Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Arab Saudi, pertama di dunia tawarkan pengalaman penuh "Squid Game"

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi, pertama di dunia tawarkan pengalaman penuh "Squid Game"

Gambar: Agensi berita

Diterbitkan : 14 Feb 2022 09:15PM Dikemas Kini : 14 Feb 2022 09:16PM

RIYADH: Arab Saudi sudah menyaksikan kepelbagaian acara tempatan dan global, yang menarik perhatian pelawat dan pelancong dari negara itu sendiri dan juga luar negara.

Riyadh kini menganjurkan Squid Game Experience secara nyata, di mana Pihak Berkuasa Am bagi Hiburan (GEA) menganjurkan acara itu untuk memberikan para pemainnya pengalaman penuh enam permainan berbeza yang diinspirasikan daripada siri popular Korea - "Squid Game".

Squid Game Experience di Riyadh menawarkan pengalaman yang sama dalam permainan yang ditunjukkan dalam siri itu, bermula dengan bertemu askar dalam seragam merah mereka dan berakhir dengan mengumumkan pemenang, sekali gus menjadikan Arab Saudi yang pertama di seluruh dunia yang menawarkan acara Squid Game pada tahap ini, dengan semua permainannya, lapor SaudiGazette.

Pihak berkuasa memperuntukkan zon khas untuk acara itu di kawasan seluas 9,582 meter persegi di Boulevard Riyadh City, Riyadh. Hanya dalam 35 hari, kawasan yang luas itu disiapkan dengan zon berbeza untuk enam peringkat permainan, di mana semua ruang dalam dunia permainan itu menjadi nyata di Riyadh.

Untuk menjadikannya benar-benar seperti dalam siri popular tersebut, anak patung animatronik setinggi tiga meter itu dipasang, manakala set tarik tali dibina setinggi tiga meter di atas tanah untuk memastikan pemain berasa teruja.

Penganjur pengalaman itu juga berjaya mengimbangi tawaran pengalaman nyata tersebut dengan memastikan keselamatan pemain, di mana dalam permainan batu loncatan berkaca, kaca yang mudah pecah diganti dengan sensor dan lampu merah.

Kira-kira 70 pemain boleh mendapatkan pengalaman penuh di Arab Saudi bermula daripada menerima kad, bertemu askar dan Front Man bertopeng, memakai pakaian, bermain permainan dalam set yang berbeza dan juga keamatan dan keterujaan.

Menurut rencana SaudiGazette, Squid Game Experience di Arab Saudi menarik ratusan warga Saudi, penduduk dan pelancong, dengan tiket habis dijual pada kebanyakan hari.

Musim Riyadh 2021 diadakan di bawah slogan "Imagine More" (Bayangkan Lebih Banyak Lagi), tetapi apa yang ditawarkan sebagai sebahagian daripada musim ini melangkaui imaginasi.

Musim Riyadh 2021, yang bermula pada 20 Oktober 2021, sudah menerima lebih daripada 10 juta pengunjung, manakala sektor hiburan di Kerajaan Arab Saudi berkembang secara meluas, lapor SaudiGazette.

Sumber : Agensi berita/KF/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan