Skip to main content

Gaya Hidup

Anak panda S'pura akan cecah usia 100 hari, nama diumumkan Disember ini

Hampir 100 hari selepas Singapura menyambut anak panda gergasi pertamanya, anak Kai Kai dan Jia Jia akhirnya akan diberi nama.

Anggaran Waktu Membaca:
Anak panda S'pura akan cecah usia 100 hari, nama diumumkan Disember ini

(Gambar: Mandai Wildlife Group)

Diterbitkan : 19 Nov 2021 01:35PM Dikemas Kini : 19 Nov 2021 01:38PM

SINGAPURA: Hampir 100 hari selepas Singapura menyambut anak panda gergasi pertamanya, anak Kai Kai dan Jia Jia akhirnya akan diberi nama.

Sambutan ulang tahun ke-100 hari adalah satu adat resam di China, tempat asal panda gergasi, untuk menandakan berakhirnya tempoh paling mudah terdedah pada bahaya bagi si ibu dan anak. Sempena menjelangnya hari tersebut, pasukan penjaga panda Mandai Wildlife Group kini sedang bersiap sedia untuk penampilan sulung anak panda itu di khalayak.

Seberat lebih enam kilogram dan berukuran 67 sentimeter, anak panda itu sudah tumbuh gigi susunya dan berupaya berjalan-merangkak, membolehkannya bergerak bebas.

Jantina haiwan itu itu didedahkan pada September tahun ini, apabila orang ramai dipelawa untuk menyarankan nama.

Kini, rakyat Singapura boleh menantikan nama anak panda diumumkan pada Disember.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas bantuan mereka dalam proses memberi nama, yang sudah menerima lebih 64,000 undian," kata CEO Mandai Wildlife Group, Mike Barclay.

Setelah menyemak cadangan yang dikemukakan orang ramai, panel penilai menyenarai pendek lima nama - 宏宏 (Hong Hong), 叻叻 (Le Le), 新乐 (Xin Le), 新阳 (Xin Yang) dan 新缘 (Xin Yuan). Daripada lima nama itu, anak Kai Kai dan Jia Jia akan diberi nama yang mendapat undian paling banyak daripada orang ramai.

Pengunjung River Wonders boleh menjangkakan untuk melihat kelibat beruang itu di Giant Panda Forest dalam masa beberapa minggu akan datang, tambah Barclay.

"Apabila ia lebih selesa dan berdikari, kami menjangkakan ia akan menyertai Jia Jia dalam pameran awamnya mulai awal tahun depan."

Sebagai persediaan untuk penampilan sulungnya di khalayak, pasukan penjaga panda taman tersebut sedang membiasakan anak itu supaya berjauhan daripada Jia Jia untuk tempoh yang lebih lama. Untuk membantunya menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berbeza, pasukan itu juga memperkenalkannya kepada persekitaran baru sambil memantau perkembangan kemahiran motornya.

Dilahirkan pada 14 Ogos, anak Kai Kai dan Jia Jia bakal dihantar pulang ke China apabila ia dapat berdikari sepenuhnya dalam masa dua tahun. Selepas itu, ia akan menyertai populasi pembiakan panda China. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita