Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Anugerah sulung The Pinwheels diadakan 11 Feb ini

Pemenang-pemenang bagi 14 kategori anugerah sulung The Pinwheels bakal diketahui dalam masa kurang tiga minggu dari sekarang, iaitu pada 11 Februari.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemenang-pemenang bagi 14 kategori anugerah sulung The Pinwheels bakal diketahui dalam masa kurang tiga minggu dari sekarang, iaitu pada 11 Februari.

Anda pula dipelawa untuk mengundi bagi dua kategori tersebut, iaitu Video Paling Popular dan Kandungan Terbaik Tahun ini.

Empat pencipta tempatan kandungan YouTube - mqfish, UNfiltered, Mark Yeow dan 360 Entertainment Production - bersaing untuk merebut gelaran Pencipta Kandungan Terbaik Tahun Ini, yang turut akan membawa pulang wang tunai S$10,000.

Mediacorp, selaku penganjur The Pinwheels, pada lewat minggu lalu (20 Jan) mendedahkan senarai finalis serta barisan pengadil bagi anugerah yang julung-julung kali diadakan itu.

The Pinwheels, disokong oleh YouTube dan ditaja oleh Singtel, meraikan kecemerlangan dalam penciptaan kandungan digital tanah air. Ia menggariskan komitmen Mediacorp untuk memupuk bakat tempatan yang cemerlang dan mengembangkan ekosistem penciptaan kandungan di Singapura.

Lebih 30 pencipta kandungan dicalonkan sebagai finalis bagi 14 kategori anugerah yang dipertandingkan termasuk Video Pencipta Kandungan Baru Terbaik, Video Paling Berkesan Kepada Masyarakat dan Video Paling Inovatif.

Daripada 14 kategori tersebut, 12 akan dinilai oleh panel karyawan industri berdasarkan mutu teori (20 peratus) dan mutu praktikal (80 peratus) hasil kerja yang diserahkan.

Sementara itu, baki dua kategori - Video Paling Popular dan Kandungan Terbaik Tahun Ini - akan dinilai berdasarkan gabungan permarkahan para juri (50 peratus) serta undian orang ramai (50 peratus).

2 FINALIS CIPTA KANDUNGAN BERBAHASA MELAYU

Dua finalis pertandingan itu mencipta kandungan dalam bahasa Melayu - UXM dan Cef Bob.

UXM, adalah antara finalis yang tercalon bagi tiga kategori, khususnya Video Paling Popular, Kandungan Terbaik Tahun Ini serta Video Paling Inovatif.

Selain itu, Cef Bob - cef selebriti yang tidak asing lagi dalam masyarakat Melayu setempat, pula tercalon sebagai finalis bagi kategori Video Resipi Makanan Terbaik.

Karya video yang diserahkan dinilai oleh barisan lima orang pengadil. Mereka ialah Pengarah Pemasaran Jenama Singtel, Bill Ang, Penolong Ketua Eksekutif Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Justin Ang, Pengasas GOODSTUPH, Pat Law, Ketua Pegawai Bakat Mediacorp, Doreen Neo, dan Pencipta Kandungan The Urban Fight, Sugandh Rakha.

Undian bagi Video Paling Popular dan Kandungan Terbaik Tahun Ini dibuka sehingga jam 11.59 malam, pada 9 Februari.

Acara anugerah atas undangan itu akan diadakan pada 11 Februari ini dan bakal disiarkan secara langsung di meWATCH serta saluran YouTube Hiburan Mediacorp pada jam 8.00 malam.

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan