Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Aktiviti seronok yang boleh anda lakukan sempena sambutan ulang tahun ke-57 Singapura

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 9 Ogos menjelang tiba dan tiba masanya untuk berdandan merah putih bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-57. 

Perbarisan Hari Kebangsaan kembali diadakan di Pentas Terapung Marina Bay tahun ini dan bagi yang tidak berjaya mendapatkan tiket, jangan bersedih. 
Terdapat pelbagai aktiviti seronok sepanjang hujung minggu ini - dari  konsert percuma,  rancangan TV bertemakan "Singapura Vibes" hingga kepada pertunjukan bunga api di estet kejiranan anda.  

KONSERT MEDIACORP DI TAMAN DI PESISIRAN

(Gambar: Mediacorp)

Setelah dua tahun ditiadakan, acara percuma ini kembali menggegarkan kawasan Supertree Grove di Taman di Pesisiran. 

Dengan DJ radio Jean Danker dan Joakim Gomez selaku pengacara, acara itu menampilkan  barisan artis Singapura dalam pelbagai  persembahan muzik dan lakonan, termasuk duet antara pelakon Rui En dan  Singapore Idol Taufik Batisah; segmen komedi oleh Broadway Beng Sebastian Tan serta Alaric Tay dan Chua Enlai yang akan menghidupkan watak mereka dalam The Noose serta  persembahan oleh rapper Yung Raja, penyanyi dan penggubah lagu Shabir, artis dengan gayanya tersendiri Dick Lee dan kumpulannya Omnitones, Annette Lee dan Benjamin Kheng.

Chua Enlai, Sebastian Tan dan Shabir juga akan membuat persembahan di Konsert Mediacorp di Taman di Pesisiran. (Gambar: Mediacorp)

 

Anda juga berpeluang untuk berjumpa pelakon rancangan tempatan seperti Anak Metropolitan 4.0, When Duty Calls 2 dan Sunny Side Up.

Konsert tahun ini akan diserikan dengan kehadiran tetamu terhormat Presiden Halimah Yacob dan suami Muhammad Abdullah Alhabshi, serta Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara Cik Sim Ann. 

Rakaman konsert itu  akan disiarkan di meWATCH, saluran 5 Mediacorp dan YouTube Mediacorp Entertainment pada 13 Ogos pada pukul 8.00 malam hingga 9.00 malam. 

KARNIVAL HARI KEBANGSAAN DAN BUNGA API DI ESTET KEJIRANAN

Pertunjukan bunga api Hari Kebangsaan Singapura yang ke-55 di Bishan. (Gambar: Marcus Mark Ramos/CNA)

Ingin menyaksikan bunga api Hari Kebangsaan dekat dengan rumah anda? Pada 9 Ogos ini, pertunjukan bunga api akan diadakan antara pukul 8.15 malam dengan 8.25 malam di Stadium Jurong West, Stadium Woodlands, Stadium Bedok, bekas tapak Maktab Rendah Tampines dan padang di hadapan Perpustakaan Awam Ang Mo Kio. 

Orang ramai akan dibenarkan memasuki tempat-tempat berkenaan mulai pukul 6.00 petang, tetapi harap maklum - tiada tiket akan dikeluarkan bagi acara ini dan sekiranya sudah memenuhi had kapasiti, sesiapa saja yang tiba selepas itu tidak boleh masuk. 

Terdapat juga karnival-karnival bertema di merata Singapura pada Sabtu(6 Ogos). Dianjurkan bersama Persatuan Rakyat (PA), karnival-karnival itu akan menjanjikan pelbagai pameran, pertunjukan dan aktiviti-aktiviti mesra keluarga mulai pukul 4.00 petang sehingga 9.00 malam. 

Ia akan diadakan di Taman Bishan-Ang Mo Kio, Ficus Green, padang terbuka Punggol sebelah Waterway Point, padang terbuka sebelah Stesen MRT Sembawang dan padang terbuka berdekatan Stesen MRT Buona Vista. 

Pada Ahad (7 Ogos), karnival akan diadakan di Wisma Geylang Serai dari pukul 4.00 petang sehingga 9.00 malam. 

Orang ramai boleh mendapatkan tiket masuk dan kupon dari semua kelab masyarakat. Tiket akan diberikan sehingga semuanya sudah diagihkan dan kupon itu boleh digunakan untuk mendapatkan barangan seperti pek NDP di karnival-karnival berkenaan. 

Anda boleh membuat permohonan untuk e-tiket masuk menerusi pautan BookingSG di laman web NDP. 

Perinciannya boleh didapatkan di laman web NDP.

POP OPERA DI KEBUN BUNGA S'PURA

(Gambar: VIVA)

Ingin melakukan sesuatu yang bermakna pada hujung minggu Hari Kebangsaan ini? Hasil kutipan daripada  konsert di Kebun Bunga akan disalurkan kepada Pertubuhan VIVA untuk badan amal Kanak-Kanak Barah yang berusaha untuk menyelamatkan kanak-kanak yang menghidap barah. 

Kuintet klasik dari Thailand akan memainkan beberapa lagu popular dan versi lagu hit terkenal daripada filem dan pertunjukan pentas West End. 

Mereka akan diiringi kumpulan Ballet Singapore, yang sudah membuat persembahan yang mengagumkan selama lebih 30 tahun, dengan versi The Nutcracker, Swan Lake, Madame Butterfly dan Giselle. 

Ditubuhkan pada 2006 oleh Jennifer Yeo untuk meluahkan rasa kesyukuran apabila anak lelakinya pulih daripada barah, VIVA adalah badan amal Singapura yang memegang status Institusi Bertaraf Awam (IPC). 

Semua sumbangan akan menerima  potongan cukai 250 peratus dan akan digunakan untuk melancarkan program yang menghuraikanbagi menangani pelbagai isu dalam bidang onkologi pediatrik. 

Acara Concert in the Park bersama Fivera itu  berlangsung pada Ahad (7 Ogos), bermula pukul 6.00 petang sehingga 7 malam di Pentas Simfoni Shaw Foundation di Kebun Bunga Singapura. Maklumat lanjut boleh didapati di sini.

RANCANGAN TV "SINGAPURA VIBES"

(Gambar: Mediacorp)

Bagi menyemarakkan lagi semangat Singapura, bulan Ogos ini, Mediacorp  menawarkan pelbagai rancangan meliputi dokumentari dan rancangan realiti hingga ke drama yang meneroka identiti kita sebagai satu bangsa. 

Bertemakan "Singapura Vibes", rancangan-rancangan itu boleh diikuti di meWATCH.

En Block, drama yang menggambarkan reaksi penduduk kepada penjualan flat HDB secara berkelompok; Adukku Veetu Annasamy, drama komedi Tamil tentang masyarakat yang perlu menyesuaikan diri kepada perubahan kehidupan dari kampung ke kawasan kejiranan HDB pada tahun 1970-an; musim keempat Lion Mums, drama popular dalam bahasa Inggeris tentang pendekatan keibubapaan tiga ibu yang berbeza dan menyentuh isu-isu hangat seperti buli dan kemaruk permainan. 

(Gambar: Lion Mums)

Penonton juga boleh menunjukkan sokongan mereka kepada pekerja barisan hadapan sambil menikmati rancangan seperti In Safe Hands, drama bahasa Cina mengenai tugas ahli bomba dan paramedik; dan Salute, rancangan bahasa Tamil tentang cabaran pengendalian anggota tentera. 

Mengenang kembali sejarah kita dengan Hilang, siri info-ed yang memaparkan budaya dan masyarakat yang sudah dilupakan atau kurang terkenal, seperti seni teater  Bangsawan dan masyarakat Orang Laut. 

Selain itu, anda boleh menyaksikan Towkay, Take A Break yang dihoskan oleh pelakon Rebecca Lim dan akan dibintangi pelbagai  selebriti undangan, mengenali perdagangan tradisional seperti menjahit; Our Stories of Yesteryear, siri khas dokumentari bahasa Inggeris, yang menonjolkan kehidupan seorang warga Singapura pada tahun 1960-an sehingga kini serta Enga pettai, siri informatif bahasa Tamil yang mengesan cerita-cerita masa dahulu di Geylang dan Jalan Kayu. 

Layari meWATCH untuk mengikuti rancangan-rancangan menarik itu.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan