Apabila remaja sakit ketumbuhan otak Tahap 4 bergabung dengan The Sam Willows
Usia remaja ini baru 16 tahun, namun cabarannya berat kerana dia menghidap ketumbuhan otak Tahap 4. Nurul Shafikha Kamsani mahu meninggalkan sesuatu warisan kepada keluarganya – iaitu sebuah video muzik.
Nurul Shafikha Kamsani menghidap ketumbuhan otak Tahap 4. (Gambar: Suzanah Binte Isnin)
BERITAmediacorp: Usia remaja ini baru 16 tahun, namun cabarannya berat kerana dia menghidap ketumbuhan otak Tahap 4. Nurul Shafikha Kamsani mahu meninggalkan sesuatu warisan kepada keluarganya – iaitu sebuah video muzik.
Video muzik itu diharap membawa harapan dan keceriaan bukan hanya kepada keluarganya, tetapi juga kepada orang-orang lain yang mungkin senasib dengannya. Jika anda menyaksikan video tersebut, memang, ia jujur, meruntun hati tetapi juga membuat anda senyum.
Lirik lagu itu ditulis sendiri oleh Shafikha dengan judul “Why Me” bersama kumpulan pop terkenal The Sam Willows. Ia malah diketengahkan di stesen Radio RIA 89.7FM untuk program Singapura Live baru-baru ini. Program tersebut memberi ruang kepada bakat-bakat tempatan untuk mempamerkan karya-karya mereka menerusi nyanyian mahupun lagu-lagu ciptaan mereka.
“Dari segi lirik saya rasa memang luar biasa bagi seorang anak muda berusia 16 tahun yang tidak ada latar belakang muzik langsung. Satu usaha yang baik darinya. Saya rasa hasil tangan The Sam Willows tidak perlu dipertikaikan lagi sebab mereka merupakan antara yang terbaik di Singapura. Jadi gabungan antara The Sam Willows dengan lirik ciptaan Shafikha wajar diketengahkan oleh pihak media,” ujar Aura Shai selaku penerbit Singapura Live.
Beliau berharap pendedahan yang diberikan kepada penulis lirik muda itu akan membuatkan lebih ramai mahu mendengar lagu “Why Me”, sekali gus memberi “semangat luar biasa buat Shafikha dan keluarganya”.
Keluarga Shafikha sebenarnya terperanjat apabila diberitahu oleh Shafikha sendiri bahawa dia bakal ‘masuk studio’ untuk merakamkan lagu tersebut bersama kumpulan The Sam Willows pada penghujung tahun lepas. Remaja tersebut disahkan para doktor mengalami ketumbuhan di otak pada September 2017.
(Gambar-gambar: Suzanah Binte Isnin)
Shafikha menetap di Assisi Hospice, Singapura dan menjalani pembedahan ketiga untuk penyakitnya itu pada November 2017. Ia membuatnya lemah sehingga tidak mampu berjalan mahupun bertutur seperti remaja-remaja lain.
Bapanya, Encik Kamsani Abdul Karim yang dihubungi baru-baru ini bercerita:
“Famili semua tak tau (dia tulis lirik). Cuma kita tahu dia tulis buku cerita “Pregnant” dan dia hubungi Yayasan Barah Kanak-Kanak (CCF) dan bilang mereka dia ada lagu. Jadi CCF uruskan semua. Kita pun tak tau siapa artisnya (penyanyi). Setelah itu, baru kita tahu ia The Sam Willows - idola Shafikha.”
Buku berbahasa Inggeris berjudul“Pregnant”oleh gadis itu pula berjaya dihasilkan dengan bantuan sekumpulan sukarelawan kerana Shafikha hanya mampu menulis menggunakan tangan kirinya sahaja apabila sakit.
Sebagai ketua keluarga, Encik Kamsani akui harus kuatkan diri melihat keadaan anaknya itu.
“Kalau saya lemah, dia juga akan lemah,” tambah beliau sebak seketika kepada BERITAmediacorp. “Bila semua dah jadi, saya bangga lagu dia hasilkan sedap, seni katanya terpukul.”
Ibu Shafikha pula, Cik Suzanah Isnin berada di studio rakaman menemani Shafikha untuk rakaman lagu tersebut bersama Sam Willows. Gadis itu hanya meminjamkan suaranya untuk sebahagian dari bahagian rap lagu tersebut.
“Waktu itu dia masih ada tenaga, dia masih ok walaupun kaki tangan dia lemah. Dia berbual dan bergurau dengan The Sam Willows. Dia gembira sangat dapat menyakat-nyakat mereka,” terang ibunya.
(Gambar: RIA 89.7FM)
Untuk lebih menceriakan penulis lirik lagu “Why Me” itu, DJ Aura Shai berserta DJ-DJ RIA 89.7FM iaitu Nity Baizura dan Hans Ashrie sempat melawat gadis tersebut pada 18 Disember 2018 lalu.
“Saya sungguh terharu tak sangka mereka boleh datang melawat anak saya. Terimakasih Aura Shai dan dua budak nakal. Baru-baru ini, DJ KC buatkan video seram untuk Shafikha. Terimakasih pada mereka,” kata bapa Shafikha.
“Kami beritahunya masih ada yang sayang dengannya. Kami masih prihatin dengan adik-adik seperti Shafikha,” terang Aura Shai.
Mereka sempat memberitahu pejuang penyakit barah itu bahawa lagunya yang keudara di corong radio berjaya memikat pendengar sehingga ada yang menghantar DM (direct message) kepada Aura Shai bertanyakan siapakah pencipta lagu “Why Me”. Ini membuatkan mereka mencari lagu tersebut di YouTube.
“Saya screenshot dan berikan pada ibunya sebab Shafikha sudah tak berupaya untuk menangani media sosial sendiri. Jadi saya sampaikan pesanan dari pendengar menerusi ibu beliau. Saya rasa itu akan membuatnya rasa teruja untuk kembali sihat, supaya beliau dapat terus mencipta lebih banyak lirik dan menghasilkan lebih banyak buku,” kata Shai lagi kepada kami.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.