AirAsia.com, Agoda umum perkongsian strategik rancakkan kegiatan pelancongan Asia Tenggara
AirAsia.com, platform e-dagang pelancongan dan gaya hidup yang berkembang pesat di ASEAN, dan Agoda, wadah pelancongan digital terkemuka dunia, mengumumkan perkongsian strategik bagi merancakkan kegiatan pelancongan di Asia Tenggara sekali gus mengukuhkan tawaran aplikasi Super AirAsia.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes. (Gambar: AFP/Sadiq Asyraf)
KUALA LUMPUR: AirAsia.com, platform e-dagang pelancongan dan gaya hidup yang berkembang pesat di ASEAN, dan Agoda, wadah pelancongan digital terkemuka dunia, mengumumkan perkongsian strategik bagi merancakkan kegiatan pelancongan di Asia Tenggara sekali gus mengukuhkan tawaran aplikasi Super AirAsia.
Perkongsian yang melibatkan dua penyedia perkhidmatan pelancongan online utama itu di rantau ini, akan memanfaatkan kekuatan bersinergi bagi kedua-dua wadah digital berkenaan, menurutnya dalam kenyataan pada Isnin (24 Ogos).
Menerusi perkongsian inventori penerbangan dan hotel, pelancong akan mendapat akses pilihan kepada pelbagai produk yang lebih meluas selain menikmati kemudahan serta manfaat nilai lebih tinggi.
Inisiatif daripada kerjasama itu merangkumi pakej perjalanan, keistimewaan keahlian serta pemasaran produk secara bersama-sama.
Pelanggan AirAsia.com kini boleh menikmati pelbagai tawaran melibatkan lebih 600,000 hartanah Agoda berserta harga tambang AirAsia lebih bernilai dengan tempahan menerusi SNAP - menawarkan pakej penerbangan dan hotel dengan jaminan harga terbaik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tony Fernandes, perkongsian dengan Agoda adalah sebahagian daripada strategi kumpulan itu untuk merancakkan kembali pelancongan dengan jangkaan pembukaan semula sempadan di Asia Tenggara dalam masa terdekat.
“Kami mengambil peluang pada masa ini untuk bekerja secara inovatif dengan rakan strategik seperti Agoda bagi memenuhi keperluan perjalanan dan gaya hidup pelanggan kami dengan lebih baik,” katanya. Beliau menambah pelbagai usaha sama strategik akan diumumkan pada masa yang sesuai.
CEO Agoda John Brown berkata: “Minat orang ramai untuk melancong masih kuat dan kami yakin kerjasama dengan AirAsia akan membantu pelancong mencari tawaran nilai lebih hebat dengan mudah untuk melancong.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.