Aphantasia tidak halang kreativiti, kata artis tempatan
Kebanyakan individu boleh membayangkan sesuatu imej dalam fikiran mereka - baik wajah yang dikenali mahupun tempat yang pernah dikunjungi.
Aphantasia mempengaruhi cara seseorang berfikir dan mengingati sesuatu perkara. (Gambar: Mediacorp)
Namun tahukah anda, terdapat sesetengah orang yang tidak boleh berbuat demikian kerana mengalami aphantasia.
Aphantasia ialah keadaan di mana seseorang itu ketiadaan "mata fikiran".
Bagaimanapun muncul persoalan - bagi golongan kreatif, adakah keadaan tersebut suatu keterbatasan atau suatu kelebihan?
Jevon Chandra, 34 tahun, ialah seorang artis yang mengalami dunia secara berbeza.
"Saya tidak tahu bahawa saya mengalami aphantasia untuk sebahagian besar kehidupan saya, sehinggalah saya menemui satu ujian di Reddit pada 2021. Ketika itulah saya menyedari bahawa mungkin ada sesuatu yang berbeza dengan saya," kata Encik Chandra.
Seseorang yang mengalami aphantasia tidak berupaya membentuk imej mental.
Ini bermakna mereka tidak dapat membayangkan wajah, tempat atau objek.
Namun, bagi Encik Chandra, daya kreativiti beliau tidak terhad oleh apa yang tidak dapat dilihatnya.
"Tidak mempunyai imej visual mental tidak bermakna tiada pemikiran visual. Semasa saya bekerja dan melakukan perkara berkali-kali, saya sentiasa melihat imej dan merasainya.
"Merasai perkara seperti berapa berat, kontras, keseimbangan dan perkadarannya," kata beliau.
Keadaan yang dialami Encik Chandra bukan sekadar mempengaruhi cara beliau mencipta sesuatu, tetapi juga cara beliau berfikir.
"Saya sangat selesa dengan perkara yang tidak kelihatan dan yang abstrak. Walaupun tanpa imej mental dalam diri saya, ada banyak dunia di luar sana.
"Jadi secara amnya, saya cuba memerhatikan dan kemudian saya cuba belajar dan saya cuba merenung," kata beliau.
Malah ingatan beliau juga berfungsi secara berbeza.
Beliau mengimbas kembali banjir yang dialaminya di Jakarta ketika beliau kecil dahulu, namun bukan sebagai imej tetapi sebagai sensasi fizikal.
"Saya tidak dapat mengingati dalam fikiran saya bagaimana rupa banjir itu, tetapi saya boleh mengingati sensasi air banjir yang sangat tinggi," kata beliau.
Gambar-gambar lama yang rosak akibat air banjir kini membawa makna baharu dalam karyanya.
"Anda boleh lihat bahawa bukan sahaja imej itu yang kabur, tetapi seolah-olah imej baharu sedang terbentuk. Saya rasa itulah yang saya dapati sangat puitis mengenainya," kata beliau.
Hari ini, Encik Chandra menganggap pengalamannya itu bukan sebagai satu keterbatasan, tetapi satu cara pemikiran yang berbeza.
"Saya fikir apa yang aphantasia ajar saya ialah dunia boleh dicerap dan diluahkan dalam banyak cara berbeza.
"Kadangkala orang bertanya kepada saya, adakah anda berharap anda tidak mempunyai aphantasia, atau adakah anda berharap anda mempunyai imej mental?
"Dan umumnya, walaupun ada rasa ingin tahu, saya tidak merasakan ia suatu kerugian. Saya rasa, memang boleh mengagumi tanpa rasa iri," kata Encik Chandra.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.