Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Apa sebenarnya penyakit yang menyerang Justin Bieber?

Anggaran Waktu Membaca:
Apa sebenarnya penyakit yang menyerang Justin Bieber?

Gambar: Instagram/@JustinBieber

KUALA LUMPUR: Kecoh baru-baru ini apabila penyanyi popular Justin Bieber disahkan menghidap sindrom Ramsay Hunt.

Sindrom tersebut mengakibatkan wajahnya lumpuh sebelah, seperti dinukil Astro Gempak.

Susulan daripada itu, Justin terpaksa menunda konsertnya yang sudah dijadualkan dan perkara itu sekali gus mengejutkan ramai peminat di seluruh dunia.

Namun, pasti ramai yang tertanya apakah sebenarnya sindrom berkenaan dan bagaimana ia memberi kesan kepada seorang individu itu.

PUNCA

Untuk makluman, Sindrom Ramsay Hunt (herpes zoster oticus) berlaku apabila virus kayap menjejaskan saraf muka berhampiran salah satu telinga anda.

Selain ruam kayap yang menyakitkan, sindrom Ramsay Hunt boleh menyebabkan lumpuh muka dan kehilangan pendengaran pada telinga yang terjejas, lapor Astro Gempak menukil rencana daripada Mayo Clinic.

Sindrom Ramsay Hunt disebabkan oleh virus yang sama yang menyebabkan cacar air.

Selepas cacar air hilang, virus itu masih hidup dalam saraf anda.

Beberapa tahun kemudian, ia mungkin diaktifkan semula dan apabila ia berlaku, ia boleh menjejaskan saraf muka anda.

GEJALA 

Menurut laman Mayo Clinic, sindrom Ramsay Hunt mempunyai dua simptom utama iaitu ruam merah menyakitkan dengan benjolan berisi cecair di dalam dan di sekeliling telinga.

Kedua, lumpuh di bahagian muka yang dekat dengan telinga yang dijangkiti.

Biasanya, ruam dan lumpuh muka berlaku serentak. Bagaimanapun, salah satu gejala juga boleh muncul terlebih dahulu.

Jika anda menghidapi sindrom Ramsay Hunt, anda mungkin juga mengalami:

1) Sakit telinga
2) Hilang pendengaran
3) Berdering di telinga anda (tinnitus)
4) Sukar menutup sebelah mata
5) Sensasi berputar atau bergerak (vertigo)
6) Perubahan dalam persepsi rasa atau kehilangan rasa
7) Mulut dan mata kering

PENCEGAHAN

Kanak-kanak kini secara rutin diberi vaksin terhadap cacar air bagi mengurangkan peluang untuk dijangkiti virus cacar air.

Vaksin kayap untuk orang berumur 50 tahun ke atas juga disyorkan.

Difahamkan, rawatan segera bagi sindrom Ramsay Hunt boleh mengurangkan risiko komplikasi, yang boleh merangkumi kelemahan otot muka yang kekal dan pekak.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan