Anak muda warisi 2,000 piring hitam koleksi bapa
Kini, kesemua koleksi piring hitam yang memuatkan lagu popular di zaman itu dijaga Gokilan.
GEORGE TOWN: Memiliki 2,000 keping piring hitam bersaiz kecil dan besar dari era 1970-an hingga 1980-an, seorang pemuda S. Gokilan, 42, menyifatkan hobi bapanya Sathasivam Singaram sebagai sesuatu yang unik kerana mampu menyimpan kesemua koleksi berkenaan dengan baik sehingga saat nafasnya yang terakhir.
Kini, kesemua koleksi piring hitam yang memuatkan lagu popular di zaman itu dijaga Gokilan.
Kesemua koleksi piring hitam itu adalah lagu-lagu dari pelbagai penyanyi Tamil, Hindi, Inggeris, Melayu, Cina dan Jepun.
“Koleksi ini adalah dari awal zaman belia bapa yang lahir pada 2 Mac 1945 dan meninggal pada 9 Mac lalu, dari remaja dan sejak mula kerja dia dah mula simpan koleksi-koleksi macam ini.
"Mula-mula dia simpan piring-piring hitam yang kecil selepas itu, kemudian simpan koleksi piring hitam yang besar pula. Ketika itu harga bagi piring hitam kecil RM2.50 ($0.80) dan besar RM3.50 ($1.10) sekeping,” katanya ketika ditemui Bernama.
Gokilan berkata minat dan hobi bapanya terhadap koleksi piring hitam itu sangat mendalam dan kebanyakan koleksi piring hitam itu adalah lagu-lagu dari wayang-wayang sekitar tahun akhir 1930-an hingga 1980-an.
“Antara koleksi lagu dalam piring hitam milik mendiang Sathasivam ialah lagu Tamil, oleh M.K.Thyagaraja Bhagavathar merupakan penyanyi dari India Selatan sekitar tahun 1940-an, Kamal Haasan dan SP Bala Subramaniam.
"Bagi koleksi lagu Melayu ialah lagu pop ABC nyanyian Hail Amir, Rafeah Buang, Sanisah Huri, Dahlan Zainuddin serta kumpulan Alleycats,” katanya dan menambah terdapat juga lagu-lagu Inggeris dari Elvis Presley, lagu Jepun dan juga Cina.
Gokilan yang merupakan Pengarah Urusan Heritage Gtour Sdn Bhd berkata selain piring hitam, bapanya turut menyimpan koleksi pita video sebanyak 5,000 keping dan cakera padat 5,000 dan secara keseluruhan koleksi bapanya itu mencecah 12,000 koleksi termasuk piring hitam.
Tambahnya sepanjang hayat bapanya, lelaki itu sangat menjaga rapi koleksi piring hitam miliknya dan akan membersihkan piring-piring itu serta akan memutar lagu untuk didengar, agar ia terus terpelihara dan berada dalam keadaan baik.
Berkongsi kisah hobi mendiang bapanya itu, Gokilan juga tidak menyangka ia menjadi tarikan beberapa pihak ketika mula-mula memuatkan koleksi simpanan bapa itu yang digelar ‘Koleksi Sada’ dalam ruangan Facebook kira-kira dua minggu yang lalu.
Selain itu Gokilan berkata terdapat rakannya dari persatuan sejarah di Amerika Syarikat, yang turut menyatakan minat untuk membeli kesemua piring hitam itu.
Bagaimanapun Gokilan berkata beliau tidak berhasrat untuk menjual kesemua piring hitam koleksi bapanya itu dan kemungkinan hanya akan menjual sebahagian sahaja, berikutan tiada ruang yang besar untuk menyimpan koleksi piring hitam bapanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.