Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Aplikasi Muslim Pro tawar 'Qalbox', khidmat penstriman Islamik & mesra Muslim

Anggaran Waktu Membaca:
 Aplikasi Muslim Pro tawar 'Qalbox', khidmat penstriman Islamik & mesra Muslim

Aplikasi Muslim Pro tawar 'Qalbox', khidmat penstriman Islamik & mesra Muslim. (Gambar: Petikan dari aplikasi Muslim Pro)

BERITAmediacorp: Masyarakat Islam setempat dan di seluruh dunia kini dapat meneroka pilihan baru khidmat penstriman yang menawarkan kandungan-kandungan unik, mesra Muslim dari merata dunia menerusi aplikasi Muslim Pro.

Ini bermakna, aplikasi Muslim Pro bukan lagi setakat menyediakan maklumat seperti waktu azan, bacaan al-Quran, zikir, arah kiblat serta tarikh hijriah, seperti diketahui ramai penggunanya. Ia sekarang turut menawarkan lebih 100 kandungan, dengan lebih 300 jam penstriman, yang memaparkan kerencaman dan nuansa masyarakat Muslim di merata dunia, sekali gus menjadikannya lebih holistik.

Khidmat penstriman yang diberi nama ‘Qalbox’ itu sudah boleh diakses menerusi aplikasi Muslim Pro sejak dilancarkan kepada para pengguna aplikasi tersebut pada Julai lalu. Ia sedang melalui proses mengumpul maklum balas daripada pengguna dan mempertingkat khidmat itu sebelum dilancarkan secara rasmi tahun depan.
Qalbox boleh diakses menerusi aplikasi Muslim Pro. (Gambar: Petikan dari aplikasi Muslim Pro)
Menerusi pemerhatian BERITAmediacorp, Qalbox mudah digunakan, dengan tajuk-tajuk yang ditawarkan disusun mengikut kategori. Antaranya Best of Southeast Asia (Terbaik dari Asia Tenggara), dokumentari, keluarga dan kanak-kanak, Sacred Journeys (Perjalanan Suci) dan sejarah Islam. Kandungan-kandungannya juga tidak terbatas kepada satu-satu lokasi geografi sahaja. Ia turut meliputi kandungan dari Timur Tengah, Asia, Amerika Syarikat dan lain-lain.
Antara kandungan yang ditawarkan oleh Qalbox. (Gambar: Petikan dari aplikasi Muslim Pro)
GAMBARAN TEPAT KERENCAMAN KEHIDUPAN MUSLIM

Menurut Ketua Operasi bagi Khidmat Langganan Video Ikut Permintaan (SVOC) Bitsmedia, Junaidah Khan, pihaknya mahu menawarkan pengalaman yang menyeluruh, dengan menghubungkan, menyuntik inspirasi, mendakapi dan meraikan kerencaman masyarakat Islam menerusi gambaran sahih realiti Muslim dalam kehidupan seharian mereka.

Ini didorong dapatan yang diterbitkan dalam Laporan Keadaan Ekonomi Islam Sejagat 2020/21 oleh DinarStandard yang menyatakan terdapat permintaan meningkat bagi hiburan mesra Muslim. Di peringkat global, masyarakat Muslim membelanjakan AS$222 bilion (S$317 bilion) bagi media dan rekreasi pada 2019. Malah, ia dijangka meningkat kepada AS$270 bilion (S$386 bilion) pada 2024.

“Kini, masyarakat kita sudah ada pilihan untuk mengakses hiburan mesra Muslim - yang lebih sesuai dengan keperluan hiburan mereka. Selain itu, menerusi Qalbox, kami mahu memberi gambaran tepat kerencaman kehidupan Muslim menerusi media, di samping menyampaikan maklumat, mendidik dan menghiburkan para pelanggan menerusi kandungan kami,” Cik Junaidah memberitahu BERITAmediacorp.
Antara kandungan yang ditawarkan oleh Qalbox. (Gambar: Bitsmedia)
Beliau menambah: “Kami di sini untuk meraikan kehidupan Muslim, membongkar kisah-kisah masyarakat tanpa bersyarah mahupun memaksa orang lain menerima satu-satu pandangan. Inilah sebabnya kami berusaha menawarkan begitu banyak genre kandungan bagi masyarakat Muslim sejagat.”

Bukan itu sahaja, Bitsmedia juga sedang merancang untuk menawarkan kandungan-kandungan yang diterbitkannya sendiri dan sudah ada beberapa penerbitan yang sedang dihasilkan.

“Evolusi dan pengembangan kandungan kami adalah proses yang sedang dijalankan. Kami juga merancang untuk memantau tabiat pengguna dan memahami mereka dengan mendalam untuk menyusun dan mencipta kandungan yang bermakna bagi mereka,” ujar Cik Junaidah.
Antara kandungan yang ditawarkan oleh Qalbox. (Gambar: Bitsmedia)
LANGGANAN 2 DALAM 1

Qalbox boleh diakses menerusi aplikasi Muslim Pro dengan langganan 2 dalam 1. Ini bermakna dengan hanya satu yuran langganan, para pengguna boleh menikmati kandungan Qalbox dan mengakses semua ciri-ciri premium Muslim Pro.

Ini termasuk mendengar bacaan al-Quran oleh pembaca kegemaran mereka, suara-suara azan dari merata dunia dan banyak lagi tanpa sebarang iklan dalam aplikasi.
Antara kandungan yang ditawarkan oleh Qalbox. (Gambar: Bitsmedia)
Semua pengguna yang belum melanggani aplikasi tersebut dialu-alukan untuk cuba menggunakan Qalbox secara percuma selama tujuh hari sebelum membuat sebarang komitmen untuk melangganinya.

Terdapat harga promosi bagi langganan tahunan bagi mereka yang melangganinya dalam bulan Oktober ini. Untuk tempoh terhad, pengguna dari Singapura boleh mendapat akses penuh kepada kandungan Muslim Pro dan Qalbox pada harga S$7.50 sebulan, yang mana bayarannya perlu dibuat sekali bagi tempoh setahun (S$90). Harga asal bagi langganan premium setahun adalah S$99.98.
Cik Junaidah memberitahu BERITAmediacorp, langkah Bitsmedia ke dalam ruang penstriman menerusi Qalbox mencerminkan cita-cita asas syarikat itu, iaitu membangunkan aplikasi Muslim Pro sebagai aplikasi gaya hidup yang menyeluruh bagi masyarakat Islam di merata dunia.

“Kami berharap platform kami dapat menarik perhatian kepada kandungan unik di samping menyediakan ruang untuk para pembuat filem dan penerbit Muslim yang baru untuk menyerlahkan karya-karya mereka. Kami proaktif mencari kerjasama dengan para pencipta baru (kandungan) dan terbuka untuk meneroka kerjasama dengan individu serta perniagaan yang sejajar dengan visi kami,” kata Cik Junaidah.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan