Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Arshad Fawwaz anjur konsert bagi peserta keperluan khas selepas ditolak uji bakat

Selepas berkali-kali ditolak dalam pertandingan uji bakat, Muhammad Arshad Fawwaz, 24, bertekad untuk tidak membiarkan individu sepertinya menerima nasib yang serupa.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Arshad Fawwaz anjur konsert bagi peserta keperluan khas selepas ditolak uji bakat

Penerima Anugerah Enable Goh Chok Tong, Muhammad Arshad Fawwaz. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 28 Dec 2021 03:04PM Dikemas Kini : 01 Nov 2022 08:26PM

SINGAPURA: Selepas berkali-kali ditolak dalam pertandingan uji bakat seperti The Final One dan Asia's Got Talent, Muhammad Arshad Fawwaz, 24, bertekad untuk tidak membiarkan individu sepertinya menerima nasib yang serupa.

Arshad, yang didiagnos dengan autisme dan sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) di sekolah rendah, membuat keputusan untuk menganjurkan siri konsert online yang dipanggil "Inclusivity 4 all", di mana golongan berkeperluan khas boleh mempamerkan bakat mereka.

"Saya mahu menyediakan platform bagi mereka yang berkeperluan khas kerana anda tidak melihat mereka beraksi di televisyen setiap hari. Anda hanya dapat melihat mereka semasa acara seperti President's Star Charity, yang berlaku setahun sekali," kata Arshad yang gemar menyanyi, menari dan melakukan silap mata.

Beliau adalah antara 13 penerima Anugerah Enable Goh Chok Tong iaitu inisiatif oleh Dana Upaya Mediacorp yang mengiktiraf pencapaian individu-individu kurang upaya.

Penerima Anugerah Enable Goh Chok Tong, Muhammad Arshad Fawwaz. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)
Penerima Anugerah Enable Goh Chok Tong, Muhammad Arshad Fawwaz. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)


Dianjurkan buat tahun ketiga, anugerah tersebut mempunyai dua kategori.

Anugerah Pencapaian UBS diberikan kepada mereka yang sudah meraih pencapaian besar dalam bidang masing-masing, dengan sehingga tiga individu diberikan hadiah S$10,000.

Anugerah Harapan UBS pula, yang mana dimenangi Arshad, diberikan kepada mereka yang menunjukkan potensi untuk mencapai kecemerlangan lebih tinggi dalam bidang-bidang mereka. Sehingga 10 penerima diberi S$5,000 setiap seorang.

Arshad, yang menganjurkan konsert sepenuh masa semasa menunggu untuk melanjutkan pengajian dalam program pendidikan Islam di luar negara, berkata acara pertamanya yang pada Mei tahun lalu adalah suatu tanggungjawab yang sangat besar dan sukar dilakukan.

Malah beliau terpaksa mendapatkan bantuan ibunya, yang menghubungi ibu bapa kepada kanak-kanak berkeperluan khas dan mengundang mereka untuk menyertai acara tersebut.

Anak beranak itu juga menghubungi lebih 20 selebriti, dengan empat memberi respons dan bersetuju untuk menjadi hos bagi acara tersebut.

Selain sebagai penganjur, Arshad, juga menyunting dan menghasilkan video daripada pelbagai persembahan online itu, yang disiarkan di YouTube pada 24 Mei. Menurutnya beliau berbesar hati dengan respons penonton.

"Kami masukkan semua orang yang kirim video mereka kerana bakat-bakat mereka hebat. Bagi selebriti pula, saya sangat teruja apabila menerima respons daripada mereka untuk tampil dalam acara saya... Ia benar-benar meningkatkan keyakinan saya."

Setakat ini, Arshad sudah menganjurkan lima konsert online yang membantu mengumpul dana bagi sebilangan badan amal seperti Rumah Kanak-Kanak Jamiyah dan Rumah Kanak-Kanak Pertapis serta Persatuan bagi Mencegah Kekejaman terhadap Haiwan (SPCA).

Jumlah yang dikumpul itu memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 50 keluarga.

Konsert selanjutnya dijadualkan ditayangkan bulan depan, dan Arshad berkongsi beliau sedang mencari penaja yang dapat membantu membayar pengacara dan mereka yang membuat persembahan.

Semasa ditanya apa yang ingin dilakukan dengan wang tunai yang diterima, Arshad berkata sebahagian daripadanya akan disalurkan bagi kursus berpidato dan penyuntingan video yang akan disertainya.

Bakinya akan dikongsi bersama sekitar 25 individu berkeperluan khas yang menyertai konsert-konsert beliau sebelum ini.

"Saya harap satu hari saya akan dapat membayar peserta berkeperluan khas dan pengacara di platform ini. Saya mahu mewujudkan pekerjaan bagi mereka yang berkeperluan khas seperti saya," kata beliau.

Mediacorp Enable Fund (MEF) adalah dana amal yang bertujuan membina masyarakat dan mengiktiraf mereka yang kurang upaya dalam menjalani kehidupan yang lebih menyeluruh dan bersepadu. Dana itu ditadbir oleh SG Enable bersama Mediacorp sebagai rakan media rasmi dan ESM Goh Chok Tong pula sebagai penaungnya. Untuk menyokong golongan kurang upaya melalui MEF, sila layari www.mef.sg  

Sumber : TODAY - Brand Spotlight/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan