Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Anda peminat kopi kisar? 3 cawan sehari mampu panjangkan usia: Kajian

Memulakan pagi dengan secangkir kopi, mungkin menjadi pilihan dalam kalangan segelintir individu terutamanya bagi mereka yang 'kuat bekerja'.

Anggaran Waktu Membaca:

MALAYSIA: Memulakan pagi dengan secangkir kopi, mungkin menjadi pilihan dalam kalangan segelintir individu terutamanya bagi mereka yang 'kuat bekerja'.

Namun, walaupun minuman itu sangat popular dalam kalangan masyarakat di serata negara, tetapi masih wujud perdebatan apakah pengambilan kopi tidak baik untuk kesihatan?

Ini mungkin kajian yang 'memberi kelegaan' kepada pengemar-pengemar minuman berkafein itu, lapor Astro AWANI memetik rencana di Sputnik International.

Satu kajian melibatkan hampir setengah juta orang selama sedekad mendapati pengambilan antara 0.5 dan tiga cawan kopi yang dikisar atau 'ground coffee' setiap hari berkemungkinan memanjangkan hayat seseorang.

Penyelidikan melibatkan 468,629 responden itu membahagikan mereka kepada tiga kategori iaitu mereka yang tidak minum kopi langsung, mereka yang mengambil 0.5 hingga tiga cawan kopi sehari, manakala kumpulan terakhir pula terdiri daripada mereka yang mengambil lebih daripada tiga cawan sehari.

Menurut rencana Astro Awani itu, sukarelawan yang terlibat dalam kajian berkenaan dipilih dari UK Biobank dan mempunyai purata umur 56 tahun dan semua responden yang terlibat dilaporkan tidak mempunyai sebarang penyakit jantung.

Kajian dijalankan bersama oleh penyelidik dari Universiti Semmelweis di Budapest dan Queen Mary University of London itu menunjukkan kira-kira 58 peratus daripada responden terlibat adalah peminum kopi pada tahap sederhana, dan kira-kira 22 peratus tidak minum kopi langsung.

Hasil kajian yang diterbitkan dalam European Journal of Preventive Cardiology itu mendedahkan pengambilan sehingga tiga cawan kopi dikisar sehari mengurangkan kemungkinan menghidap penyakit jantung atau strok iaitu masing-masing sebanyak 17 dan 21 peratus.

Sekitar 3.4 peratus peminum kopi tahap sederhana dilaporkan meninggal dunia semasa tempoh kajian, berbanding 3.7 peratus orang yang tidak minum kopi.

Manakala, kira-kira empat peratus daripada kumpulan pengambilan kopi yang tinggi meninggal dunia dalam tempoh kajian, lapor Astro Awani memetik rencana di Sputnik International.

Bagi kumpulan peminum kopi - memilih kopi tanpa kafein, satu perempat menikmati biji kisar dan selebihnya minum kopi segera, kajian mendapati terdapat manfaat kesihatan yang boleh diperolehi walaupun dengan mengambil kopi tanpa kafein.

Menurut pengarang bersama kajian dan pengarah Pusat Pengimejan Perubatan di Universiti Semmelweis, Dr Pál Maurovich-Horvat, pihaknya menganalisis imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) terhadap peserta untuk mengukur kesan pengambilan kopi secara tetap terhadap kesihatan jantung.

"Kami mendapati bahawa penggunaan kopi pada tahap rendah hingga sederhana secara konsisten bermanfaat untuk kesihatan jantung, dengan cadangan bahawa ia boleh melambatkan usia (panjangkan umur) - berkait dengan perubahan jantung," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengarang bersama dari Queen Mary University of London, Dr Zahra Raisi-Estabragh menjelaskan mengapa hanya pengguna kopi yang dikisar mendapat manfaat daripada minuman tersebut.

"Kebanyakan peserta minum sama ada kopi yang dikisar atau segera."

"Kopi yang dikisar dalam jumlah sederhana dikaitkan dengan risiko kematian yang lebih rendah - tetapi faedah ini tidak ditemui dalam kalangan peminum kopi segera yang biasa," lapor Astro Awani.

"Alasan di sebalik itu (kematian) mungkin ia ada kaitan dengan penghasilan antara kopi kisar dan kopi segera kerana ia mengandungi bahan tambahan yang berbeza," tambahnya lagi.

Sumber : Agensi berita/KF/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan