Skip to main content

Gaya Hidup

Apa bahananya jika anak ketagih telefon bimbit, komputer?

Sindrom berkurung akibat pandemik COVID-19 menyebabkan ramai leka menggunakan telefon bimbit atau komputer masing-masing bukan sahaja bagi tujuan kerja tetapi juga untuk meluangkan masa santai.

Anggaran Waktu Membaca:
Apa bahananya jika anak ketagih telefon bimbit, komputer?

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 04 Aug 2021 09:09PM Dikemas Kini : 04 Aug 2021 09:16PM

KUALA LUMPUR: Sindrom berkurung akibat pandemik COVID-19 menyebabkan ramai leka menggunakan telefon bimbit atau komputer masing-masing bukan sahaja bagi tujuan kerja tetapi juga untuk meluangkan masa santai.

Meluangkan masa berjam-jam di hadapan komputer, telefon bimbit atau gajet lain sudah tentu menimbulkan kebimbangan terhadap ibu bapa yang khuatir jika anak mereka ketagih dengan penggunaan gajet.

Ini kerana ia bukan sahaja menjejas perkembangan mental dan emosi mereka, malah boleh membuat mereka malas untuk ke sekolah.

Perunding Psikiatrik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Profesor Madya Dr Nora Mat Zin berkata penggunaan gajet selama berjam-jam dalam kalangan kanak-kanak merupakan satu kesan buruk akibat terperuk terlalu lama di rumah, menukil laporan Sinar Plus.

"Banyak yang kanak-kanak temui di Internet, bukan sahaja laman pendidikan untuk pembelajaran dari rumah, namun permainan dalam talian di samping media sosial seperti Facebook, Tik Tok, YouTube dan sebagainya.

"Perkara paling lazim yang ditimbulkan ibu bapa semasa rundingan dengan pakar adalah anak-anak mereka ketagihan gajet ketika pandemik ini. Malah, ada yang didiagnos dengan Ketagihan Permainan Internet (IGA) dan Gangguan Kebimbangan Komorbid Kemurungan Major (MDD)," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian semasa anjuran program 'The Internet Use and Mental Health of School Children' di Kongres Dunia Ketiga mengenai Integrasi dan Islamifikasi 2021 oleh IIUM pada 6 Jun lalu, menukil laporan Sinar Plus.

TANDA-TANDA ANAK KETAGIH PENGGUNAAN INTERNET

Justeru, apakah tanda-tanda kanak-kanak ketagih dengan penggunaan Internet?

Menurut Dr Nora, tanda-tanda ketagihan Internet dapat dilihat dari segi fizikal atau emosi.

“Untuk IGA, tanda biasa adalah terdapat perubahan pada tingkah laku lazimnya dengan telefon pintar, agresif, gelisah, gangguan tidur dan tidak mementingkan makan.

“Kanak-kanak ini juga lemah daya fokus untuk belajar, enggan bergaul dengan kawan-kawan, asyik dengan permainan internet, tidak lagi ikut rutin dan tidak ada perkembangan diri,“ jelasnya seperti ditukil Sinar Plus.

Beliau menambah kanak-kanak yang mengalami kemurungan dan kebimbangan sosial akan menghabiskan lebih banyak masa bersama gajet mereka serta melungsuri internet di rumah sehingga menyebabkan gangguan "Anxiety Disorder Comorbid MDD with Internet Game Disorder".

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanak-kanak yang menghabiskan terlalu banyak masa menggunakan peranti digital boleh mengalami sakit kepala, sakit leher, jangkitan mata dan kekurangan zat makanan.

“Selain itu, mereka juga terdedah kepada pembuli siber, kandungan dalam internet yang tidak sesuai dan juga boleh memusnahkan institusi kekeluargaan,“ ujarnya.

TERAPKAN KONSEP 'ANCHOR'

Mengulas lanjut, pakar itu berkata ibu bapa perlu mengawal masa yang dihabiskan anak mereka menghadap komputer bagi mengurangkan ketagihan gajet. Beliau turut mengesyorkan konsep ANCHOR iaitu:

i) Acknowledge (iktiraf).

ii) Notice (ambil tahu).

iii) Committed (komited).

iv) Hopeful (berharap)

v) Organise (mengatur).

vi) Reflect (merenung kembali).

“Sebagai ibu bapa, mereka mesti melihat isu ini secara serius dan sekata dengan sasaran. Bincangkan isu dan apa yang ingin dicapai supaya bila bercakap dengan anak, tidak ada pertelingkahan.

“Mulakan perbincangan dengan mengingatkan anak bahawa anda berdua mengambil berat akan kebahagian mereka.

“Beritahu apa yang anda nampak dengan perubahan tingkah laku, secara tepat seperti cepat letih, pencapaian akademik yang menurun dan suka menyendiri.

“Letakkan masa berapa lama mereka boleh melayari internet setiap hari dan pastikan anda bersama mereka apabila mereka berada di hadapan komputer,“ nasihatnya.

TETAPKAN SEHARI DILARANG GUNAKAN TELEFON BIMBIT

Pada masa sama, Dr Nora turut mencadangkan agar ibu bapa memilih satu hari untuk melakukan ‘detoks keluarga‘ daripada telefon bimbit dan gajet yang lain.

“Selepas berjam-jam menggunakan telefon pintar dan internet ketika berada di rumah sepanjang tempoh perintah berkurung di rumah, ketika berkumpul, cubalah berbual pula.

“Ini dapat mengukuhkan ikatan kekeluargaan,“ ungkapnya.

Dr Nora turut menggalakkan ibu bapa belajar tentang perisian pemantauan dan memasang penapis dalam gajet untuk memantau apa yang anak mereka lakukan semasa dalam talian.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita