Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Adakah garam berkesan untuk rawat ulser mulut?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kebanyakan ulser mulut berbentuk bulat atau bujur dan bahagian tengahnya berwarna putih atau kuning dengan dikelilingi warna merah.

Menurut Dr Chelsia Sim, seorang konsultan kanan di Jabatan Pembedahan Mulut dan Maksilofasial di Pusat Pergigian Nasional Singapura, salah satu punca ia sering berlaku adalah kerana trauma.

Menurut beliau, ulser mulut boleh terbentuk apabila berus gigi menggesel mulut ketika sedang menggosok gigi ataupun seseorang itu secara tidak sengaja tergigit lidah, bibir atau bahagian dalam pipi mereka.

"Ulser ini selalunya terjadi di bahagian di mana sering berlaku trauma seperti di bahagian lidah, bibir bawah, bahagian dalam pipi serta lelangit mulut. Ia juga boleh terjadi pada bahagian lelangit lembut dalam mulut atau di anak tekak serta pada gusi," kata Dr Sim.

Ulser mulut juga boleh terjadi disebabkan makan makanan panas, kasar mahupun tajam atau menggunakan gigi palsu yang tidak sesuai," kata Dr Aryana Rai Sia Su Ann, seorang pakar bedah pergigian di Raffles Dental.

Selain itu, penyakit disebabkan virus seperti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) serta cacar air mungkin juga menjadi punca ulser mulut.

BAGAIMANA JIKA ULSER MULUT KERAP BERLAKU?

20 peratus daripada penduduk dipercayai mengalami ulser mulut secara berulang. Jika anda salah seorang daripada mereka, anda mungkin mengalami stomatitis aphthous berulang (RAS) yang menyebabkan tubuh anda untuk berulang kali menghasilkan ulser mulut yang tidak berjangkit dan tidak berbahaya.

Lazimnya, anda boleh anggarkan bila ulser itu akan muncul apabila timbul rasa sengal atau rasa seolah-olah terbakar sehari dua sebelum ia timbul, menurut laman Mayo Clinic.

Mujur, tahap kemudaratan dan kekerapan RAS cenderung merosot apabila usia meningkat.

APAKAH ANTARA UBAT-UBATAN YANG BANTU REDAKAN ULSER MULUT?

Sebut sahaja ulser mulut, ubat pertama yang difikirkan ramai adalah gel Bonjela, yang mudah didapatkan dari kedai.

Gel tersebut mengandungi bahan aktif salisilat kolin yang berfungsi serupa dengan aspirin, iaitu ia dapat menghalang pengeluaran prostaglandin dalam tubuh yang menyebabkan rasa sakit, sengal dan keradangan.

Namun jika anda mengalami alahan terhadap aspirin dan ubat-ubatan antikeradangan bukan steroid (NSAID), jangan gunakan Bonjela.

Sebaiknya, anda boleh gunakan gel anestetik topikal untuk bantu kurangkan rasa tidak selesa, nasihat Dr Sim.

Namun, beliau menarik perhatian bahawa gel-gel sedemikian tidak dapat bantu mempercepatkan pemulihan ulser kerana ia tidak mengandungi manfaat antikeradangan.

Seperkara lagi, katanya, ubat kumur mulut yang dibeli di luar mungkin hanya menambah dan memburukkan lagi rasa sakit yang dialami.

Satu lagi cara yang boleh anda cuba adalah dengan menggunakan garam untuk mengurangkan rasa sakit ulser.

Namun, anda dinasihati supaya tidak menggosok garam pada tempat ulser.

"Perbuatan ini kemungkinan menyebabkan lebih rasa sakit dengan menambah trauma pada tempat ulser," kata Dr Sia.

Sebaliknya, memadai sahaja dengan berkumur menggunakan air suam yang ditambah garam apabila mengalami ulser dalam mulut untuk "meneutralkan sekitaran dalam mulut" dan mempercepatkan penyembuhan ulser itu, jelasnya.

BILAKAH ANDA PERLU BERJUMPA DOKTOR GIGI?

Anda mungkin perlu menahan rasa sakit dalam mulut selama sekitar 10 hingga 14 hari sebelum tempat ulser itu pulih dengan sendirinya, kata Dr Sim.

Namun, "ulser yang berterusan selama lebih tiga minggu kemungkinan adalah barah, justeru anda digalakkan supaya berjumpa doktor gigi", kata Dr Sia.

"Begitu juga bagi tompok-tompok putih yang tidak dapat dihapuskan dan terus berulang selama tiga minggu, perlu disiasat oleh doktor gigi."


 
Sumber : CNA/HA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan