Ajak keluarga ‘glamping’, berkhemah ‘glamor’ di pantai East Coast & Pasir Ris
Lazimnya apabila keluarga berkumpul dan berkelah, kalau boleh hampir seisi rumah mahu diangkut ke pantai. Semuanya supaya ia tetap selesa seperti di rumah sendiri meskipun berada di tepi pantai.
BERITAMediacorp: Lazimnya apabila keluarga berkumpul dan berkelah, kalau boleh hampir seisi rumah mahu diangkut ke pantai. Semuanya supaya ia tetap selesa seperti di rumah sendiri meskipun berada di tepi pantai.
Sekarang, anda boleh menikmati pengalaman yang sama tetapi tidak perlu bersusah-payah. Apa kata anda cuba khidmat ‘Glamping’ – singkatan bagi ‘glamour’ dan ‘camping’ atau percutian berkhemah.
BERITAMediacorp meninjau khidmat dan pengalaman berkelah cara ‘glamping’, yang kian mendapat perhatian masyarakat tempatan, terutama sekali dalam kalangan generasi milenial. Malah, masih belum terlambat untuk anda mencubanya sempena cuti sekolah dan musim perayaan hujung tahun ini.
Pengalaman ini seperti di luar negara, seperti di Eropah dan jauh dari hiruk-pikuk bandar yang terlalu sibuk dan bising... - Cik Haryani
Sejauh ini di Singapura, dua buah syarikat diketahui menawarkan khidmat tersebut – Glamping City dan Glamping Society.
PENGALAMAN IKUT CITARASA PELANGGAN
Khidmat ‘glamping’ yang ditawarkan bermakna para pelanggan tidak lagi perlu bersusah payah melakukan persediaan sendiri. Segala keperluan disiapkan oleh kakitangan syarikat tersebut. Anda hanya perlu datang berlenggang sahaja.
Sebelum ketibaan anda bersama keluarga atau rakan-rakan, khemah didirikan dan dihias indah, lengkap dengan katil, kipas dan juga peti sejuk. Kemudahan lain, termasuk khidmat menyewa basikal dan mainan berpapan atau “board game” juga disediakan percuma bagi setiap pelanggan. Malah, sekiranya anda mahu, anda juga boleh menempah buaian!
(Gambar: Glamping Society/Instagram)
“Pelanggan tidak perlu risau tentang keselesaan kerana semua tersedia seperti yang dijanjikan. Mengikut tempahan, para pelanggan kami juga boleh menempah set berkelah, boya gergasi, buaian ‘hammock’ dan juga alat hawa dingin dengan tambahan harga yang berpatutan,” pengurus Glamping Society, Sitisarah Shamsudin, memberitahu BERITAMediacorp. Glamping Society ditubuhkan pada akhir tahun 2016.
Sebuah lagi syarikat yang menawarkan khidmat serupa adalah Glamping City yang ditubuhkan pada awal tahun ini. Menurut Glamping City, ia mahu mewujudkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat para pelanggan mereka.
“Secara asasnya, Glamping City cuba memenuhi apa yang diminta oleh para pelanggan. Seperti (permintaan) bertema Harry Potter, Spiderman, pesta hari lahir dan jika pelanggan ingin melamar buah hati mereka,” kongsi pengurus Glamping City, Helmi Ridzwan.
“TEMPAT TIDUR YANG SELESA”
Khemah-khemah yang didirikan Glamping City tertumpu di Pasir Ris Park dan East Coast Park, manakala khidmat yang ditawarkan Glamping Society hanya di East Coast Park.
(Gambar: Illazabella Yusni/BERITAMediacorp)
Sungguhpun demikian, kedua-dua syarikat turut menyediakan khidmat di halaman rumah para pelanggan atau sekiranya mereka membuat tempahan bagi lokasi yang bersesuaian.
Salah seorang pelanggan Glamping City, Cik Norhamid Norhan, mahukan satu kelainan. Beliau memilih untuk menyambut ulang tahun suaminya tahun ini dengan cara ‘glamping’.
“Bagi saya tempat ini unik sebab suasana yang lain. Di Singapura, kebanyakan tempat terdapat bangunan jadi pengalaman ini membawa kami keluar dari suasana itu, lebih kepada alam sekitar,” kongsi Cik Norhamid.
Menurut seorang lagi pelanggan Glamping City, Cik Nuratasha Nabilah: “Konsep dan hiasannya amat sesuai untuk kita, para penduduk Singapura. Lebih-lebih lagi kita di pantai dengan angin yang sepoi-sepoi bahasa dan juga dapat mendengar bunyi ombak. Dekorasi ‘glamping’ di mana kami berehat, terdapat tempat tidur yang selesa.”
DETIK ‘INSTAGRAMMABLE’ UNTUK SEMUA
Sekali pandang, ‘glamping’ adalah pengalaman yang disifatkan sebagai ‘Instagrammable’ dan sering dikaitkan dengan golongan milenial. Namun, respons para pelanggan dari pelbagai latar belakang membuktikan sebaliknya.
(Gambar: Glamping City/Instagram)
Ternyata, ia juga disambut baik oleh para pelanggan yang terdiri daripada kalangan keluarga dan juga pasangan. Sekitar 70 peratus pelanggan Glamping Society terdiri daripada keluarga, manakala, 68 peratus pelanggan Glamping City adalah pasangan.
Menurut kedua-dua syarikat, musim cuti sekolah pula merupakan tempoh paling sibuk bagi mereka.
Cik Kharyani Abdul Karim sekeluarga adalah antara mereka yang memilih untuk ‘glamping’ di pantai East Coast sebagai kegiatan hujung tahun, menerusi khidmat Glamping Society.
“Pengalaman ini seperti di luar negara, seperti di Eropah dan jauh dari hiruk-pikuk bandar yang terlalu sibuk dan bising. Jadi, kita macam ada masa untuk beriadah sambil ‘BBQ', berbasikal dan juga berkelah bersama keluarga,” Cik Kharyani memberitahu BERITAMediacorp.
'GLAMPING’ MAKIN SEBATI DENGAN MASYARAKAT
Dengan penerimaan begitu memberangsangkan daripada orang ramai, perniagaan ‘glamping’ ini semakin berkembang maju. Dalam tempoh enam bulan lalu, Glamping Society mencatat tempahan yang meningkat seganda.
(Gambar: Illazabella Yusni/BERITAMediacorp)
“Sejauh ini Alhamdulillah, responsnya cukup memuaskan. Sekarang ini, kami mempunyai lebih daripada 18 buah khemah ‘glamping’ untuk disewa,” Cik Sitisarah memberitahu BERITAMediacorp.
Bagi Glamping City pula, meskipun akur trend ini mungkin akan berlalu pergi mengikut trend dan permintaan, ia berharap untuk mendapat peluang bekerjasama dengan badan-badan pemerintah pada masa akan datang untuk meluaskan lagi kegiatan ini dan menjadikannya sebagai kegiatan riadah untuk semua orang.
Buat masa ini, respons menggalakkan daripada para pelanggannya terus mendorong Glamping City untuk mempertingkat mutu khidmat yang ditawarkan.
Dengan keselesaan dan kelengkapan yang disediakan itu, harganya boleh disifatkan sebagai berbaloi. Bagi penginapan semalaman, anda hanya perlu membayar sekurang-kurangnya S$100. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa ia kian mendapat perhatian sebagai salah satu kegiatan riadah alternatif yang sesuai untuk seisi keluarga atau bersama rakan-rakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.