Apa itu NFT...mengapa ia jadi kegilaan ramai?
Gambar: Sumber Web/David Oku/The New York Times
AMERIKA SYARIKAT: Perkataan NFT menjadi sebutan ramai kebelakangan ini di Singapura mahupun di luar negara. NFT adalah singkatan bagi 'Non-Fungible Token'. Namun, apakah sebenarnya NFT? Mari kita rungkaikan makna perkataan tersebut.
Dalam bidang ekonomi, "fungible" merujuk kepada barangan yang boleh ditukar antara satu dengan lain dengan nilai yang serupa. Contohnya nilai duit S$50 adalah sama dengan S$50 yang lain.
Hampir semua mata wang kripto juga termasuk dalam kategori itu. Nilai satu Bitcoin adalah sama dengan Bitcoin yang lain.
Namun, kebanyakan barang seperti kereta dan rumah tidak boleh ditukar atau 'non-fungible' bermakna ia sangat unik dan tidak boleh ditukar dengan nilai yang sama antara satu dengan yang lain.
Begitu juga dengan dengan setiap satu token NFT adalah unik dan tidak boleh ditukar ganti dengan NFT yang lain.
MEMAHAMI NFT
Namun, NFT boleh digunakan sebagai token untuk menilai aset dalam dunia sebenar seperti karya lukisan dan juga hartanah. Oleh kerana NFT berada dalam jaringan 'blockchain', ia dapat menghapuskan orang tengah dengan menghubungkan artis dengan pembeli.
NFT juga memudahkan transaksi penjualan dan pembelian aset kerana ia dilakukan dalam jaringan blockchain dan juga NFT mencipta pasaran baru untuk semua.
Nike, misalnya, sedang cuba menggunakan token kripto yang dikaitkan dengan pemilikan kasut secara fizikal. Namun ia juga boleh mewakili barangan tidak ketara, seperti akses kepada ruang sembang peribadi.
Barangan 'non-fungible' atau yang tidak boleh ditukar dengan nilai yang sama hanya wujud di internet baru-baru ini.
Internet bertindak seakan mesin salinan raksasa di mana apa pun fail digital boleh disalin berulang kali tanpa had. Setiap salinan pula sama dengan yang asal. Ia berguna bagi melambakkan bahan digital. Namun, tidak begitu bagi seseorang artis atau atlit profesional yang ingin memastikan hasil karya mereka dalam bekalan yang terhad.
Beberapa tahun lalu, orang ramai mula sedar bahawa blockchain boleh digunakan untuk membuat fail digital unik yang tidak boleh disalin.
Namun, disebabkan fail tersebut disimpan dalam pangkalan data awam, sesiapa sahaja boleh mengesahkan pemiliknya atau menjejaki fail tersebut apabila ia bertukar tangan.
NFT pertama tercipta hasil kesedaran itu.
KENAPA NFT PENTING
NFT boleh dianggap sebagai pasport digital yang mana setiap satu daripadanya mempunyai kod yang berlainan dan setiap satu tidak sama dengan yang lain. Ia juga seakan
sijil sah ketulenan yang anda perolehi jika membeli arca yang mahal.
Arca itu mungkin kemudian dicuri atau digantikan dengan yang palsu tetapi kerana anda mempunyai sijil sah ketulenan, anda boleh membuktikan adalah pemilik asal arca tersebut.
NFT penting kerana ia meningkatkan kecekapan dalam pasaran. Pertukaran aset fizikal kepada digital melalui proses 'minting', menghapuskan monopoli pihak ketiga. Untuk menukar aset fizikal kepada digital NFT, ia tidak memerlukan ejen; pemilik aset tersebut boleh terus menjual kepada peminat dan pembeli.
NFT adalah benda baru yang menjadi kegilaan ramai terutama anak muda. Ini kerana, NFT boleh dijadikan pelaburan yang sangat menguntungkan. Apa saja boleh dijadikan NFT dan dijual dengan sesuatu nilai yang sesuai. Namun begitu, oleh kerana ianya masih baru, pelabur memerlukan ilmu dan pemahaman yang mendalam sebelum membeli dan melabur dalam aset digital NFT.
BAGAIMANA ELAK DITIPU
Ya sememangnya banyak kes penipuan melibatkan NFT. Kejadian "Rug Pulls" adalah taktik tipu yang berlaku apabila seorang pembangun kripto membuat harga naik, kemudian meninggalkan projek tersebut dengan wang pembeli.
"Whitelisting", pula memberi pembeli jaminan harga yang rendah sebelum ia ditawarkan kepada orang awam.
Kajian yang dijalankan Chainalysis mendapati pengguna dalam senarai "whitelisting" boleh meraih untung 75 peratus apabila menjual semula produk NFT itu.
Dalam skim pengubahan wang haram atau "wash trading" pula seseorang itu menjual NFT kepada dirinya sendiri untuk menaikkan harga.
NFT sering dicuri?
Ya, ada beberapa kes kecurian NFT sejak kebelakangan ini yang menyebabkan harga NFT popular semakin meningkat.
Satu lagi kaedah rompakan melibatkan NFT dicetak rompak dan dijual tanpa izin pemilik sebenarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.