Apa perlu anda tahu tentang ubat bius sebelum jalani pembedahan
Anda mungkin tidak terlalu memikirkan soal ubat bius sehingga dimaklumkan bahawa anda perlu menjalani pembedahan - dan ketika itu anda mungkin berasa keliru dengan pilihan yang ada.
Prosedur yang lebih rumit, seperti pembedahan pada bahagian abdomen atau dada, lazimnya memerlukan ubat bius am (GA). (Gambar: Canva)
Bagi orang biasa, pilihan-pilihan tersebut boleh mengelirukan.
Apakah perbezaan antara jenis-jenis RA? Adakah anda akan berada dalam keadaan sedar sepenuhnya? Mengapa perlu pertimbangkannya jika anda lebih rela menjalani GA dan tidak sedarkan diri sepenuhnya sepanjang pembedahan?
Ini kerana anda mungkin sebenarnya tidak memerlukan GA.
“Prosedur yang lebih kompleks, seperti pembedahan besar pada bahagian abdomen atau dada, lazimnya memerlukan GA,” kata konsultan kanan Jabatan Anestesiologi, Rawatan Rapi dan Perubatan Sakit Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Dr Wong Wan Yi.
Namun, bagi prosedur-prosedur yang melibatkan bahagian tertentu tubuh seperti lengan, kaki atau bahagian bawah badan, RA mungkin lebih sesuai, kata konsultan kanan Dr Fong Wee Kim, yang mengetuai Jabatan Anestesiologi, Rawatan Rapi dan Perubatan Sakit TTSH.
“RA juga boleh menjadi pilihan yang baik bagi pesakit yang mungkin menghadapi risiko lebih tinggi apabila diberi GA disebabkan oleh keadaan kesihatan mereka yang sedia ada,” kata beliau.
Keadaan kesihatan yang perlu dipertimbangkan termasuk “masalah kesihatan, tindak balas terhadap ubat-ubatan, pengalaman pembedahan sebelum ini dan risiko yang dikaitkan dengan jenis ubat bius yang berbeza-beza”, jelas konsultan Jabatan Anestesia dan Rawatan Rapi Pembedahan Hospital Besar Changi (CGH), Dr Joanne Yeo.
Jika anda masih keliru berhubung GA dan RA, berikut penjelasan pakar mengenai ubat bius yang mungkin dapat membantu anda membuat keputusan.
APA YANG BERLAKU JIKA DIBERI GA?
Pakar ubat bius biasanya akan terlebih dahulu memberikan propofol, iaitu ubat bius intravena yang paling lazim digunakan, kata Dr Yeo.
Ubat bius berfungsi dengan mengubah corak isyarat biologi yang dihasilkan oleh sel-sel saraf otak buat sementara waktu.
“Ia mengurangkan komunikasi antara bahagian-bahagian otak buat sementara waktu, menyebabkan seseorang tidak sedarkan diri, mengurangkan kesedaran dan mengurangkan tanggapan terhadap rasa sakit.”
Ubat tahan sakit yang kuat seperti opioid (misalnya fentanyl atau morfin) turut diberikan secara intravena, kata Dr Wong.
Selepas itu, pesakit biasanya diberikan ubat bius sedutan menerusi topeng bagi mengekalkan keadaan tidak sedarkan diri semasa berada di bawah GA, kata Dr Yeo. Namun adakalanya, “propofol boleh digunakan secara tunggal melalui infusi berterusan”.
Urutan tersebut digunakan kerana ubat anestetik sedutan mempunyai bau yang kuat.
“Sebagai contoh, desflurane mempunyai bau yang sangat tidak menyenangkan dan boleh merengsakan paru-paru,” kata Dr Yeo.
“Oleh itu, ia jarang digunakan untuk memulakan proses pembiusan.”
Selain itu, tambah beliau, ubat bius sedutan juga mengambil masa lebih lama untuk mula menunjukkan kesan.
Apabila pesakit sudah tidak sedarkan diri sepenuhnya disebabkan oleh GA, tiub pernafasan akan dimasukkan melalui mulut, melepasi pita suara dan ke dalam saluran pernafasan.
Tiub tersebut memastikan saluran pernafasan kekal terbuka, menyalurkan oksigen dan melindungi paru-paru daripada cecair perut.
Selain propofol, ketamine dan etomidate merupakan antara ubat bius lain yang digunakan, meskipun kurang lazim, kata Dr Yeo.
Ketamine dan etomidate mungkin kedengaran tidak asing kerana kedua-duanya merupakan bahan yang turut ditemui dalam Kpod haram, yang boleh menyebabkan tingkah laku seperti 'zombi' dalam kalangan penyalah guna vape.
Ubat bius tersebut adalah “selamat dan berkesan apabila digunakan oleh pakar bius terlatih dalam persekitaran yang dipantau”, jelas Dr Yeo.
Namun, ia menjadi berbahaya apabila disalahgunakan - dan kesedaran berhubung tujuan asal penggunaan bahan tersebut menyerlahkan lagi bahaya penyalahgunaan vape.
APA YANG DILAKUKAN PAKAR BIUS SEMASA PEMBEDAHAN?
Bagi memastikan anda tidak terjaga atau berasa sakit semasa pembedahan, pakar bius akan menetapkan dos ubat dengan teliti.
“Dos ubat yang lebih tinggi mempunyai lebih banyak kesan sampingan terhadap peredaran darah dan pernafasan, manakala dos yang lebih rendah pula berisiko menyebabkan pesakit berasa sakit atau tersedar,” kata Dr Yeo.
Pakar bius juga bertanggungjawab memantau tekanan darah, kadar denyutan jantung dan paras oksigen anda sepanjang pembedahan kerana ubat-ubatan tersebut boleh menjejas otak dan jantung, kata Dr He Yingke, seorang konsultan dari Jabatan Anestesiologi Hospital Besar Singapura (SGH).
Pada akhir pembedahan, pemberian GA akan dihentikan, kata Dr Yeo.
“Pakar bius akan memantau keadaan pesakit untuk menentukan masa yang selamat untuk mengeluarkan tiub pernafasan ketika pesakit mula sedar” - pada masa yang sama memastikan kesakitan terkawal, dan tekanan darah serta paras oksigen berada pada tahap normal selepas pembedahan.
MENGAPA KITA ALAMI LOYA DAN PENING SELEPAS SEDAR DARIPADA GA?
Rasa loya, muntah-muntah dan pening boleh dikaitkan dengan kesan berbaki yang disebabkan oleh ubat bius, kata Dr Yeo.
Bagi sesetengah pesakit, kesan tersebut boleh hilang dalam tempoh sejam hingga sehari. Jika anda sememangnya mudah mengalami kesan-kesan sedemikian, penting untuk anda memaklumkan pakar bius terlebih dahulu, kata beliau.
Faktor lain yang boleh menyumbang kepada kesan sampingan tersebut, tambah Dr Yeo, termasuk:
- Tempoh pembedahan yang panjang, iaitu melebihi empat jam
- Pembedahan yang memerlukan lebih banyak ubat tahan sakit
- Mudah mengalami mabuk perjalanan
- Jantina; wanita lebih mudah mengalami kesan sampingan berbanding lelaki
Sesetengah pesakit juga mungkin menggigil akibat kesan berbaki daripada ubat bius yang ada di dalam tubuh, kata Dr Yeo. Namun, keadaan tersebut lebih kerap berlaku kerana pesakit berasa sejuk semasa pembedahan.
Sakit tekak juga boleh berlaku akibat penggunaan tiub pernafasan dan lazimnya akan pulih dalam tempoh tempoh satu hingga dua hari, kata beliau.
BAGAIMANA RA BERFUNGSI?
RA menyebabkan bahagian tubuh tertentu yang menjalani pembedahan menjadi kebas, kata Dr Fong. “Ubat utama yang digunakan ialah bius setempat, yang menghalang isyarat kesakitan daripada sampai ke otak buat sementara waktu.”
Ubat tahan sakit seperti opioid masih diberikan melalui saluran intravena, namun dalam jumlah yang lebih sedikit bagi RA.
Meskipun begitu, kata Dr Wong, RA sering memberikan kelegaan kesakitan yang lebih baik selepas pembedahan – selain mengurangkan risiko kesan sampingan seperti loya dan muntah-muntah. Tiub pernafasan juga tidak diperlukan.
Dalam sesetengah kes, kata Dr Fong, “ubat tambahan mungkin digunakan untuk membantu ubat bius berfungsi dengan lebih baik atau bertahan lebih lama, serta memberikan kelegaan kesakitan yang lebih berkesan semasa dan selepas pembedahan”.
Selain itu, “pesakit biasanya sudah sedar sebaik sahaja pembedahan selesai dan berasa lebih segar”, kata Dr He.
Ia juga bermakna pesakit boleh dibenarkan pulang lebih awal, kata Dr Jiang Lei, seorang konsultan di Jabatan Pembedahan Ortopedik SGH.
ADAKAH ANDA BERADA DALAM KEADAAN SEDAR JIKA PILIH RA?
Ia bergantung kepada keperluan dan tahap keselesaan anda, kata Dr Wong. Anda boleh memilih untuk kekal sedar atau diberikan sedatif untuk membantu anda berasa tenang atau tidur semasa pembedahan.
Dr Yeo menjelaskan bahawa “sedatif boleh diberikan pada tahap yang berbeza-beza, daripada sangat ringan atau sebaliknya”.
“Dengan sedatif, ingatan pesakit terhadap prosedur tersebut mungkin berbeza-beza - daripada langsung tidak mengingatinya hingga mempunyai ingatan yang agak jelas - dan tahap kesedaran semasa prosedur juga mungkin berbeza.”
Tiada formula ubat yang tetap bagi sedasi atau penenangan ringan, kata Dr He. “Ia bergantung kepada pilihan pakar bius. Biasanya, ia melibatkan gabungan benzodiazepine bagi jangka singkat dengan propofol.”
“Kebanyakan pesakit, terutama golongan warga emas, bimbang mereka akan sedar sepenuhnya sepanjang prosedur,” sambung Dr He.
“Sebenarnya, kebanyakan pesakit kami dapat tidur sepanjang pembedahan; malah ada yang berkata ‘tidur’ itu antara tidur yang terbaik pernah mereka alami.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.