati penerbitan beberapa lagu Raya yang membawa mesej-mesej penting lagi bertepatan dengan masanya.

Antaranya, dua penyanyi Hady Mirza dan Nana Karia yang melahirkan lagu Raya terbaharu, yang sarat dengan pesanan bermakna sempena Hari Raya.

NANA KARIA SAHUT CABARAN TERBIT LAGU RAYA DALAM TEMPOH SEMINGGU

Bagi Nana Karia, ia bermula sebagai cabaran oleh rakan duetnya dalam lagu Biar Gambar Bicara sejak Oktober lalu - penyanyi Azharina Azhar.
Related article image
Nana Karia (kiri) berduet dengan Azharina Azhar dalam lagu Beraya (Gambar: Nana Karia)
Dan Ratu irama Soul yang memang pantang dicabar itu, berhasil menerbitkannya dalam masa seminggu.

"Peranan Nana adalah sebagai penulis, penggubah lagu, penerbit, yang fikirkan tentang perancangan MV (video muzik), perancangan pemasaran, penggubahan lagu.. Apabila bahagian melodi dan pop-nya, saya ingin menyatukan citarasa golongan milenial dengan Gen Z. Jadi itulah terhasilnya lagu berjudul Beraya dengan bahagian permulaannya kedengaran macam citarasa generasi usia milenial sedikit, kemudian ada bahagian-bahagian khas Gen Z," kata Nana kepada wartawan Roslinda Rahmat.

"Saya cuba untuk menjadi relevan lah dalam lagu Beraya ini," ujarnya lagi.

TEKANKAN MESEJ BAHAWA JARAK TIDAK MENJAUHKAN

Lagu 'Beraya' membawa mesej agar saling mengeratkan silaturahim antara keluarga sempena Raya.

"Cerita di sebalik lagu Beraya ini ialah selain daripada kita merayakan Hari Raya, saya menegaskan akan mesej penting yang berjauhan itu, jangan menjauh. Ada telefon pintar, boleh buat panggilan video untuk berhubung. Jangan kerana anda berjauhan daripada teman, keluarga, membuat anda merasa macam diri ini menjauh. Jangan," tegas Nana.
Related article image
Penyanyi, Nana Karia. (Gambar: Nana Karia)
Jarak juga menjadikan proses penerbitan lagu Beraya suatu pengalaman pembuka mata.

"Proses rakamannya kami lakukan di Singapura, tapi lagu ini disusun oleh seorang penggubah daripada Indonesia yang bernama Ilham. Dia ini sangat i'ntrovert', sangat 'low profile'. Dia tak nak buat untuk semua orang. Jadi saya antara orang-orang yang bertuahlah dapat bekerjasama dengan Ilham ini. Dia menetap di Jakarta. Jadi kami hanya berurusan melalui e-mel. Pengalaman yang membuka mata buat Nana sebab ini membuktikan bahawa kita boleh memperluaskan identiti muzik kita dengan berkolaborasi dengan orang-orang luar dari Singapura," kongsi Nana lagi.

HADY MIRZA TAMPILKAN SEKEJAP DAH RAYA, INGATKAN MASA KIAN SINGKAT

Sementara itu, di usia semakin matang 46 tahun, Hady Mirza pula membawa peringatan penting menerusi lagu berjudul Sekejap Dah Raya.

"Pada waktu saya umur sebegini, saya rasa masa semakin begitu singkat. Jadi daripada itu, saya dapat tajuk Sekejap Dah Raya sebab setiap tahun sekejap dah puasa dan sekejap dah Raya. Masa sangat mengejar kita. Selepas Raya kita kerja, kerja, kerja. Tahu-tahu eh dah bulan puasa semula! Jadi masa sangat singkat. Dan itu adalah satu peringatan yang penting," ujar Hady eksklusif kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Menulis sendiri lagunya bersama seorang produser muda yang merupakan seorang mualaf, Danial Elias, Hady bereksperimentasi dengan rentak tidak konvensional bagi lagu Rayanya tahun ini.
Related article image
Hady Mirza (kanan) bersama produser muda, mualaf Danial Elias (Gambar: HNM Entertainment)
"Lagu yang saya rasa memberikan hidup baru kepada Hari Raya. Ia berentak Latin tapi ada sedikit-sedikit kemelayuan," jelas Hady.

Baginya, rentak yang ceria penting bagi Hady untuk genre lagu-lagu Raya.

"Untuk saya, Hari Raya adalah waktu yang sangat bahagia. Walaupun Hari Raya ada cerita-cerita yang sedih ataupun lagu-lagu yang sedih, tapi untuk saya, demi untuk meraikan Hari Raya, penting untuk kita adakan lagu-lagu yang ceria," luah Hady, berbanding lagu-lagu Raya yang bernuansa sedih.
Related article image
Penyanyi, Hady Mirza. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Hady mempersembahkan lagu tersebut di Wisma Geylang Serai pada malam ini (Rabu 18 Mac), sempena Santai Sejenak @ WGS.

Kali terakhir Hady menerbitkan lagu Raya adalah merupakan duet bersama Taufik Batisah sekitar 25 tahun lalu.

"Jadi ini saya rasa masa yang terbaik lah untuk saya keluarkan lagu Sekejap Dah Raya kerana proses pembuatannya adalah sangat unik dan sangat 'magical' kerana ia agak istimewa dari segi ilham yang datang untuk lagu ini dan cerita di sebaliknya, terutama mesej yang ingin disampaikan," kongsi Hady lagi.

THE PINHOLES LANCAR DUA LAGU RAYA BAHARU, SENTUH ISU PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL

Sementara itu, kumpulan yang memperjuangkan genre muzik Rock and Roll, The Pinholes menerbitkan dua lagu Raya baharu, dengan salah satunya Kisah Musim Raya merupakan karya kolaborasi bersama Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).

Lagu tersebut dinyanyikan dengan bersahaja dan video muzik yang dilakonkan dengan lucu itu menekankan pentingnya untuk benar-benar hadir bersama orang tersayang selain turut menggabungkan tema kebersamaan, tradisi dan warisan serta detik-detik Raya berharga yang sering terlepas pandang.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita