Adakah benar putu piring wakili budaya penjaja Singapura?
Apakah yang terlintas di benak fikiran anda apabila bercakap tentang "makanan Singapura"? Adakah benar putu piring wakili budaya penjaja Singapura?
(Gambar: Netflix)
SINGAPURA: Terdapat golongan yang handal memasak yang membangun dan memperelok satu-satu hidangan yang sama selama berpuluh-puluh tahun tetapi tidak pernah menikmati "glamor" setimpal dengan cef-cef masakan barat mewah.
Ini mungkin menjelaskan mengapa rancangan Netflix terbaru "Street Food" - terbitan pereka siri popular "Chef's Table" - merupakan rancangan makanan yang menjadi topik perbualan ramai menyusuli kejayaan Siri "No Reservations/Parts Unkonwn" yang dihos Anthony Bourdain.
Siri pertama dokumentari gastronomi itu mengundang para penonton untuk meneroka adat, warisan budaya dan dedikasi di sebalik sajian-sajian yang dihidangkan di jalanan dan pasar-pasar rentas Asia sepanjang sembilan episod.
Reaksi terhadap siri itu berbelah-bagi.
Beberapa penonton Singapura yang bercakap dengan Mediacorp melahirkan kehampaan mereka kerana pilihan sajian yang diketengahkan dalam episod Singapura tidak benar-benar menggambarkan budaya penjaja tempatan.
Episod Singapura dalam siri itu memaparkan kisah Putu Piring Haig Road, Mi Wantan Master Tang dan Ketam Cili KEK Seafood.
Kisah Cik Aisha Hashim, yang merupakan salah seorang daripada sejumlah kecil penjaja yang masih membuat putu piring, menjadi segmen pembuka kisah budaya penjaja Singapura.
Salah seorang penonton Encik Steven Liew berasa bahawa kandungan siri itu tidak diselidik dengan teliti dan beliau hairan mengapa ia memberi lebih tumpuan kepada pemilik perniagaan berkenaan berbanding kisah di sebalik makanan yang dijaja.
"Saya suka putu piring, tetapi adakah ia sinonim dengan makanan penjaja di Singapura?" kata Encik Liew. "Malah tumpuan pada penjaja bukan pada resipi mereka, atau apa yang membuatnya menonjol."
Namun, terdapat juga penonton Singapura yang tidak hanya gemar mempelajari tentang sajian-sajian tempatan yang kurang dikenali penduduk tempatan secara purata, seperti putu piring, tetapi mereka juga dapat menghayati kisah-kisah pengorbanan dan dugaan yang dihadapi para penjaja.
Cik Lina Rahim memberitahu Mediacorp bahawa dia terharu dengan paparan mengenai Cik Aisha Hasim, walaupun katanya, putu piring bukan semestinya sajian yang pertama terlintas di fikiran apabila berfikir tenang "makanan Singapura".
"Mungkin jika rancangan itu bermula dengan, misalnya, nasi lemak, mungkin ia tidak akan menyebabkan para penonton untuk berbelah-bagi?" kata Cik Lina.
"Bagaimanapun pada hakikatnya tiada satu-satunya sajian yang boleh menggambarkan budaya Singapura dengan sempurna dan kita dapat menyaksikan kisah sajian yang tidak lazim dimakan."
Personailiti radio Gold 905 Denise Tan - yang menerajui rancangan "Lunchtime Jukebox", dan juga rancangan panduan makanan mingguan stesen itu "Makan Kakis" - berpendapat bahawa reaksi berbelah-bagi terhadap episod Singapura boleh dijelaskan oleh "jangkaan tertentu" oleh penduduk Singapura mengenai budaya makanan penjaja.
Cik Tan berasa senang dengan tumpuan pada sajian putu piring - lebih-lebih lagi mengenai kisah disebaliknya. "Saya berasa tema berterusan siri Street Food adalah untuk melakukan pekerjaan kerana keperluan dan kesusahan hidup. Ia adalah untuk meneruskan perniagaan bagi generasi seterusnya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.