Apple lancar khidmat penstriman video, langganan berita baru
Apple pada Isnin (25 Mac) mendedahkan pelan penstrimannya bersama dengan tawaran bagi langganan berita dan permainan sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menumpukan perhatian kepada kandungan digital dan bukan setakat bergantung kepada penjualan iPhone semata-mata.

CEO Apple Tim Cook semasa melancarkan Apple TV+ pada 25 Mac (Gambar: AFP)
CALIFORNIA: Apple pada Isnin (25 Mac) mendedahkan pelan penstrimannya bersama dengan tawaran bagi langganan berita dan permainan sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menumpukan perhatian kepada kandungan digital dan bukan setakat bergantung kepada penjualan iPhone semata-mata.
Pengarah terkemuka Hollywood Steven Spielberg, hos rancangan TV Oprah Winfrey dan bintang-bintang Hollywood yang lain seperti Jennifer Aniston, Reese Witherspoon dan Steve Carrell turut membuat penampilan di acara yang dijangka akan menyaksikan persaingan sengit antara Apple dengan pemain-pemain industri seperti Netflix dan seluruh sektor hiburan.
Khidmat Apple TV +, iaitu sejenis khidmat langganan berdasarkan permintaan yang bebas iklan, akan dilancarkan tahun ini di 100 negara, menurut syarikat itu.
Kandungan baru itu boleh didapatkan melalui aplikasi Apple TV yang dinaik taraf, yang akan disediakan menerusi televisyen bijak dan wadah-wadah pihak ketiga seperti Roku dan Fire TV oleh Amazon.
Apple juga akan membenarkan para pengguna untuk melanggani khidmat pihak ketiga seperti HBO dan Starz melalui applikasi yang sama. Harga khidmat serta perjanjian kewangan yang dimeterai dengan pereka-pereka kandungan bagaimanapun tidak didedahkan.
Sedang sesetengah pihak menyifatkan langkah Apple itu sebagai satu penciptaan semula bagi syarikat ikonik itu, penganalisis Richard Windsor berkata menerusi blognya Radio Free Mobile bahawa khidmat penstriman itu "tidak mungkin dapat mengubah imej Apple yang sejak sekian lama terkenal dengan penjualan perkakasannya (hardware)".
Pada masa yang sama, Apple News+ dilancarkan di Amerika dan Kanada pada Isnin. Khidmat dalam bahasa Inggeris dan Perancis itu akan ditawarkan di Britain dan Australia pada lewat tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.