Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Air kencing anda berbau hanyir atau seperti buah terlalu masak? Itu tanda-tanda masalah kesihatan

Bau air kencing boleh berubah mengikut pemakanan anda. Namun ia juga boleh menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan atau penyakit, menurut para pakar kesihatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Air kencing anda berbau hanyir atau seperti buah terlalu masak? Itu tanda-tanda masalah kesihatan

(Gambar hiasan: Unsplash/Giorgio Trovato)

Diterbitkan : 06 Jun 2021 06:05PM Dikemas Kini : 06 Jun 2021 06:20PM

SINGAPURA: Kencing sebahagian besarnya mengandungi air dan dihasilkan oleh ginjal yang menyaring sisa (dikenali sebagai urea) daripada darah anda. Sisa inilah yang menimbulkan bau tidak enak di dalam mangkuk tandas setelah anda selesai membuang air.

Sungguhpun demikian, baunya tidak sepatutnya begitu 'kuat'.

"Bagi kebanyakan kes, air kencing seseorang yang sihat tidak sepatutnya mempunyai bau yang kuat," kata Dr Priyanka Khatri, seorang konsultan nefrologi di Hospital Alexandra.

Namun jika anda tidak minum air secukupnya, air kencing anda akan mempunyai kandungan urea yang tinggi dan bau amonia yang kuat, tambah Dr Chong Kian Tai, pakar urologi dari Hospital Farrer Park.

MAKANAN, MINUMAN YANG UBAH BAU AIR KENCING

Meminum arak atau minuman yang mengandungi kafein seperti kopi atau teh juga boleh menyebabkan "air kencing pekat atau berbau", kata Dr Khatri. Minuman seperti itu diuretik, yang bermakna ia membuat anda banyak membuang air kecil. Dan apabila anda tidak menggantikannya dengan bekalan air secukupnya, air kencing anda menjadi pekat.

Makanan-makanan tertentu juga boleh mengubah bau air kencing anda, seperti petai, asparagus, kari, bawang putih dan bawang. "Sebilangan sayur-sayuran seperti bawang dan bawang putih boleh pecah menjadi sebatian seperti merkaptan metil (methyl mercaptans) atau bahan kimia yang mengandung sulfur. Sekiranya makanan seperti itu dimakan dengan banyak, sebatian ini boleh dilepaskan dalam air kencing dan menyebabkan bau kuat seperti sulfur," kata Dr Khatri.

Menurut Dr Chong, mengambil vitamin tambahan B6 yang terlalu banyak juga satu lagi punca yang boleh menyebabkan bau kuat itu. Begitu juga, sesetengah ubat untuk kencing manis dan antibiotik (terutama kumpulan yang dikenali sebagai sulfonamida) yang juga boleh memburukkan bau air kencing anda, menurut Medical News Today.

Dr Chong juga menarik perhatian bahawa penggunaan produk kebersihan wanita yang berbau wangi "boleh mendedahkan bahagian sulit kepada kimia yang berbahaya". "Kadangkala, ini boleh menyebabkan jangkitan, perubahan pada paras bakteria normal dan bau yang kuat ketika membuang air kecil," jelasnya.

PERLUKAH ANDA RISAU?

Sekiranya air kencing anda berbau busuk tetapi anda berasa sihat, cuba minum dua hingga tiga liter air sehari untuk meneutralkan baunya, nasihat Dr Khatri.

"Orang yang sihat boleh meminum air sebanyak itu tanpa sebarang masalah, tetapi seseorang yang mempunyai penyakit jantung dan ginjal perlu mematuhi nasihat doktor mereka mengenai jumlah air yang patut diminum dalam sehari."

Namun "jika anda demam, sakit perut atau rasa tidak selesa ketika membuang air kecil, anda perlu segera berjumpa doktor untuk merawat jangkitan saluran kencing yang mungkin berlaku", nasihat Dr Chong.

Berikut adalah beberapa senario di mana air kencing berbau boleh menunjukkan masalah kesihatan:

JANGKITAN SALURAN KENCING

Bau seperti: Bau hanyir

Bau aneh itu mungkin menunjukkan jangkitan saluran kencing atau UTI (yang boleh berlaku pada lelaki dan wanita), terutamanya jika jangkitan disebabkan oleh bakteria Aerococcus urinae, menurut Medical News Today.

Mungkin ada atau tidak ada gejala lain, termasuk rasa sakit semasa membuang air kecil, air kencing yang keruh dan berdarah, kencing dengan segera atau kerap, sakit perut atau bahagian belakang tubuh, atau demam ringan.

JANGKITAN FARAJ

Bau seperti: Bau hanyir

Bagaimana untuk membezakan antara bau yang disebabkan oleh jangkitan faraj dengan UTI? Kedua-dua masalah ini boleh menimbulkan rasa sakit ketika membuang air kecil, menurut laman Healthline, tetapi jangkitan pada faraj juga menyakitkan semasa mengadakan hubungan seks.

Bau hanyir itu juga bertambah buruk selepas mengadakan hubungan seks, menurut Medical News Today. Gejala lain termasuk kegatalan pada faraj atau bahagian luar alat jantina wanita, atau cecair pekat.

KENCING MANIS

Bau seperti: Buah yang manis dan terlalu ranum

Bau seperti itu bukan satu berita baik kerana ia mungkin menandakan penyakit kencing manis. Ini kerana tubuh sedang berusaha menghapuskan gula darah berlebihan dan membuangnya melalui air kencing anda, yang mencetuskan bau manis, menurut Healthline.

Pastikan anda juga berhati-hati terhadap tanda-tanda lain, termasuk kerap membuang air kecil terutama pada sebelah malam, rasa sangat dahaga, keletihan, luka yang lambat sembuh, penglihatan kabur atau tekanan darah tinggi.

FENILKETONURIA

Bau seperti: Stoking lama atau kayu busuk

Fenilketonuria atau PKU mengakibatkan penurunan metabolisme asid amino fenilalanin, yang merupakan punca air kencing berbau. Keadaan yang jarang berlaku ini boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius kerana pengumpulan asid amino, yang berpunca daripada memakan protein dan aspartame (bahan pemanis buatan) dan boleh menyebabkan masalah neurologi.

Malah, individu yang dilahirkan dengan keadaan genetik ini juga akan perasan bau busuk dan bau apak pada nafas dan kulit mereka, menurut Mayo Clinic. Gejala lain termasuk penurunan pigmentasi kulit, kurang daya intelektual, atau lambat membangunkan kemahiran sosial.

PENYAKIT KENCING SIRAP MAPEL

Bau seperti: Sirap mapel

Ya, anda tidak tersilap baca. Sekiranya bayi anda mengeluarkan air kencing yang mengingatkan anda tentang sirap mapel, bawa anak anda itu pergi berjumpa doktor secepat mungkin kerana kekurangan rawatan boleh mengakibatkan kerosakan otak dan kematian, menurut Healthline.

Bau air kencing yang manis itu disebabkan oleh ketidakupayaan tubuh untuk mencerna asid amino leukin, isoleusin, dan valin. Seperti fenilketonuria, penyakit yang jarang berlaku ini boleh menyebabkan masalah otak jika tahap asid amino tidak dikawal.

FETOR HEPATIKUS

Bau seperti: Telur busuk dan bawang putih

Keadaan ini diberi nama "bau nafas orang mati" kerana nafas pesakit yang berbau busuk - dan bukan setakat kencingnya saja. Bau itu petanda bahawa hati tidak dapat menapis toksin dan akibatnya, bahan sulfur memasuki aliran darah, paru-paru dan ginjal.

Kerosakan hati yang parah ini sering menyebabkan hipertensi portal, yang merujuk kepada tekanan yang meningkat pada pembuluh darah portal yang membawa darah dari organ-organ pencernaan ke hati. Akibatnya, darah tidak dapat mengalir dengan mudah melalui hati dan tersekat pada urat yang mengelilingi organ itu, menurut Healthline.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan