Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Anak lasak, aktif petanda pertumbuhan baik namun bagaimana mengawalnya jika keterlaluan?

Anak yang lasak dan aktif memang petanda anak bijak dan baik pertumbuhannya. Namun begitu, jika terlebih lasak pula, pening ibu bapa dibuatnya. Jadi, apa yang boleh ibu bapa lakukan untuk mengawal anak-anak mereka?

Anggaran Waktu Membaca:
Anak lasak, aktif petanda pertumbuhan baik namun bagaimana mengawalnya jika keterlaluan?

(Gambar hiasan: MariMari1101/Pixabay)

Diterbitkan : 22 Aug 2021 09:04PM Dikemas Kini : 22 Aug 2021 09:10PM

KUALA LUMPUR: Anak yang lasak dan aktif memang petanda anak bijak dan baik pertumbuhannya. Namun begitu, jika terlebih lasak pula, pening ibu bapa dibuatnya. Jadi, apa yang boleh ibu bapa lakukan untuk mengawal anak-anak mereka?

Jangan cepat melarang tetapi ibu bapa haruslah membantu dengan cara lebih baik agar keadaan lebih terkawal atau anak-anak dapat menyalurkan kelasakannya untuk tujuan yang betul.

Majalah Pa&Ma membawakan perkongsian tips oleh jurulatih pekerjaan Siti Aisyah Rozali yang boleh diguna pakai ibu bapa, khususnya mereka yang mengalami 'masalah' ini.

SI CILIK YANG TIDAK RETI DUDUK DIAM

Jika anak anda kelihatan sentiasa bergerak, maka dia ada sifat impulsif yang tinggi.

Impulsif merujuk kepada perbuatan seseorang yang dilakukan tanpa berfikir panjang.

Kanak-kanak yang impulsif sentiasa bergerak, bertanya dan selalu ada keinginan untuk mencuba kerana otak mereka terlalu sibuk. Mereka mudah jatuh minat dengan segala perkara yang ada di sekitar mereka.

Di sebalik tingkah laku yang selalu mahu meneroka apa saja yang menarik perhatian mereka, sebenarnya, kanak-kanak ini sangat peka atau 'alert'.

Menurut rencana oleh Pa&Ma, sekiranya keberanian dan sifat ingin tahu mereka yang tinggi ini dilatih dengan baik, mereka mempunyai potensi besar.

BAGAIMANA UNTUK BANTU?

"Kita perlu “ground” anak kita. Bukan “grounded” kurung dalam bilik macam orang Barat buat dalam televisyen. Tapi, ajar mereka untuk “grounding”.Untuk berpijak di bumi, dan kurangkan keperluan melompat sana sini. Untuk tenang, kawal diri dan menarik nafas," kata Cik Siti Aisyah.

Bagaimana cara untuk mengajar mereka berbuat demikian?

1. Beri mereka aktiviti stimulasi Proprioseptif.

Proprioseptif adalah sensori yang bertanggungjawab untuk membantu pergerakan yang berkesan. Anak yang impulsif perlu diberikan banyak aktiviti berbentuk proprioseptif yang berstruktur.

Contohnya:
- Lompat di trampolin mengikut rima kiraan 1 sehingga 10.
- Lompat teng-teng, satu kotak demi satu kotak.

2. Beri mereka aktiviti stimulasi Vestibular.

Vestibular adalah sensori kedua yang bertanggungjawab membantu pergerakan yang berkesan. Ia sensori kawalan keseimbangan tubuh. Latihan vestibular yang berstruktur akan membantu anak belajar mengawal sifat impulsifnya.

Contohnya:
- Meniti di atas balok imbang selangkah demi selangkah.
- Mengayuh basikal dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

3. Beri mereka aktiviti stimulasi 'Tactile'.

Tactile merujuk kepada sensori sentuhan. Ia amat membantu bagi anak-anak yang impulsif sedar tentang tekstur-tekstur yang disentuhnya. Kesedaran sentuhan inilah akan membantu anak untuk memanjangkan daya perhatiannya yang seterusnya melatih mengurangkan impulsifnya.

Contohnya:
- Membentuk dengan plastisin.
- Melukis dengan tapak tangan.

4. Berikan anak Cerita Sosial berkaitan.

Cerita sosial atau 'social story', terang Cik Siti Aisyah ibarat ibu bapa membacakan cerita kepada anak mereka.

"Tetapi kita pilih ceritanya yang berkaitan dengan tingkah laku impulsif anak," ujar beliau.

"Anda boleh lukis sendiri atau print sendiri helaian cerita yang berkaitan dan bacakan untuk anak anda semasa waktu tenangnya. Sebelum tidur, biasanya anak tenang sikit sebab dah mengantuk kan?"

5. Ajar anak 'PAUSE'.

Pause maksudnya berhenti sejenak. Main permainan yang memerlukan anak untuk berhenti semasa sedang bergerak aktif. Sebagai contoh, ajak anak bermain 'Move & Freeze'. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa