Skip to main content

Gaya Hidup

Arah tuju masa depan gedung serbaneka - bagaimana untuk kekal relevan

Anggaran Waktu Membaca:
Arah tuju masa depan gedung serbaneka - bagaimana untuk kekal relevan

(Illustrasi: Clara Ho)

Diterbitkan : 10 Sep 2022 01:44PM Dikemas Kini : 10 Sep 2022 01:49PM
SINGAPURA: Daniel Wang yang berusia 40-an tahun masih ingat lagi rasa teruja setiap kali melangkah masuk ke bahagian mainan di Isetan di Parkway Parade semasa tahun-tahun 80-an dulu.

Bahkan, beliau akan masih singgah ke kedai serbaneka itu setiap kali berada di Parkway Parade.

Maka itu, Encik Wang berasa amat sedih apabila mendapat tahu cawangan Isetan itu ditutup buat selamanya pada Mac.

Sebelum menutup cawangannya di Parkway Parade, gedung serbaneka dari Jepun itu yang sudah beroperasi di Singapura sejak 1970-an, menutup satu lagi cawangannya di Westgate pada 2019.

Namun bukan hanya Isetan yang telah menutup kedainya.

Pengendali tempatan Metro menutup cawangan utamanya setinggi enam tingkat di The Centrepoint pada 2019. Ini diikuti pula dengan Robinsons, salah satu gedung serbaneka tertua di Singapura, pada 2020.

Baru-baru ini, OG, menutup cawangannya di Orchard Point selepas 18 tahun beroperasi di lokasi itu.

Selepas memenuhi keperluan beberapa generasi penduduk, prestasi gedung serbaneka semakin berkurangan di tengah-tengah perubahan tingkah laku dan tabiat pembeli.

Sesetengah pengendali memberitahu Mediacorp bahawa mereka berazam untuk berkembang bersama pengguna, dengan perubahan sudah dilakukan. Tetapi dengan pembeli yang semakin beralih online untuk keperluan runcit mereka dan kurang minat untuk menghabiskan masa berjam-jam di kedai, apakah cabaran dan arah tuju bagi syarikat runcit yang pernah satu ketika dulu digemari ramai?

“TINGGAL KENANGAN”

Edisi “Panduan ke Singapura dan Tumpuan pada Malaya” tahun 1957– buku panduan oleh agensi pengiklanan dan percetakan Papineau Studios – mengesyorkan Robinsons, John Little dan Whiteaway bagi pelbagai barangan import, serta khidmat lain yang ditawarkan di bawah satu bumbung dalam suasana yang mewah.

Kedai tiga tingkat Robinsons, di Raffles Place "dihiasi dengan menarik", adalah tempat untuk mendapatkan minyak wangi dari Perancis dan pakaian wanita dari rumah fesyen terkenal di England dan Amerika.

Bangunan berhawa dingin, jarang terdapat pada tahun-tahun 1950-an dan juga disebut dalam buku panduan tersebut.

John Little, yang terletak di seberang jalan terkenal dengan jabatan bunganya yang "sentiasa tersusun indah dengan orkid dan bakul bunga menarik".

Di Battery Road pula, Whiteaway's sebuah gedung beli-belah mewah merupakan satu-satunya tempat yang menjual minyak wangi serta barang kemas jenama mewah Perancis Christian Dior.

Selain di Raffles Place, Orchard Road mengalu-alukan kehadiran gedung beli-belah pertamanya pada 1958 apabila ahli perniagaan Tang Choon Keng memindahkan perniagaannya dari River Valley Road ke sudut Orchard Road dan Scotts Road.

Bangunan C.K. Tang setinggi lima tingkat itu diilhamkan Istana Imperial di Beijing dan dengan bumbung seperti pagoda dan jubin hijau, ia dengan cepat menjadi mercu tanda di kawasan itu.

Beberapa lagi gedung beli-belah asing dan tempatan menyusul kemudian, seperti Yaohan dari Jepun yang masih diingati ramai kerana logo hijau putihnya yang ikonik, dan roti kacang merah.

Oriental Emporium pula diasaskan adik beradik Lim Tow Seng dan Lim Tow Yong pada tahun 1961, menjual produk pada harga yang berpatutan dan mendapat sambutan baik dalam kalangan penduduk tempatan.

Pada kemuncaknya, rangkaian itu mempunyai hampir 20 kedai di seluruh negara sebelum gulung tikar ekoran kemelesetan ekonomi pada 1980-an.

Yaohan menutup pintunya pada 1997 manakala Daimaru pula pada 2003.

Pada 2005 Seiyu menjual perniagaannya kepada CapitaLand, yang kemudian menjualnya kepada Kumpulan Beijing Hualian (BHG).

John Little menutup operasinya di Plaza Singapura pada 2016 menandakan berakhirnya era gedung beli belah tertua di Singapura yang dibuka sejak 1842.

"Kedai serbaneka popular pada satu ketika dulu kerana konsep 'semuanya di bawah satu bumbung'. Ketika itu juga tidak ada banyak pusat belah yang terletak di merata negara," kata Cik Regina Yeo dari Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura.

Meningkatnya khidmat penerbangan tambang murah menyaksikan pembeli berbelanja ke luar negara, tetapi cabaran paling besar datang dalam bentuk e-dagang yang mengubah tabiat pengguna.

Pembeli terutamanya golongan muda boleh memenuhi keperluan mereka online di mana lebih banyak kepelbagaian produk boleh didapati dan pada harga lebih baik, kata Lim Xiu Ru, seorang pensyarah di sekolah perniagaan Politeknik Singapura.

Gedung serbaneka, dengan kos sewa dan operasi lebih tinggi juga mendapati sukar untuk bersaing dengan peruncit online dari segi harga, tambah pakar tersebut.

Kesan COVID-19 menyebabkan prestasi mereka menjadi semakin teruk dan mempercepatkan peralihan digita.

Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, disertai kos dan inflasi yang kian meningkat, gedung serbaneka khususnya akan menyaksikan perbelanjaan lebih berhemat daripada pelanggan mereka, kata Cik Lim.

APA LANGKAH SELANJUTNYA?

Banyak yang telah diperkatakan tentang pendigital, dengan gedung serbaneka kini mempunyai kehadiran online atau kerjasama dengan pemain e-dagang.

Robinsons menubuhkan kedai online selepas diperolehi oleh Canningvale Australia tahun lalu. Pengarah urusan Jordan Prainito memberitahu Mediacorp jumlah jualan "menggalakkan", dengan "pertumbuhan yang memberangsang" setiap bulan.

Beroperasi secara online juga membolehkan Robinsons "mengumpul data penting" untuk pembangunan produk dan pemerolehan pembekal, sambil menyediakan pelanggan dengan kemudahan dan faedah lain, tambahnya.

Bagaimana para pakar kurang yakin, beralih ke wadah online satu strategi yang boleh bertahan.

Mengambil Robinsons sebagai contoh, Cik Yeo berkata jenama terkenal itu mungkin masih dianggap sebagai "lapuk" oleh pembeli muda. Sebaliknya, bekas pelanggan mungkin lebih suka menyentuh dan mencuba produk sepertimana di kedai fizikal.

Satu pilihan ialah bagi gedung serbaneka membuka cawangan fizikal lebih kecil.

Satu lagi strategi ialah meningkatkan kehadiran ke kawasan kejiranan dan merancang kegiatan masyarakat atau interaktif dalam kedai.

Namun, para pakar akur kehadiran mereka di Orchard Road tetap penting dengan menggunakan konsep 'pengalaman' runcit atau menawarkan barangan yang berbeza.
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita