Skip to main content

Gaya Hidup

Adakah sesetengah gula 'kurang buruk' berbanding yang lain?

Anggaran Waktu Membaca:
Adakah sesetengah gula 'kurang buruk' berbanding yang lain?
Gambar hiasan. (Gambar: iStock)
Diterbitkan : 09 Nov 2025 11:50PM Dikemas Kini : 09 Nov 2025 11:56PM
NEW YORK: Anda mungkin tahu bahawa gula dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan tumbuhan lain jauh lebih baik untuk anda berbanding gula tambahan yang sering terdapat dalam makanan yang diproses seperti minuman ringan dan makanan manis.

Namun, dalam kategori gula tambahan, terdapat pelbagai pemanis yang sering dilihat sebagai lebih "semula jadi" atau lebih sihat daripada yang lain. Madu, sirap mapel dan nektar agave, contohnya, sering ditonjolkan sebagai pengganti yang "lebih baik untuk anda" berbanding gula biasa, seperti dalam banyak resipi yang memberi tumpuan kepada kesihatan dan di media sosial.

Adakah ini benar?

MENGAPA GULA BERLEBIHAN AMAT BERBAHAYA

Kandungan gula dalam sebiji epal terdiri daripada glukosa dan fruktosa, yang juga merupakan komponen utama gula dalam gula-gula. Namun, cara gula tersebut diproses oleh badan bergantung pada bentuk makanan tersebut, kata Karen Della Corte, seorang penolong profesor sains pemakanan di Universiti Brigham Young di Utah, menruut laporan The New York Times. 

Apabila anda makan buah-buahan atau sayur-sayuran, contohnya, kandungan seratnya melambatkan proses pencernaan, dan ini mencegah lonjakan berbahaya kandungan gula dalam darah, kata Kimber Stanhope, seorang penyelidik pemakanan di Universiti California, Davis.

Apabila anda mengambil gula tambahan seperti gula halus atau sirap jagung dengan kandungan tinggi fruktosa, ia memasuki aliran darah anda dengan lebih cepat - dan sering dalam jumlah yang lebih besar - menyebabkan paras gula dalam darah anda melonjak.

Apabila lonjakan gula dalam darah yang ketara ini berlaku berulang kali dari masa ke masa, sel-sel anda boleh menjadi kurang responsif terhadap hormon insulin, yang dikenali sebagai rintangan insulin, yang akhirnya boleh berkembang menjadi kencing manis Jenis 2, lapor The New York Times. 

KEPUTUSAN SAMA ADA "SEMULA JADI" ADALAH LEBIH BAIK

Namun, adakah sesetengah pemanis "kurang baik" berbanding yang lain?

Pada 2024, satu kajian yang dibiayai oleh industri sirap mapel menyarankan bahawa sirap mapel lebih baik untuk tahap gula dalam darah dan kesihatan jantung berbanding gula biasa. Namun, terdapat kebimbangan bahawa kaedah analisis yang digunakan dalam kajian itu menjadikan sirap mapel kelihatan lebih baik daripada data sebenar, kata Dr Stanhope.

Walau bagaimanapun, satu kajian pada 2015 yang dibiayai industri madu tetapi direka dengan baik, nampaknya tidak menjejas hasil kajian berkenaan, kata Dr Stanhope.

Dalam kajian itu, 55 orang dewasa meminum air yang dicampur madu, sirap jagung dengan kandungan tinggi fruktosa atau sukrosa (gula biasa) setiap hari selama dua minggu. Setiap minuman mengandungi 50 gram gula tambahan. Para penyelidik tidak menemui perbezaan pada tahap glukosa darah, kolesterol atau keradangan dalam diri mereka. Ini membayangkan bahawa madu bukanlah lebih baik - atau lebih buruk - untuk para peserta berbanding sirap jagung dengan kandungan tinggi fruktosa atau gula biasa, menurut laporan The New York Times.

Jika anda ingin menggunakan pemanis tiruan seperti aspartame (NutraSweet, Equal) atau sucralose (Splenda), atau pemanis berasaskan tumbuhan atau buah seperti stevia atau buah biksu Cina, anda harus tahu bahawa para penyelidik masih mengkaji bagaimana ia mungkin mempengaruhi, atau bahkan berpotensi membahayakan, kesihatan anda.

Apabila teringin makan sesuatu yang manis, fikirkan cara-cara di mana anda boleh memuaskan keinginan itu tanpa menggunakan gula tambahan atau pemanis tiruan.

Ini termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran dengan kemanisan semula jadi seperti beri, epal atau ubi keledek panggang. Jika itu tidak berkesan, sedikit gula - seperti titisan madu pada hirisan epal - boleh membantu. Begitu juga dengan memakan sedikit coklat gelap, yang selalunya mengandungi kurang gula tambahan berbanding coklat susu.
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita