Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Adakah haiwan peliharaan anda berisiko dijangkiti COVID-19?

Para pemilik haiwan peliharaan yang diuji positif bagi COVID-19 harus menjalani pengasingan kendiri - termasuk daripada haiwan peliharaan masing-masing - namun mereka tidak perlu berasa bimbang jika haiwan peliharaan mereka dijangkiti koronavirus, menurut pakar.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pemilik haiwan peliharaan yang diuji positif bagi COVID-19 harus menjalani pengasingan kendiri - termasuk daripada haiwan peliharaan masing-masing - namun mereka tidak perlu berasa bimbang jika haiwan peliharaan mereka dijangkiti koronavirus, menurut pakar.

Walaupun terdapat beberapa laporan dari luar Singapura tentang haiwan-haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing yang dijangkiti COVID-19, kes-kes itu jarang berlaku, terpencil dan jumlahnya jauh lebih rendah berbanding dengan kes-kes jangkitan dalam kalangan manusia, kata Dr Han Zi Yang, konsultan veterinar di VetTrust Singapura.

"Para pemilik haiwan peliharaan tidak perlu terlalu bimbang setakat ini dan perlu terus mengamalkan langkah kebersihan yang sama dalam penjagaan haiwan peliharaan mereka," katanya.

Ini termasuk membasuh tangan sebelum dan selepas menyentuh haiwan itu, makanan dan bekalannya dan elakkan daripada berkongsi makanan dengan haiwan itu, kata Dr Han yang juga merupakan juruaudit kehormat di Persatuan Veterinar Singapura.

Para pemilik haiwan peliharaan yang mengesyaki atau disahkan positif COVID-19 harus mengasingkan diri daripada sebarang kontak dengan individu lain dan perlu menjauhkan diri daripada haiwan peliharaan mereka juga.

"Mereka boleh dapatkan bantuan daripada anggota keluarga yang lain atau teman-teman untuk menjaga haiwan peliharaan mereka semasa tempoh itu sehingga mereka pulih," katanya.

Jika haiwan peliharaan itu jatuh sakit setelah berhubungan rapat dengan individu disyaki atau disahkan sebagai kes COVID-19, pemiliknya harus segera membawa haiwan itu berjumpa dengan doktor haiwan dan menghadkan pendedahan haiwan itu kepada individu atau haiwan lain.

"Klinik-klinik doktor haiwan akan menghargai jika anda menghubungi klinik itu terlebih dahulu untuk memaklumkan kepada mereka tentang sejarah kontak haiwan itu supaya mereka boleh melaksanakan langkah berjaga-jaga sewajarnya untuk menerima ketibaan haiwan itu," katanya.

Dr Chang Siow Foong, pengarah kumpulan Khidmat Profesional dan Saintifik di Khidmat Haiwan & Veterinar (AVS) berkata sejauh ini tiada sebarang kes haiwan dijangkiti COVID-19 di Singapura.

Penularan COVID-19 lazimnya disebabkan oleh jangkitan daripada satu individu kepada satu individu. Menurut Pertubuhan Sedunia bagi Kesihatan Haiwan (OIE), pada masa ini tiada bukti yang menunjukkan bahawa haiwan-haiwan peliharaan berperanan menyebabkan penularan penyakit kepada manusia. Justeru, ujian berjadual bagi SARS-CoV-2 untuk haiwan peliharaan tidak disarankan buat masa ini.

Jika seseorang doktor haiwan mengesyaki bahawa haiwan itu mungkin dijangkiti SARS-CoV-2, beliau boleh menghubungi AVS.

"Kami akan menghubungi pemilik haiwan itu dan doktor haiwan akan menjalankan ujian lanjut dan haiwan itu akan diasingkan jika perlu. Jika perlu, AVS akan mengambil sampel daripada haiwan dan melakukan kaedah ujian PCR untuk haiwan, seperti yang disarankan oleh OIE," kata Dr Chang.

VAKSINASI UNTUK HAIWAN PELIHARAAN, HAIWAN ZOO?

Vaksinasi SARS-CoV-2 untuk haiwan juga tidak perlu, katanya.

Terdapat laporan haiwan-haiwan di taman haiwan negara-negara lain diberikan vaksin. Taman Haiwan Oakland misalnya, memberi vaksin koronavirus kepada harimau, singa, beruang serta musang menggunakan satu vaksin eksperimen.

Dr Han berkata tiada vaksin COVID-19 untuk haiwan-haiwan di Singapura dan tiada saranan oleh OIE untuk memberi vaksin kepada haiwan-haiwan peliharan setakat ini.

Menurutnya: "Haiwan-haiwan peliharaan memberikan nilai persahabatan yang sangat berharga kepada banyak pemilik yang meluangkan lebih banyak masa di rumah disebabkan pandemik. Sebagai pemilik haiwan, kita harus terus menjaga haiwan-haiwan peliharaan dengan baik dan memberikan mereka kasih sayang dan sokongan seperti yang diberikan kepada kita."

Di keempat-empat taman hidupan liar Singapura, vaksin COVID-19 bukan sebahagian daripada langkah mengurangkan risiko sedia ada kerana tiada vaksin diluluskan untuk haiwan, menurut seorang jurucakap Wildlife Reserves Singapore.

"Buat masa ini, kami akan mengekalkan protokol dan piawai tinggi keselamatan bio pada setiap masa," kata jurucakap itu.

Protokol-protokol sedia ada termasuk mengenakan kuarantin terhadap haiwan-haiwan baru sebelum mereka memasuki taman hidupan liar Singapura, pemeriksaan rutin dan rawatan bagi penyakit, ubat-ubatan pencegahan seperti vaksinasi dan proses nyah cacing atau 'deworming'.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan