Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Anak merajuk, suka 'buat perangai'? Cuba pujuk gunakan cara ini...

Anggaran Waktu Membaca:
Anak merajuk, suka 'buat perangai'? Cuba pujuk gunakan cara ini...

(Gambar hiasan: Unsplash/Arwan Sutanto)

MALAYSIA: "Aduh, tertekanlah.

"Tiap kali tak dapat apa yang dia nak, terus menangis dan automatik hempaskan badan ke lantai.

"Kadang rasa malu bila orang tengok.”

Pernahkah anak kecil anda buat tindakan yang tidak disangka seperti menghempas badan, memukul kepalanya, menarik rambut, membuat muka bengis, memukul anda kembali atau menyepak objek bila dilarang membuat sesuatu?

Adakah kelakuan tersebut sesuatu yang biasa?

Macam tak sangka pula tengok si kecil yang baru genap usia dua tahun sudah pandai ‘buat perangai’.

Adakah itu tanda anak "membantah" kerana kemahuannya tidak dituruti?

Menurut pandangan pakar psikologi kanak-kanak, perbuatan memukul kepala, menarik rambut, membuat muka bengis dan tindak balas negatif lain yang dilakukan oleh si kecil adalah satu cara untuk mereka menzahirkan rasa tidak puas hati atau marah, menurut laporan Pa&Ma.

Biasanya ia dilakukan oleh anak yang belum ada kemahiran untuk memberitahu rasa tidak puas hati.

Kebiasaannya ibu ayah tentu akan terus mengambil tindakan marah atau menghukum perbuatan anak, menurut Pa&Ma.

Rasa seperti tercabar pula bila si kecil sudah pandai melawan larangan orang tua.

Sebenarnya, jika anda berdepan dengan situasi tersebut, beberapa perkara ini boleh dilakukan:

1. Cuba abaikan kelakuan anak

Sekiranya tindakan yang dilakukan tidak membahayakan dirinya, abaikan sahaja perbuatannya.

2. Jangan berikan perhatian

Walaupun perhatian yang negatif seperti marah atau tindakan fizikal seperti menjentik tangannya (kerana memukul kepala sendiri) atau memukul tapak kakinya (kerana cuba menendang objek atau ibu bapa).

3. Tinggalkan anak seketika

Tindakan itu akan memberi tempoh bertenang kepada anak dan diri kita sendiri yang mungkin cenderung untuk memarahi atau memukulnya jika terus berhadapan dengan anak.

4. Beri tanggungjawab

Contohnya dalam situasi anak anda bermain dengan objek yang dilarang seperti pensel yang tajam. Dia akan marah sekiranya anda terus merampas barangan tersebut daripadanya.

Sebaliknya, suruh anak simpan semula objek tersebut di tempat selamat (kotak pensel atau laci) dan berikan sedikit pujian kepadanya.

Si kecil berasa seronok bila diberi tanggungjawab apatah lagi bila dapat pujian.

5. Alihkan perhatian anak

Untuk mengelakkan anak terus membuat tindakan negatif dan anda sendiri menjadi marah, alihkan dirinya kepada perkara lain seperti menyuruh anak melihat burung di luar rumah (jika dia obses dengan burung tentu dia akan tengok dan lupakan kemarahannya) atau apa sahaja yang dapat mengalihkan perhatian anak anda (anda sendiri lebih mengetahui).

Kelakuan yang tidak mendapat perhatian atau ‘reward’ akan berkurangan dengan sendirinya. Perhatian sama ada positif atau negatif hanya akan membuatkan anak semakin melawan larangan ibu ayah, menurut laporan Pa&Ma.
 

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan