Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Adakah ubat jerawat selamat untuk digunakan?

Di usia remaja, anda pasti pernah menggunakan ubat jerawat bagi mengatasi bintik-bintik yang muncul pada wajah.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Di usia remaja, anda pasti pernah menggunakan ubat jerawat bagi mengatasi bintik-bintik yang muncul pada wajah.

Baru-baru ini, sebuah makmal bebas menyerahkan laporan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika (FDA) di mana ia menarik perhatian kepada beberapa produk rawatan jerawat yang boleh menyebabkan barah.

Laporan itu secara khususnya merujuk kepada "jumlah tinggi" kandungan ubat benzoyl peroxide yang ditemui dalam sesetengah ubat preskripsi dan ubat yang boleh dibeli di farmasi.

Ini kerana bahan kimia itu jika berada dalam jumlah yang tinggi boleh membentuk benzene, iaitu sejenis kimia yang menyebabkan barah.

Apabila diteliti ubat-ubat jerawat yang ada di luar sana, sebilangan besar daripadanya mengandungi benzoyl peroxide sebagai salah satu bahan utama.

Bukan sahaja benzoyl peroxide boleh membunuh bakteria yang menyebabkan jerawat, tetapi ia juga membolehkan pori mengeluarkan sel-sel kulit yang sudah mati dan mengurangkan penghasilan minyak berlebihan.

Jadi haruskah anda membuang krim jerawat yang ada? Atau tukar sahaja kepada ubat jerawat dengan kandungan benzoyl peroxide yang lebih rendah? Atau pilih ubat alternatif lain yang tidak mengandungi benzoyl proxide?

MENGAPA SEBUAH MAKMAL AMERIKA GESA SESETENGAH PRODUK RAWATAN JERAWAT DITARIK BALIK DARI PASARAN?

Pada Mac lalu, makmal Amerika Valisure menguji 175 produk rawatan jerawat yang diperolehi menerusi preskripsi doktor dan dibeli di kedai.

Kesemua produk itu didapati "tidak stabil dan boleh menghasilkan benzene pada jumlah yang tinggi dan tidak boleh diterima".

Secara khusus, jumlah benzene yang dihasilkan itu lebih 800 kali ganda lebih tinggi daripada 'had yang dibenarkan' iaitu 2 bahagian bagi setiap sejuta (ppm) yang ditetapkan oleh FDA.

"Kadar benzene yang tinggi bukan sahaja dikesan dalam produk-produk benzoyl peroxide, tetapi juga dalam udara di sekitar produk-produk benzoyl peroxide yang disimpan dalam inkubator, ini sekali gus menunjukkan bahawa benzene boleh mengalir keluar daripada sesetengah bungkusan produk dan menimbulkan risiko jika dihidu," menurut laporan itu.

Valisure bahkan memfailkan petisyen dengan FDA supaya produk-produk itu ditarik balik, siasatan dijalankan dan menyemak panduan industri sedia ada.

Namun bagaimana pula dengan keadaannya di Singapura?

BAGAIMANA PULA DI SINGAPURA?

Menurut seorang jurucakap Penguasa Sains Kesihatan (HSA), ubat jerawat yang dibeli dari kaunter seperti Clearasil dan Proactive, yang dinukil dalam laporan itu "tidak tertakluk kepada pendaftaran atau kelulusan HSA sebelum ia boleh dijual".

Namun, HSA telah menjalankan ujian sampel terhadap beberapa produk sebelum ini dan mendapati kadar benzene dikesan "berada dalam had disarankan".

"HSA akan terus mengkaji kajian penyelidikan baharu dan menilai kerelevanannya kepada konteks tempatan," kata jurucakap tersebut.

"Sekiranya sebarang keprihatinan keselamatan dikesan, HSA akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk menarik balik produk-produk yang tidak selamat untuk digunakan dan memaklumkan hal itu kepada orang awam."

Kajian-kajian baharu seperti yang berdasarkan Tinjauan Pemeriksaan Kesihatan dan Pemakanan Nasional Amerika, tidak menemui sebarang kaitan antara penggunaan benzoyl peroxide dengan kadar benzene yang tinggi dalam darah pengguna, kata Profesor Madya Adjung Hazel Oon, seorang perunding kanan dan konsultan di Acne Clinic di National Skin Centre.

APAKAH KADAR BENZOYL PEROXIDE YANG DIANGGAP TINGGI?

Bahan pembasmi jerawat itu boleh didapati dalam kepekatan antara 2.5 peratus dengan 10 peratus - 10 peratus dianggap berada pada spektrum lebih tinggi.

"Saya hanya memberi preskripsi ubat benzoyl peroxide 2.5 peratus atau 5 peratus bagi mengurangkan iritasi pada kulit," kata pakar kulit Dr Eileen Tan dari Eileen Tan Skin Clinic & Associates.

"Namun saya pernah melihat pesakit membeli produk yang mengandungi 15 peratus benzoyl peroxide dari luar negara dan ia menyebabkan keradangan kulit."

Kadar kepekatan benzoyl peroxide yang tinggi tidak bermakna ia lebih baik.

Kajian bahkan menunjukkan bahawa benzoyl peroxide pada kadar 5 dan 10 peratus tidak semestinya lebih berkesan berbanding kadar 2.5 peratus benzoyl peroxide untuk merawat jerawat.

Malah, pesakit tidak digalakkan menggunakan ubat jerawat dengan kandungan tinggi benzoyl peroxide apabila ingin merawat jerawat buat pertama kali kerana ia boleh menyebabkan kulit kering, kemerahan, iritasi dan kulit terkopek.

CARA PENYIMPANAN UBAT JERAWAT

"Bagi mengelakkan benzene daripada luntur, ubat jerawat benzoyl peroxide perlu disimpan dalam peti sejuk atau di bawah suhu bilik," kata Adjung Profesor Madya Oon.

"Produk-produk yang telah didedahkan kepada suhu lebih tinggi daripada suhu bilik atau sudah tamat tarikh luputnya harus dibuang."

HSA juga mempunyai nasihat sama mengenai penyimpanan ubat jerawat.

Simpan di tempat yang sejuk dan kering, jauh daripada haba atau sinar matahari seperti yang disarankan pada label produk.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan