Ada khasiat di sebalik coklat; ketahui jenis dan mutunya
Gambar: Unsplash
SINGAPURA: Ada sebahagian orang yang menyifatkan coklat sebagai snek yang tidak sihat.
Namun, tahukah anda kandungan zat yang ada pada coklat dapat membekalkan sejumlah kebaikan dan tenaga yang diperlukan tubuh?
Sering kali coklat yang dihasilkan daripada koko dikaitkan dengan masalah seperti kerosakan gigi, kulit berjerawat, berat badan berganda dan juga punca si cilik menjadi hiperaktif.
Sekalipun demikian, coklat juga mempunyai pelbagai manfaat yang baik dan penting untuk tubuh manusia. Bukan setakat menyihatkan tubuh, coklat juga membantu dalam perkembangan otak dan degupan jantung yang kuat.
Menurut satu kajian, setiap pengambilan coklat dalam jumlah yang tertentu dan dalam diet seharian didapati boleh membantu untuk menurunkan tekanan darah. Selain itu kandungan antioksidan di dalam coklat juga adalah tiga kali lebih tinggi berbanding teh hijau.
Walaupun coklat mempunyai kalori yang tinggi ia mengandungi karbohidrat, gula selain lemak dan protein. Malah coklat juga diperkaya dengan vitamin B12, niacin, riboflavin, mineral seperti fosforus, zink dan vitamin E.
Terdapat pelbagai jenis coklat dengan kandungan yang berbeza-beza, ramai yang mungkin tidak peka akan khasiat dan kandungannya.
JENIS-JENIS COKLAT
Jika ke pasar raya atau kedai coklat cuba anda perhatikan jenis-jenis coklat yang boleh diperolehi.
Selalunya 'dark chocolate' atau coklat pahit menjadi pilihan ramai kerana ia mengandungi antioksidan yang tinggi selain dapat mengurangkan pembentukan radikal bebas.
Apabila menikmati atau ingin membeli coklat, cuba luangkan masa untuk membaca dahulu kandungannya. Rata-rata terdapat empat kategori iaitu coklat untuk masakan, coklat berperisa, couverture dan yang bebas gula.
Coklat masakan juga dipanggil 'chocolate compound'. Ia mengandungi lemak sayur, gula, esen, lecithin dan susu.
Penggunaannya khusus dalam masakan untuk membuat brownie, kek dan biskut.
Sementara itu, coklat berperisa pula merupakan yang digemari ramai tidak kira usia. Snek manisan ini tampil dalam perisa coklat susu, coklat pahit dan putih.
Coklat 'couverture' pula dikenali sebagai coklat tulen. Ia merupakan sejenis bahan yang digunakan dalam pembikinan coklat secara profesional. Bermutu dan rasanya paling enak. Ia juga sangat sensitif terhadap suhu.
Bagi yang menghidap penyakit kencing manis, coklat bebas gula pasti tidak asing lagi. Pemanis tiruan yang digelar stevia ini merupakan bahan yang digantikan dalam rumusannya.
COKLAT ANEKA PERISA
COKLAT SUSU
Ia mengandungi anggaran 12 peratus ramuan susu dan 25 peratus koko dan gula. Tidak hairanlah jika Ia menjadi kegemaran ramai kerana rasanya yang manis dan teksturnya pula licin dan lembut.
Namun coklat susu ini juga mudah hangus saat dicairkan dan mengandungi antioksidan terendah kerana kombinasi bahan-bahan di dalamnya.
COKLAT PUTIH
Dikenali sebagai 'white chocolate' dengan kandungan 33 peratus koko dan selebihnya adalah campuran bahan gula, susu dan vanilla.
Awas! Pengambilan yang berlebihan boleh menyebabkan penyakit kencing manis.
COKLAT PAHIT
Rasanya pahit dan manis serta pekat, warnamya lebih gelap dan ia mengandungi lebih banyak bahan berkhasiat. Bebas bahan susu tapi ia mengandungi 70 peratus koko tanpa lebihan gula, lemak tepu atau minyak sayuran.
TIP PILIH COKLAT BERMUTU
Bagaimana untuk mengenal pasti mutu coklat semasa ingin membelinya?
Rata-rata setiap coklat dijual dalam bungkusan kemas dan pastinya tidak boleh dibuka. Pasti sukar untuk menilai atau melihat isi di dalamnya.
Apa yang boleh anda lakukan adalah dengan membaca label dan memeriksa kandungan coklat yang tertera pada label selain tarikh luput. Setelah membeli dan membuka bungkusan coklat pastikan ia berada di dalam keadaan yang baik seperti berikut.
•Permukaan coklat halus dan berkilat.
•Bila anda patahkan coklat terdapat beberapa serpihan halus dan bertekstur padat.
•Mempunyai rasa lemak berkrim tetapi tidak berminyak.
•Rasa tidak kelat dan tidak memberikan sebarang rasa kurang menyenangkan apabila dimakan.
•Cepat cair kerana kandungan coklat mentega yang tinggi.
AGAR COKLAT TAHAN LAMA
Simpan coklat di tempat kering dan dingin anggaran suhu bawah 18 darjah selsius.
Coklat yang disimpan pada suhu kurang daripada itu menyebabkan penghasilan seakan mengeluarkan peluh apabila disimpan pada suhu bilik. Manakala jika ditempatkan pada suhu tinggi akan mengubah kandungan lemak dan kelihatan sangat berminyak.
Selepas membuka bungkusan, pastikan coklat dibungkus kemas semula agar tidak masuk udara. Sebaik-baiknya dipindahkan ke dalam bekas kedap udara agar kualitinya dapat dikekalkan.
Jika perlu simpan coklat di dalam peti sejuk, dibiarkan seketika pada suhu normal atau suhu bilik sebelum ia digunakan atau menikmatinya. Selalunya coklat yang disimpan dengan baik boleh bertahan selama lebih kurang setahun. Yang penting pastikan ia tidak melebihi tempoh tarikh luput.
Akhir sekali, apa pun pilihan coklat yang digemari, elakkan daripada menikmatinya dalam jumlah yang berlebihan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.