Skip to main content

Gaya Hidup

ArCH Square hidupkan kisah masyarakat silam menerusi artifak dan makanan sempena ulang tahun pertamanya

Anggaran Waktu Membaca:
ArCH Square hidupkan kisah masyarakat silam menerusi artifak dan makanan sempena ulang tahun pertamanya

Pameran arkeologi dan makanan yang dipersembahkan oleh ArCH Square dan Muzium Makanan. (Gambar: ArCH Square)

Diterbitkan : 29 Oct 2026 02:39PM
SINGAPURA: Bersempena ulang tahun pertamanya, ArCH Square bergabung tenaga dengan Muzium Makanan untuk mempersembahkan ‘SHIPPED! Vessels of Taste’, yang dibuka kepada orang ramai mulai 31 Oktober.

Bertemakan makanan, pameran tersebut menggabungkan arkeologi dan warisan hidup untuk menyingkap bagaimana objek serta peralatan makanan dari masa lalu dapat membuka jendela kepada sejarah, budaya dan kehidupan seharian masyarakat Singapura.
Related article image
Encik Zinnurain Nasir, 34 tahun, merupakan seorang kurator bersama ArCH Square. (Gambar: Nur Sabrina Masri)
ARTIFAK PENGHUBUNG KISAH DAN TRADISI MASYARAKAT SILAM

Artifak bukan sekadar peninggalan sejarah, malah menjadi penghubung kepada kisah dan tradisi masyarakat silam.

Demikian pandangan yang dikongsikan kurator ArCH Square, Encik Zinnurain Nasir, 34 tahun, yang memainkan peranan dalam memilih pelbagai artifak untuk dipamerkan, termasuk tempayan dan mangkuk tingkat.

“Antara artifak yang agak penting ialah tempayan. Kami mendapati bahawa tempayan ini digunakan juga untuk mengawet atau menapai makanan,” kongsi Encik Zinnurain.

Menurut beliau, peralatan makanan seperti tempayan dan mangkuk tingkat menyimpan pelbagai kisah sejarah, termasuk pengaruh budaya dan tradisi yang menghubungkan masyarakat Melayu dengan masyarakat lain di rantau ini.

“Arkeologi ini merupakan satu aspek sejarah yang bagi saya bukan sahaja memukau tetapi juga memberikan kita satu peluang untuk mengenal cerita-cerita lama,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan bahawa artifak turut memperlihatkan bagaimana amalan dan tradisi sesebuah masyarakat saling mempengaruhi antara satu sama lain.

“Masyarakat yang berbeza akan mengamalkan tradisi yang berbeza dan melalui artifak ini kami dapat melihat bahawa komuniti yang lain mungkin akan mengambil unsur tradisi yang lain.”

Beliau turut menjelaskan bahawa di sebalik setiap artifak, tersimpan pelbagai cerita tentang warisan makanan yang bukan sahaja mencerminkan identiti budaya, malah menjadi penghubung antara masyarakat dan komuniti di rantau ini.
Related article image
Encik Hafiz Rashid, 33 tahun, merupakan seorang pencerita yang menghidupkan kisah di sebalik artifak. (Gambar: Nur Sabrina Masri)
CERITA RAKYAT DAN ARTIFAK BERSATU HIDUPKAN WARISAN

Turut memainkan peranan dalam menghidupkan kisah di sebalik artifak-artifak ini ialah pencerita, Encik Hafiz Rashid, 33 tahun.

Dengan minat mendalam terhadap cerita rakyat, legenda dan sastera tradisional, beliau mengaitkan artifak serta serpihan yang ditemui dengan kisah-kisah masyarakat silam. Antaranya termasuk legenda Melayu, ‘Batu Belah, Batu Bertangkup’.

“Apabila saya datang untuk mempelajari lebih tentang artifak mengenai serpihan piring yang mengandungi motif telur ikan. Jadi bila saya fikir pasal telur ikan, cerita rakyat yang pertama adalah ‘Batu Belah, Batu Bertangkup’ tentang telur ikan tembakul,” kongsi Encik Hafiz.

‘Batu Belah, Batu Bertangkup’ mengisahkan seorang ibu yang kecewa apabila anak-anaknya menghabiskan telur ikan tembakul yang sangat diinginkannya. Akibat terlalu sedih dan berkecil hati, si ibu meninggalkan anak-anaknya lalu menuju ke sebuah batu ajaib yang terbuka sebelum ditelan batu tersebut.

Namun, penceritaan Encik Hafiz bukan sekadar menghidupkan semula kisah lama, malah turut mengetengahkan nilai dan pengajaran yang terkandung dalam cerita rakyat serta kaitannya dengan amalan masyarakat Melayu hingga ke hari ini.

“Jadi ada kaitannya dengan tatasusila Melayu menerusi cerita rakyat. Ibu bapa kita ataupun orang tua kita akan kata untuk rasa sedikit nanti kempunan walaupun kita tidak tahu apa akibatnya kalau dapat kempunan,” kata beliau.

Bagi Encik Hafiz, memahami sejarah dan amalan pemakanan yang diwarisi daripada generasi terdahulu penting bagi memastikan cerita serta tradisi masyarakat tidak luput ditelan zaman.

“Cerita dan juga warisan di mana kalau kita tidak sempat turunkan, akan pupus. Ia juga meningkatkan penghargaan kita terhadap sesebuah masakan ataupun sesebuah budaya yang terkait dengan pemakanan,” ujar Encik Hafiz.

Encik Hafiz juga berharap para pengunjung boleh memikirkan lebih mendalam, membuat refleksi ataupun renungan apabila melihat amalan pemakanan dan tradisi mereka sendiri di ArCH Square.
Sumber : BERITA Mediacorp/SB/sb
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita