Skip to main content

Gaya Hidup

Amalan diet mampu baiki kesihatan secara keseluruhan

Menurut pakar perubatan, pengambilan protein sehingga 1.5 gram bagi setiap kilogram berat badan serta mengamal pengambilan lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran segar, serat dan daging tanpa lemak dalam diet mampu menambah baik kesihatan secara keseluruhan.

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Menurut pakar perubatan, pengambilan protein sehingga 1.5 gram bagi setiap kilogram berat badan serta mengamal pengambilan lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran segar, serat dan daging tanpa lemak dalam diet mampu menambah baik kesihatan secara keseluruhan.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Lim Sim Yee dan Pakar Perunding Pembedahan Am dan Gastrousus Atas SMC Dr Soon Yuen berkata tubuh manusia mengalami beberapa perubahan semula jadi yang mempengaruhi sistem pencernaan, seiring dengan peningkatan usia.

"Walaupun perubahan ini tidak dapat dielakkan, terdapat beberapa langkah boleh diambil untuk mengekalkan kesihatan pencernaan yang baik dan mengurangkan sebarang ketidakselesaan atau gangguan yang mungkin berlaku," menurut kedua-dua pakar itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu lalu (31 Jan).

Menurut kedua-dua pakar perubatan itu, sistem pencernaan yang juga dikenali sebagai saluran gastrousus (GI) berfungsi untuk mencernakan makanan, menyerap nutrien dan membuang sisa.

"Apabila usia kita bertambah, beberapa faktor menyumbang kepada perubahan dalam sistem pencernaan termasuk pengeluaran enzim pencernaan semakin berkurangan, pergerakan otot lebih perlahan, perubahan bakteria usus serta kesan sampingan ubat-ubatan," menurut pakar itu.

Malah, hampir 40 peratus daripada golongan dewasa yang lebih tua mempunyai satu atau lebih gejala penghadaman berkaitan usia setiap tahun.

"Penting untuk menggalakkan individu memberi perhatian kepada masalah penghadaman dan tidak menganggapnya sebagai sesuatu isu yang biasa apabila meningkat usia kerana ia mungkin menjadi petanda kepada masalah kesihatan lebih serius seperti kanser usus," menurut kedua-dua pakar berkenaan.

Menurut mereka lagi, golongan berusia cenderung untuk mengalami masalah kesihatan pencernaan seperti sembelit, pedih ulu hati, divertikulosis dan intoleransi laktosa disebabkan perubahan yang berkait dengan faktor usia.

Di samping itu, penyakit kronik seperti kencing manis juga boleh memberi kesan buruk kepada sistem pencernaan dengan mengubah pergerakan usus kerana paras gula tinggi dalam darah biasanya dikaitkan dengan diabetes boleh menjurus kepada gastroparesis, iaitu suatu keadaan mempengaruhi cara pencernaan makanan.

Justeru, peranan pakar geriatrik adalah penting dalam menguruskan isu-isu kesihatan yang kompleks kerana pakar geriatrik lebih arif dalam menyeimbangkan ubat-ubatan dan menguruskan komplikasi penyakit berkait dengan usia.

Ubat-ubatan preskripsi yang selalunya menjadi elemen penting dalam pengurusan kesihatan pada usia tua pula boleh menyebabkan masalah sembelit dan masalah penghadaman lain.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita