Skip to main content

Gaya Hidup

7 tips ajar anak berpuasa untuk pertama kali

Bagi ibu bapa, pengalaman pertama anak berpuasa pasti menjadi detik manis keluarga.
Anggaran Waktu Membaca:
7 tips ajar anak berpuasa untuk pertama kali
Puasa merupakan peluang untuk anak-anak belajar disiplin, kesabaran dan ibadah lain. (Gambar hiasan: Canva)
Diterbitkan : 19 Feb 2026 10:50PM
  • Artikel memberi panduan kepada ibu bapa tentang cara menggalakkan anak berpuasa buat kali pertama, dengan menekankan kepentingan pengalaman positif.
  • Tip termasuk memahami konsep puasa, membawa anak solat tarawih, memberi motivasi dan sokongan, serta tidak memaksa anak berpuasa penuh.
  • Ibu bapa digalakkan membenarkan anak terus aktif dengan aktiviti harian dan memilih menu sahur yang seimbang untuk memastikan tenaga mencukupi.
  • Berbuka puasa secara sihat juga ditekankan, dengan mengutamakan kurma dan air sebelum hidangan utama, serta mengelakkan makanan manis atau bergoreng berlebihan.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Bagi ibu bapa, pengalaman pertama anak berpuasa pasti menjadi detik manis keluarga.

Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga peluang untuk anak-anak belajar disiplin, kesabaran dan ibadah lain.

Walaupun kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, mereka digalakkan mula berpuasa seawal umur tujuh tahun sebagai latihan atau persediaan awal.

Awalnya, ia mungkin sedikit mencabar, terutama bagi anak yang belum bersedia, berbanding mereka yang rela hati ingin berpuasa.

Dengan pendekatan positif, anak bukan sahaja belajar menghargai puasa, malah terbiasa dengan rutin sahur, berbuka, solat terawih dan ibadat lain secara menyeronokkan.

Lebih daripada itu, ia boleh menjadi momen indah keluarga selain mengeratkan hubungan dengan anak.

Berikut tip ringkas yang boleh dipraktikkan dalam usaha menggalakkan anak berpuasa terutama bagi yang pertama kali mahu melakukannya, seperti dinukil laporan Harian Metro.

1. Fahami konsep berpuasa

Terangkan kepada anak bahawa berpuasa bukan sekadar menahan makan dan minum, malah melibatkan ibadah seperti solat tarawih, sahur dan berbuka puasa.

Gunakan bahasa mudah atau cerita menarik supaya mereka faham tujuan dan kelebihan puasa.

2. Solat tarawih

Pada Ramadan, antara ibadah paling dinanti-nantikan adalah solat tarawih.

Dengan membawa anak bertarawih, terutama di masjid, mereka dapat merasai suasana Ramadan yang lebih menyeronokkan, seperti dinukil Harian Metro.

Selain meningkat keterujaan dalam berpuasa, anak juga belajar disiplin, kesabaran, fokus dan terbiasa dengan amalan ibadat malam.

Ia sekali gus memperlihatkan kepada mereka ibadah sebagai sesuatu yang menyeronokkan, sama ada di rumah atau di masjid bersama keluarga.

3. Beri motivasi dan sokongan

Sokongan moral amat penting supaya anak yakin boleh berpuasa.

Oleh itu, berikan mereka pujian atau ganjaran kecil serta bintang apabila mereka berjaya berpuasa separuh mahupun penuh hari pertama.

Pendekatan positif itu membantu mereka berasa berpuas hati dan lebih bersemangat untuk mencuba berpuasa pada hari-hari seterusnya.

4. Jangan paksa

Elakkan memaksa anak berpuasa penuh, terutama yang masih kecil.

Biarkan mereka mencuba mengikut kemampuan masing-masing supaya pengalaman pertama berpuasa menjadi positif, bukan tekanan.

5. Teruskan aktiviti harian

Walaupun berpuasa, biarkan anak melakukan aktiviti biasa seperti bermain atau belajar.

Aktiviti membantu mereka terlupa rasa lapar dan membina pemahaman bahawa puasa bukan halangan untuk terus aktif dan gembira.

6. Sahur dengan makanan seimbang

Bangun sahur mungkin mencabar bagi anak. Oleh itu, sebelum tidur, ingatkan mereka mengenai sahur.

Ibu bapa atau penjaga juga boleh meminta anak memilih menu yang diinginkan, namun berkhasiat.

Pilih gabungan karbohidrat kompleks, protein, buah-buahan dan minuman seperti susu atau air untuk memastikan tenaga mencukupi.

7. Berbuka dengan cara sihat

Ramadan juga sangat popular dengan pelbagai tawaran juadah berbuka.

Namun, galakkan anak berbuka dengan kurma dan air terlebih dahulu, kemudian hidangan utama yang seimbang.

Elakkan terlalu banyak makanan manis atau bergoreng pada permulaan supaya perut anak tidak terkejut.
Sumber : Agensi berita/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita