Apple mungkin akan gantikan pengecas iPhone dengan kabel Android
Apple mungkin akan menukar pengecasnya sekali lagi yang bermakna pengecas-pengecas sedia ada tidak boleh digunakan lagi.

(Gambar hiasan: Aly Song/Reuters)
AMERIKA SYARIKAT: Apple mungkin akan menukar pengecasnya sekali lagi yang bermakna pengecas-pengecas sedia ada tidak boleh digunakan lagi.
Buat masa ini, iPhone Apple dicas menggunakan kabel Lightning, satu perubahan yang dibuat pada 2012.
Bagaimanapun menurut laporan baru di blog rangkaian pengeluaran Macotakara, Apple mungkin akan menukar kepada pengecas USB-C bagi iPhone - yang sudah pun digunakan untuk mengecas iPad Pro.
Desas-desus penukaran itu bermakna bahawa kabel pengecas yang sama boleh digunakan untuk mengecas peralatan Apple dan Android - kerana pengecas USB-C sudah digunakan bagi Samsung Galaxy S9, Google Pixel 3, Razer Phone 2 dan OnePlus 6.
Bagaimanapun, perubahan itu turut bermakna bahawa kabel pengecas Lightning itu, yang berharga AS$19 (S$26), tidak boleh digunakan lagi - begitu juga aksesori lain seperti alat penyesuai (adapter).
Di Twitter, desas-desus mengenai perubahan itu dikritik oleh beberapa pengguna Apple.
"Adakah ini cara baru Apple untuk mendapat lebih keuntungan? Setiap beberapa tahun Apple menukar kabel dan fon kepala? Mengapa tidak cuba untuk lebih inovatif?" rungut seorang pengguna Apple.
Manakala ada yang memuji tindakan Apple - kerana pengecas USB-C dianggap lebih bermutu berbanding pengecas Lightning.
Selain itu, Apple juga mungkin akan melancarkan AirPower - pengecas iPhone tanpa wayar yang sudah lama dinanti-nantikan ramai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.