Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Apakah kaitan antara cacar air & kelumpuhan muka dialami Justin Bieber? Adakah anda berisiko?

Anggaran Waktu Membaca:
Apakah kaitan antara cacar air & kelumpuhan muka dialami Justin Bieber? Adakah anda berisiko?

Gambar: Instagram/@JustinBieber

Diterbitkan : 24 Jun 2022 10:26AM Dikemas Kini : 05 Jul 2022 04:25PM
SINGAPURA: Anda tidak perlu menjadi peminat tegar Justin Bieber untuk tahu bahawa penyanyi pop asal Kanada itu mengalami 'kelumpuhan muka' disebabkan oleh sindrom 'Ramsay Hunt' yakni suatu masalah kesihatan yang serius.

Dalam video Instagram yang dilaporkan secara meluas pada 10 Jun lalu, artis yang memenangi anugerah Grammy itu menceritakan kelumpuhan pada separuh muka beliau.

"Seperti yang anda lihat, mata ini tidak berkelip. Saya tidak boleh tersenyum dari sisi muka saya ini. Lubang hidung ini tidak akan bergerak, jadi berlaku kelumpuhan penuh di bahagian muka saya," katanya sambil mengumumkan terpaksa membatalkan beberapa siri konsert jelajahnya.

Sindrom Ramsay Hunt yang dialaminya itu disebabkan virus varicella zoster - virus sama yang menyebabkan cacar air.
Menurut Dr Ng Chew Lip, seorang konsultan bedah ENT (telinga, hidung dan tekak) di Hospital Ng Teng Fong (NTFGH) yang dilatih dalam pembedahan plastik wajah, keadaan yang dialami Justin Bieber itu "agak teruk".

APAKAH RISIKO ANDA ALAMI KELUMPUHAN MUKA?

Memandangkan virus yang menyebabkan keadaan Bieber adalah virus sama seperti cacar air, anda mungkin tertanya-tanya: mungkin saya juga boleh terkena kelumpuhan muka?

Bagi kebanyakan pesakit yang sudah pulih, virus varicella zoster mungkin masih lagi ada di dalam tubuh mereka namun dalam keadaan tidak aktif, kata Dr Ng seperti dinukil CNA Lifestyle

Sindrom Ramsay Hunt jarang berlaku - lima bagi setiap 100,000 orang dalam penduduk Amerika Syarikat (AS).

Di Singapura, Dr Ng menyaksikan sekitar 10 hingga 20 kes setahun.

Masalah akan timbul jika tahap daya tahan seseorang itu terganggu. Ini akan memberikan peluang kepada virus untuk kembali aktif.

Anda mungkin rasa tertekan di tempat kerja. Bagi Bieber, mungkin beliau rasa tertekan membuat persiapan bagi siri konsert jelajah dunia. "Kadang kala ia berlaku tanpa sebarang sebab," kata Dr Ng.

Bagi kes penyanyi tersebut, virus varicella zoster menyerang saraf di sebelah kanan mukanya.

Ada lima cabang saraf pada setiap bahagian muka dengan setiap cabang bertanggungjawab untuk mengerakkan bahagian yang berbeza: Dahi, sekeliling mata, bahagian tengah muka, mulut dan leher.

"Gangguan saraf boleh menjejas semuanya atau salah satu kelemahan otot bergantung pada kemudaratan saraf tersebut," kata Dr Ng.

SEBAB LAIN YANG BOLEH LUMPUHKAN MUKA

Virus yang menyebabkan sindrom Ramsey Hunt bukan satu-satunya gangguan saraf yang boleh menyebabkan kelumpuhan muka. Ada beberapa sebab lagi seperti virus herpes simplex dan virus influenza yang boleh menyebabkan sebahagian otot di salah satu atau kedua bahagian wajah menjadi lemah.

"Kami juga melihat pesakit yang mengalami kelumpuhan di sebelah muka selepas mengalami sakit selesema," kata Dr Ng.

Bukan semua kes kelumpuhan atau kelemahan otot muka boleh dikesan kepada virus yang diketahui. Dalam beberapa keadaan sedemikian, doktor mendiagnosis kelemahan otot muka itu sebagai penyakit Bell's palsy.

"Kami tidak ada sebarang data tempatan. Secara amnya, satu dalam setiap 65 orang akan mengalami Bell's palsy sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka," kata Dr Ng yang menyaksikan sejumlah kes sedemikian setiap minggu.

"Sindrom Ramsay Hunt adalah lebih teruk daripada Bell's palsy dengan kelumpuhan lebih teruk dan sukar pulih," tambahnya.

APAKAH PROSEDUR RAWATAN SEDIA ADA?

"Kajian menunjukkan anda harus mendapatkan rawatan dalam masa tiga hari untuk prognosis dan pemulihan yang optimum," kata Dr Ng.

Dua jenis ubat yang biasa diberikan kepada pesakit adalah: Steroid oral dos tinggi (1 miligram bagi setiap 1 kilogram berat badan) dan ubat antivirus.

Rawatan fisioterapi juga digunakan.

"Rawatan termasuk mengurut muka, senaman regangan otot dan senaman menguatkan otot, kata Kelly Chan, ahli fisioterapi utama NTFGH.

"Bagi masalah kelumpuhan ringan, pemulihan boleh dijangkakan dalam tempoh sebulan. Untuk masalah kelumpuhan sederhana hingga teruk, tempoh pemulihan adalah antara tiga dengan enam bulan. Prognosis dan peluang pemulihan bagi kebanyakan kes adalah sangat tinggi."

Doktor akan hanya mengesyorkan pembedahan plastik jika otot anda tidak kembali kuat dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

"Sekitar 20 peratus pesakit tidak akan pulih sepenuhnya," kata Dr Ng sambil menambah mereka biasanya adalah pesakit lanjut usia.
Sumber : CNA/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa